Blogger Layouts

Thursday, June 30

Jejak Hidup


Salam mesra ..


Alhamdulillah, kehidupanku makin membaik dan pulih seperti biasa meski sebelum ini terasa lelah dan penat mengharungi dugaan yang tidak disangka-sangka. Aku tahu, sebagai manusia; tidak dapat lari dari dugaan dan cubaan yang menguji kekuatan jiwa dan semangat hidup seharian.


Ternyata Allah memberi sinar dalam langkah ini. Supaya aku berubah menuju ke arah jalanNYA yang lurus. Meski banyak yang perlu dipelajari dalam menguatkan hati dan iman, ku mohon agar kekuatan ini berkekalan. InsyaAllah. Bimbang andai jalan yang ditempuhi ini tiba-tiba hilang. Benar kata seseorang yang rapat dengan ku;


" Jika mengharapkan sesuatu yang baik, perlu mengubah diri menjadi lebih baik. ALLAH memberi ruang untukmu memperbaiki diri. Kerana, yang baik biasanya lambat untuk dimiliki"


Aku akan berusaha walaupun payah. Aku bersyukur kerana masih mampu mendengar kata-kata hati dan masih mampu menangisi kesalahan diri. Aku tidak pasti selama mana hati ini begini. Tetapi, aku pasti jika dizinkan biarlah selamanya ia begini. Kerana, aku ingin begini. Tiada yang lebih bermakna selepas mengetahui akan CINTA ini. 


Di saat aku hampir kehilangan arah hidup, tiada tujuan dan bantuan, tiada teman untuk berkongsi; aku mula menyedari tentang butanya cintaku yang sebelum ini. Ia menyalahkan aku dan ingin berlalu pergi. Aku pula menangisi hampir setiap hari kerana bimbang kehilangannya.Lalu, aku mengenali makna sujud dan doa yang sesungguhnya. Bukan aku tak pernah kenalinya sebelum ini, tetapi aku tidak fahaminya. Apa yang aku fahami? Ia hanya kewajipan. Titik!!


Sedikit kesedaran yang dipalitkanNYA didalam hati ini membuat aku begitu terkesan. Aku menyedari bahawa aku tak punya apa-apa jika tanpaNYA. Astagfirullah, Ampuni aku. Ia datang mengetuk pintu hati, dan ku harapkan selamanya ia bersemadi. 


Mode: Ikhlas sungguh, hati ku ikhlas
            Ku melangkah di jalanMU

Ost Hikmah



Mode: Salah satu lagu yang kami adik beradik suka dengar dekat komputer lama. Sayang, tinggal CPU saja sekarang ^_^

Wednesday, June 29

Mencari Zon ikhlas

Pagi ini hujan agak renyai-renyai. Alhamdulillah, hari ini kita dah sampai ke 27 Rejab dah. Cepatnya masa berlalu, kan? Dah nak hampir nak ke bulan ramadhan. Moga Allah membantu kita untuk sampai ke bulan mulia itu. 


Memperkatakan tentang ramadhan saja, sudah mampu mengingatkan aku tentang indahnya hari raya. Kiriman kad raya menjadi pengganti diri dikala itu.


" Dengan ingatan tulus dan ikhlas"


Ikhlas; sesuatu yang sangat penting tidak kiralah dalam soal pekerjaan, perbuatan, kehidupan mahupun ibadah. Kerana, hanya dengan ikhlas; kita akan melakukan segalanya dengan rela hati tanpa keterpaksaan ataupun mahu menunjuk-nunjuk. Bukan mudah mahu ikhlas, kan? Kadangkala, terfikirkan ganjaran atas perbuatan, terfikir mahukan puji-pujian orang lain yang melihat dan kadangkala pula terfikirkan tentang perlunya orang lain mengetahui akan kebaikan yang dilakukan.


Jadi, apa kah cara nya untuk ikhlas? Mari kita hayati ayat ini:

     Dua ayat yang dibaca dalam solat ^_^

"Katakanlah: sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan semesta alam. Tiada sekutu bagiNya; dan demikian itulah yang diperintahkan kepadaku dan aku adalah orang yang pertama-tama menyerahkan diri (kepada Allah)”.
 (Surah al-An’am: 162-163)"


Segalanya hanyalah milikNYA. Siapakah kita untuk menentukan ganjaran atas perbuatan? Siapakah kita untuk menentukan bahawa perbuatan tersebut baik jika dilihat manusia? Siapakah kita?



Semoga hati ini terbela untuk menjadi ikhlas didalam setiap perkara. Semoga dijauhkan dari sifat riak dan takbur. Janganlah hendaknya hati ini terhijab kerana perkara begitu. 


AMIN...........

Wasiat buat puteriku

Terbaca wasiat  menarik ini, membuat hati ingin berkongsi di ruangan ini. Menarik dan bermanfaat buat diri ini. InsyaAllah, akan cuba diamalkan sebaik mungkin. 

“Wahai anakku! Kalaulah wasiat ini untuk kesempurnaan adabmu, aku percaya kau telah mewarisi segala-galanya, tetapi ia sebagai peringatan untuk yang lalai dan pedoman kepada yang berakal.

Andai kata wanita tidak memerlukan suami kerana berasa cukup dengan kedua ibu bapanya, tentu ibumu adalah orang yang paling berasa cukup tanpa suami. Tetapi wanita diciptakan untuk lelaki dan lelaki diciptakan untuk mereka.

Wahai puteriku, Sesungguhnya engkau akan meninggalkan rumah tempat kamu dilahirkan dan kehidupan yang telah membesarkanmu untuk berpindah kepada seorang lelaki yang belum kamu kenal dan teman hidup yang baru. Kerana itu, jadilah 'budak' wanita baginya, tentu dia juga akan menjadi 'budak' bagimu serta menjadi pendampingmu yang setia.

Peliharalah sepuluh sifat ini terhadapnya, tentu ia akan menjadi perbendaharaan yang baik untukmu.

Pertama dan kedua, berkhidmat dengan rasa puas serta taat dengan baik kepadanya.

Ketiga dan keempat, perhatikan tempat pandangan matanya dan bau yang diciumnya. Jangan sampai matanya memandang yang buruk daripadamu dan jangan sampai dia mencium kecuali yang harum daripadamu.

Kelima dan keenam, perhatikan waktu tidur dan waktu makannya, kerana lapar yang berlarutan dan tidur yang terganggu dapat menimbulkan rasa marah.

Ketujuh dan kelapan, jaga hartanya dan pelihara kehormatan serta keluarganya. Perkara pokok dalam masalah harta adalah membuat anggaran dan perkara pokok dalam keluarga adalah pengurusan yang baik.


Kesembilan dan kesepuluh, jangan membangkang perintahnya dan jangan membuka rahsianya. Apabila kamu tidak mentaati perintahnya, bererti kamu melukai hatinya. Apabila kamu membuka rahsianya kamu tidak akan aman daripada pengkhianatannya.

Kemudian janganlah kamu bergembira di hadapannya ketika dia bersedih atau bersedih di hadapannya ketika dia bergembira. Jadilah kamu orang yang sangat menghormatinya, tentu dia akan sangat memuliakanmu.Jadilah kamu orang yang selalu sepakat dengannya, tentu dia akan sangat belas kasihan dan sayang kepadamu.


Ketahuilah, sesungguhnya kamu tidak akan dapat apa yang kamu inginkan sehingga kamu mendahulukan keredaannya daripada keredaanmu, dan mendahulukan kesenangannya daripada kesenanganmu, baik dalam hal yang kamu sukai atau yang kamu benci dan Allah akan memberkatimu.”

Tuesday, June 28

Buat Diriku sayang

*********************
Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.

Buat diriku sayang,
ku ingin ingatkan dirimu,
Jadilah isteri dan anak yang solehah,
Jangan kau lupakan semua itu.

Buat diriku sayang,
Kuatkan imanmu, bersihkan jiwamu,
Jadikan hati mu bebas dari noda.
Minta lah padaNYA yang satu.

Buat diriku sayang,
Jagalah solatmu,
Jagalah ibadahmu,
Jagalah sikapmu,
Jagalah percakapanmu,

Kerana itu hartamu...

Ya Allah, Jangan palingkan aku dari jalan lurusMU. AMIN

Mode: tekanan pada hari ini.

Monday, June 27

Mohon Sembuh

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang..

Aku adalah salah seorang hamba Allah yang diuji dengan pelbagai kesakitan. Mengapa aku berkata begitu? Semenjak usia meningkat remaja, aku sering mengalami sakit sana-sini. Salah satunya migrain yang kadangkala tak berkesudahan. Hidup asyik makan ubat sahaja. Penat rasanya bila melihat ubat yang banyak itu.

Namun, sekarang aku akan cuba untuk menghentikan ubat-ubatan tersebut buat sementara dan mencuba cara perubatan yang lain pula. ^_^.. InsyaAllah. Bukankah Allah menciptakan sakit itu sebagai salah satu penghapus dosa? Semoga dosa-dosa ini terhapus dengan kesakitan yang daku miliki.

Tatkala ini, aku mengharapkan kesembuhan sepenuhnya untuk semua masalah yang dimiliki dan segala penyakit di hadapi. Semoga Allah membantu dalam perkara ini. Dan, aku akan mulai menjaga diri baik-baik dari saat ini. AMIN

Syukran Ya Rabb



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang.


Alhamdulillah, menginjak ke minggu yang baru dengan nafas dan azam hidup yang baru. InsyaALLAH, aku bersyukur di atas nikmat ini dan berharap perjalanan hidup ini semakin indah setiap hari.


Hati ini bersyukur kerana sahabat yang dirindui mulai merapatkan diri, meski ku tahu luka hatinya mengambil masa yang lama untuk pulih kembali. Ku doakan perjalanan ini lebih baik dari sebelum-sebelumnya. Semoga persahabatan yang dulu dibina entah dari mana paksinya, kembali terjalin kerana kurnia Yang Maha Kuasa.



Semoga kami dapat bersahabat terus sehingga ke akhir hayat. Kadangkala, persahabatanku menuntut aku menjadi lebih dari diriku sendiri. Tetapi, jika untuk kebaikan; aku mendoakan segalanya dipermudahkan olehNYA. Aku ingin persahabatan kami kembali, kembali dengan redha Ilahi. Dengan harapan baru, dan penghidupan baru. Kerana, aku mengerti makna PERSAHABATAN ini.




Badai yang melanda persahabatan ku ini, ku kira kan sebagai rahmat dari Ilahi. Meski hati tidak tabah menerima; ku sedari bahawa Allah mahu aku dekat dan mengharap denganNYA. Jika tanpa pertolonganNYA, tentu sahaja kami tidak dapat bersama semula. Kepada Allah, ku panjatkan sembah syukurku di suatu malam yang sunyi; atas nikmat yang tidak terhingga hebatnya ini.


Terima kasih, Ya Rabb


Mode: semoga pelangi indah mewarnai hidupku kembali.. ^_^

Friday, June 24

aku suka ^_^



Mode: terharu, terpesona dengan cinta Abdullah dan Anna meskipun sekadar dalam filem. ^_^

Apabila tiba Jumaat

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Penghulu segala hari, jumaat sudah tiba.Alhamdulillah. Sekejap saja sudah habis minggu ini.. Dah mahu masuk minggu yang baru pula,kan? 

Semenjak kahwin, hatiku memang gembira dengan hari jumaat ini. Kenapa ya? Kerana dapat berjumpa dengan suami tercinta yang jauh di johor. Walaupun hanya dapat bertemu 2 kali sahaja sebulan kerana faktor kerja, namun hati ini bahagia. Tambahan pula kini, aku mendapat pelepasan dari syarikat untuk bercuti setiap sabtu.. Yeay! Dapat lah balik setiap minggu, kan?? ^_^

Tetapi, bila dah dapat kebenaran pula; suami tak izinkan kerana rumah kami dalam pengubahsuaian. Hurm.. frust! Jadi, kenalah mengisi masa hujung minggu di rumah ibu; di sini. Tak sabar menghabiskan tempoh 5 bulan ini, tahun depan nak balik dah.. Mulakan hidup baru, InsyaALLAH.

Semoga ALLAH membantu kami membina hidup berumahtangga ini sepenuhnya. Semoga kami bahagia, dan sentiasa dalam keredhaanNYA. Dan, semoga kami saling mencintai keranaNYA. AMIN..

Mode: Rasa nak balik, tapi tak boleh.. T_T

Thursday, June 23

Rayuan Cinta Buat Isteri

Alhamdulillah, baru- baru aku membaca sebuah lembaran warkah karya Ibn Abdul Azib bertajuk " Rayuan Cinta Buat Isteriku". Kecil saja bukunya, harga pun murah; RM4 saja.. ^_^ Dari warkah tersebut, aku mendapat pengetahuan yang dapat dikongsi sesama kita khususnya gadis yang bakal mengharungi hidup berumahtangga dan juga buat isteri sepertiku.

1) Aku mengetahui bahawa seorang isteri itu harus berhias-hias sehingga suami tidak melihat wanita lain yang lebih cantik daripadanya. Aisyah r.a pernah berkata:

" Jika engkau memiliki seorang suami dan engkau dapat memperindahkan matamu, maka lakukanlah"

2) Aku mengetahui bahawa seorang isteri perlu berwangi-wangian agar suami terhidu yang enak dan wangi sahaja daripadanya. Saidina Ali bin Abi Talib berkata:

" Isteri terhebat adalah isteri yang baik dan wangi tubuhnya, lazat masakannya. ......"

3) Aku mengetahui bahawa kamar tidur itu rahsia. 

" selalulah menukar cadar katil dengan warna yang berlainan setiap minggu kerana disitu ada rahsia tersendiri yang perlu di cari"

Siapa yang tukar cadar setiap minggu?? Angkat tangan... \(' ')/

4) Aku mengetahui bahawa isteri perlu mengambil berat urusan istana rumahtangga

" biarlah tempat berteduh ini sederhana sahaja nampaknya, tapi peliharalah kebersihan, kerapian, keindahan dan keseriannya"

Semoga aku mampu menjadi isteri seperti yang tercatat dalam lembaran itu.. Banyak lagi yang ingin dikongsi, namun lenguh pula menulis kali ini. ^_^ 


Terlupa aku

Buat beberapa hari ini, fikiran ku agak kosong. Tidak tahu mengapa, tapi seakan macam cepat melupakan apa-apa pun. Sampai kan ketika sedang menghadap Ilahi, boleh terlupa dah tahiyat awal atau belum. Astagfirullah.. Apa sebenarnya dalam fikiran ni??!! Memori dah penuh kah? Atau sistem fikiranku dah makin perlahan?

Walaupun tiada apa yang difikirkan pun, tapi boleh terlupa macam-macam benda. Terkadang rasa marah dengan diri sendiri kerna selalu lupa. Memang sebelum ini pun aku sering terlupa, tapi beberapa hari ini; seperti makin melarat pula sikap ini. Aku sakit kah? Atau ada sebab lain? 

Bukan apa, bimbang suatu masa nanti boleh terlupa tentang benda-benda penting macam suami, keluarga atau yang lain-lain. Bagaimana kalau itu terjadi?Boleh jadi kah? Tak mahu fikir buat masa ini.

Semoga Allah menguatkan ingatan ku ini. Janganlah membuat diri ini menjadi LUPA padaMU, bimbang hati ini jika tidak dapat mengingatiMU, mengingati insan-insan kesayangan, dan kehidupan yang kumiliki.

Mode:  Aku bukan gila ye...^_^
             Minta-minta tak terlupa nak coret di blog ini juga!! ^_^

Demi Masa

Alhamdulillah.. Bernafas lagi hari ini. Moga dikurniakan Allah kekuatan untuk menempuhi hari-hari mendatang yang penuh dengan tawa dan tangisan. 

Aku menghela nafas lega untuk hari ini meski masih banyak perkara yang menghantui diri untuk diselesaikan. Urusan manusia memang tak pernah habiskan? Asyik sibuk saja.. Betulkah sibuk? Atau buat-buat sibuk? ^_^
Menjadi tanda tanya pada diriku yang kerdil ini. Terkadang masa yang dicipta Allah terasa tidak cukup. Padahal, bukan tidak mencukupi; tapi tidak terurus kerana mahu selesaikan macam-macam perkara. 

Masa yang dicipta Allah, 24 jam. 

Masa tidur 6 jam,
Kerja 8 jam.. sudah 14 jam kan?
Bakinya ada 10 jam. 

Solat pula dalam 1.5 jam sehari
Makan pula puratanya dalam  1.5 jam sehari
Mandi, gosok gigi dan sebagainya dalam 1 jam sehari... hurmm
Bermakna ada 6 jam lagi baki yang tinggal untuk aktiviti seharian.. 

Semoga 6 jam ini tidak diisi dengan kelalaian dan kealpaan terhadapMU, Ya ALLAH... 

Dalam 6 jam itu pula, aku menghabiskan 3.5 jam untuk pulang bertemu suami tersayang pada hujung minggu. Jadi, baki yang ada padaku 2.5 jam saja..^_^

Itu kiraan matematiknya sahaja.. Rasanya kalau betul-betul, mesti banyak masa terluang, kan? Moga aku dapat belajar mengurus masa dan diriku dengan lebih baik. AMIN

Wednesday, June 22

Nasihat ku buat si dia

====================
aku ada pesanan buatnya..
~ cinta agung adalah cintaNya..
~ cinta manusia bakal membuatnya alpa..

Tolong nasihati sia dia,
~ jangan menyintaiku lebih dari dia menyintai Yang Maha Esa..
~ jangan ingatiku lebih dari dia mengingati Yang Maha Kuasa..
~ jangan doakanku lebih dari dia mendoakan ibu bapanya.

Tolong katakan pada si dia,
~ dahulukan Allah kerana di situ ada syurga..
~ dahulukan ibu bapanya kerana di telapak itu syurganya..

Tolong ingatkan si dia.
~ Aku terpikat kerana imannya bukan rupa..
~ Aku lebih cintakan dirinya bukan harta..
~ aku kasihinya kerana sifatnya.

Tolong tegur si dia,
~ bila dia tenggelam dalam angan-angannya..
~ andai nafsu mengawal fikirannya..

Tolong sedarkan si dia.
~ Aku milik Yang Maha Esa..

Tolong sabarkan si dia,
~ bila jarak mejadi penyebab bertambah rindunya..

Tolong pesan padanya.
~ AKU TIDAK MAHU MENJADI BENCANA BESAR KEPADANYA..
~ AKU TIDAK MAHU MENJADI PUNCA KEGAGALANNYA..
~ AKAN KU BIARKAN YANG MAHA ESA MENJAGA DIRINYA..

Tolong khabarkan pada si dia.
~ AKU TIDAK MAHU MELEKAKAN DIA..
~ Aku mahu dia berjaya dalam impian dan cita-citanya..

Tolong sampaikan pada si dia.
~ Aku mendambakan cinta suci yang terjaga..
~ cinta kerana Allah tidak ternilai harganya..
~ KERANA AKU TIDAK MAMPU MEMBERITAHUNYA SENDIRI...

Hanya Engkau mengetahui siapa si dia..

Moga pesananku sampai padanya..


" aku tercipta dari tulang rusukmu"

Dari ku: Suri Hidupmu.




Patah hatiku



Mode: Teringat dengar lagu ini ^_^

Munajat Sepasang Kekasih

----------------------------------------------------------------------------------
Ya Allah,
Ya Tuhan kami,
Jadikan rumah tangga kami ini,
Seindah rumah tangga Adam dan Hawa,
Setabah Ibrahim dan Hajar,
Sebahagia Yusuf dan Zulaikha,
Sesetia Sulaiman dan Balqis,
Sesuci Muhammad dan Siti Khadijah.

Murahkanlah rezeki kami,
Panjangkanlah umur kami,
Dekatkanlah kami kepada kebaikan,
Jauhkanlah kami daripada keburukan.

Kurniakanlah kami,
Zuriat yang soleh dan solehah,
Serta kesenangan dan kebahagiaan
Dunia dan akhirat

AMIN. ^_^

Mode: Doaku untuk KITA.... ^_^

Tuesday, June 21

Dimana Syurga??


**********************************************************
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah mengurniakan hati-hati yang baik buat setiap dari kita. Dan, semoga di ampuni setiap kesalahan yang dilakukan oleh kita. ^_^

Setiap yang hidup atas muka bumi ini tentu tahu tentang akhirat. Tentang hari kiamat, tentang kebangkitan semula, tentang hari pembalasan, tentang adanya syurga dan neraka. Kecut rasa hati memikirkan itu. Semoga Allah membantu ku kelak.Walaupun dirasakan diri ini tidak layak untuk menghirup udara syurga tapi hati ini berharap benar dapat menjejakkan kaki disana. Siapa yang tak mahu, kan? 

Sabda Rasulullah: 

“Allah berfirman: Aku sediakan bagi hamba-hamba-Ku yang soleh, syurga yang tidak pernah dilihat oleh mata, tidak pernah didengar oleh telinga dan tidak pernah terbetik dalam hati manusia.”

Dapatkah aku membayangkan syurga? Bagaimana bentuknya? Bagaimana penghidupan penduduk nya?Aku membaca tentang khutbah Rasullullah dan terdapat ayat yang akan sering dibaca oleh Baginda pada setiap solat jumaat iaitu Surah Qaaf: 31-35;

Bermaksud:
Dan didekatkanlah syurga itu kepada orang-orang yang bertakwa pada tempat yang tiada jauh (dari mereka). Inilah yang dijanjikan kepadamu, (iaitu) kepada setiap hamba yang selalu kembali (kepada Allah) lagi memelihara (semua peraturan-peraturan-Nya). (iaitu) orang yang takut kepada Rabb yang Maha Pemurah sedang Dia tidak kelihatan (olehnya) dan dia datang dengan hati yang bertaubat, masukilah syurga itu dengan aman, Itulah hari kekekalan. Mereka di dalamnya memperoleh apa yang mereka kehendaki; dan pada sisi Kami ada tambahannya.”

Semoga aku dan semua kita dibantu Allah dalam mencari syurga. Jom semua!! ^_^

meski tak dapat mendengar langsung darinya,
dapat membaca nya pun cukup bagiku.




Menanti kupu-kupu syurga

Alhamdulillah atas kehidupan ini. Tiada yang dapatku panjatkan melainkan syukur padaNYA atas nikmat kurniaanNYA buatku. Hari ini aku melakukan ujian kehamilan yang entah ke berapa kalinya, ^_^


Mungkin ini sesuatu yang peribadi, tetapi ini rasanya sesuatu yang dialami oleh setiap pasangan yang sudah bernikah bukan? Bukan apa, setiap dari kita yang sudah bernikah tentunya punya cita-cita mempunyai zuriat sendiri. Insan yang bakal memberi sinar baru dan dimensi baru dalam sebuah perhubungan.


Malangnya, apabila setelah bertahun-tahun menantikan kehadiran yang belum tiba; hati mulai berasa hampa. Hati mulai tertanya tentang waktu kedatangan cahaya mata itu. Terkadang terfikir tentang segala usaha yang telah dilakukan demi seorang anak ini.


Kupu-kupu syurga! Itulah sebenarnya zuriat. Yang Allah izinkan untuk menjadi peneman hidup ibubapa dalam mengharungi hidup berumahtangga. Subhanallah, aku menunggu kehadiran kupu-kupu syurga itu. Izinkan kami menjadi ibubapa, memegang amanah sebagai penjaga dan pendidik mereka. 


"Ciumlah anakmu kerana pahala setiap ciuman itu dibalas dengan satu darjat syurga. Nisbah di antara dua darjat ialah 500 darjat. Syurga itu ialah sebuah kampung kesenangan, tiada masuk ke dalamnya melainkan orang yang menyukai kanak-kanak"


Semoga ALLAH memberikan aku meraih kupu-kupu syurga milik ku ini. Kurniakan kami zuriat yang menjadi mujahidMU, pejuang di jalanMU,sihat, sempurna, soleh dan solehah.. Mewarisi sifat-sifat baik kami, dan dijauhkan dari sifat buruk kami. AMIN


Mode: Usaha dengan doa, masa nya akan tiba..
            Dengan restu Ilahi, kelak pasti akan ditemui... ^_^

Monday, June 20

Hikmah Hidup

Setiap yang berlaku, tentu saja ada hikmahnya. Adakala terlalu sukar untuk diterima dan difahami. Hati selalu mengeluh kerana kejadian yang menimpa diri. Bukan apa, dikala hati ini bahagia.. Dugaan datang mengetuk pintu hati dan mengubah persepsi diri. 

Bukan mudah menadah dugaan yang menimpa kali ini. Hari-hari yang dilalui di isi dengan tangisan dan kerinduan.  Hanya kepadaNYA, aku lepaskan segala tangisan dan kerinduan ini. Memohon agar segalanya kembali seperti biasa. Kejadian ini membuat aku berfikir, mendalami dan belajar bersabar..

Aku tahu, ALLAH menetapkan ini menjadi lipatan dalam hidup ku ataupun mungkin menjadi titik perubahan dalam hidupku. Dan, kerana kejadian ini jugalah aku mencipta ruangan ini. Alhamdulillah, aku bersyukur atas segalanya. Jika ingin menyalahkan takdir, aku juga bersalah kerana terlalu memementingkan diri sendiri. Pelajaran yang dialami ini mungkin tidak pernah aku pelajari di mana sekolah pun, tetapi akan meninggalkan BEKAS sehingga ke akhir hayat ini. 

Cuma aku mahu, keadaan sekelilingku pulih seperti biasa. Tapi aku??? Biarlah begini selamanya. Kerana aku mengerti kini, apa yang kucari bukanlah semuanya yang aku ingini. Apa yang ku kejari, membuatkan aku lupa tentang tanggungjawab dan makna kehidupan; menjadikan diri lalai dan mengambil jalan mudah dalam menghadapi hidup. Yang akhirnya menjerat diriku sendiri, membuat aku menangisi setiap hari diatas kesilapan diri. Silapnya kerana aku tidak mengenal erti tanggungjawab, jujur pada diri dan juga orang lain.



Kini, di saat aku diperlihatkan oleh Allah akan diri ini. Aku menangisi kesilapan dan kelemahan diri aku hampir setiap hari. Astagfirullah.. Kembalikan aku di jalanMU. 

Cerita Cinta


Alhamdulillah sekali lagi diberi peluang oleh ALLAH untuk mencoret sesuatu di blog ini. Di harapkan kehidupan yang ditempuhi makin baik setiap hari. Aku ingin berkongsi sebuah kisah yang lebih dahsyat dari cinta laila dan majnun, yang lebih hebat dari sejarah cinta taj mahal dan segala kisah cinta yang terdapat dalam rancangan tv sekarang. Kisah cinta Yusuf dan Zulaikha.. 


Terharu aku memikirkan kecintaan Zulaikha buat Yusuf A.S, meskipun beliau ditetapkan Allah menjadi ibu angkat buat Pesuruh Allah itu. Bayangkan bagaimana Zulaikha sanggup merendah kan diri sebagai isteri pembesar Mesir dikala itu kerana menagih cinta Yusuf. Kerana cinta agung itu, Zulaikha memohon kepada ALLAH agar disatukan dengan kekasihnya Yusuf. 


Di usia yang lanjut, matanya mulai rabun, telinga nya mulai kurang mendengar, suaranya mulai kurang jelas. Namun, Zulaikha tidak pernah jemu memohon pada Allah agar dapat bersama dengan Yusuf. Sehinggakan malaikat memohon kepada Allah kerana terharu melihatkan keikhlasan Zulaikha itu. Subhanallah! Sungguh, aku benar terharu. 


Akhirnya doa nya dimakbul Allah. Alhamdulillah, malahan zulaikha mendapat pinangan dari Allah sendiri untuk menjodohkan beliau dengan Yusuf. Benarlah kata- kata Allah di dalam Al- Quran; 


" Jadi, maka jadilah ia"


Mari kita fikirkan sejenak; bagaimana Yusuf A.S yang terkenal dengan baik parasnya mengahwini seorang wanita tua yang tidak berharta dan tidak berupaya lagi. Allah tentunya punya perancangan sendiri, sehinggakan ditukarkan Zulaikha menjadi lebih muda, lebih cantik dari sebelumnya sehinggakan Yusuf menjadi cinta dan tidak mahu berpisah dengan isterinya itu. 


" Disaat dirimu menyintai dan menginginkan ku, 
   aku tidak menginginkanmu..
  Dan kini, di saat aku pula menyintai dan menginginkan mu,
  kau tidak menginginkanku...
 Kerana cinta mu telah terarah pada Yang Satu.. 
Maha Suci ALLAH"


Aku berasa sungguh terpikat dengan kisah cinta ini, kerana kisah ini membayangkan betapa Allah menjadikan apa pun sesuai dengan kehendakNYA dan menjadikan doa seseorang itu makbul kerana keikhlasan kepadaNYA. Semoga Allah memberikan aku keikhlasan dalam mencari cinta abadi ini. AMIN

Saturday, June 18

Dekat di hati

Terima Kasih Allah atas nama, harta dan perjalanan hidup yang masih tersisa. Aku bersyukur kerna masih bernafas hingga hari ini. ^_^

Jauh dimata, dekat di hati. Ya kan? begitulah apa yang daku rasai ketika ini. Berjauhan dengan suami buat seketika. Ingin dekat dengannya, bersama dengannya menjalani kehidupan rumahtangga kami. Ku doakan dirinya selalu sihat sejahtera, di bawah lindungan ALLAH.

Aku berterima kasih kerana memberi kebenaran kepadaku bekerja, meski perlu berjauhan dengannya. Segalanya demi masa depan bersama. Dirinya terpaksa menjalani hidup sendiri tanpa isteri. Kadang-kadang, bimbang menjengah di hati.. Biasalah hati, sentiasa dengan sifat cemburu yang kadangkala ku kira tidak penting sebenarnya. Fikiran kadangkala merewang ke tempat yang tidak sepatutnya, memikirkan kejujuran, ketulusan dalam percintaan ini. Namun, ku kira itu tidak penting kerana aku tahu dirinya jujur. Allah menjaga dirinya untuk aku, kan? Dan aku? Allah juga menjaga ku untuk dirinya.

Aku mendoakan agar dirinya sentiasa sihat, sentiasa berada dalam keredhaan ALLAH dan bersamaku selamanya hingga ke akhir hayat. Biar apa pun terjadi kelak, aku tidak rela kehilangannya. Siapa pun dia, dia adalah suami, sahabat, imam kepadaku. Aku sangat bersyukur atas pertemuan ini, jodoh ini.

Ku harapkan kami bahagia walaupun ku tahu, akan banyak perkara yang bakal kami tempuhi.. Yang menguji kekuatan kasih sayang ini.Tabah, wahai hati! Ku mohon Allah mengampunkan segala dosa kami, yang telah lalu dan yang akan datang agar kami dapat mencipta sebuah rumahtangga yang bahagia.Redhai hubungan ini, Ya Allah. Jangan biarkan badai merosakkan masjid yang kami bina. Jangan biarkan kami tersesat hingga membinasakan kehidupan kami.

Friday, June 17

YA UMMI...

Hari ini rasa terharu yang teramat pabila mengenangkan ibuku. Terima kasih kerana memahami hati ini. Aku tak perlu menceritakan semua yang ada di hati kerana dia memahami. Walaupun hanya dengan memandangku.  Ibu bagaikan mendengar bisikan hatiku, bagai mengerti perasaan ku. Terima kasih Ibu!

Benar lah kata orang, naluri ibu itu kuat... Ibu tak banyak bicara orangnya. Dia banyak melihat sahaja anak-anak nya. Dari dulu hingga kini. Mungkin faktor kesihatan membuat dia begitu. Cuma kata-kata baru-baru ini membuatkan hatiku tersentuh.. seolah-olah tak pernah ku dengari kata-kata itu sebelum ini.

Ibu meminta adik-adik melihat aku sekiranya dia tiada, bukankah aku kuat ibu? Mengapa ibu cakap begitu? Terasa diri ini terlalu lemah sehinggakan ibu berkata begitu.Ibu selalu menasihati dan tidak pernah sekali-kali mengapi-apikan dalam keadaan apa pun. Dia hanya berdiam diri andai kami berselisih faham. Mungkin dia sedih.

Aku tak tahu apa perasaan dan mahunya. Aku sering melihat dia termenung tanpa ku tahu apa yang difikirkannya. Aku tak seperti ibu.. boleh baca hati orang lain. Tapi, andai tiada ibu.. Bagaimana aku mahu berdepan dengan hidup ini? Aku takut jika kita perlu berpisah... perpisahan yang abadi. Ya Allah, semoga ibu sihat dan dapat melihat cucunya. Kasihan kan daku, Ya ALLAH. 

Hati ku sedih memikirkan ibu yang semakin meningkat usia. Walaupun baru berusia 57 tahun, kudratnya tidak sama dengan insan seusianya. Kerna dia sudah terlalu lelah dengan kehidupan ini. Bersusah payah dengan arwah ayah untuk pastikan kami bahgia. Dan sekarang, ibu mulai kurang sihat dan bergantung pada ubat semata. Aku mengimpikan untuk membawa ibu dan ibu mertua menunaikan umrah pada tahun 2012. InsyaALLAH. Kerna aku bimbang.... Ya ALLAH!

Ibuku anak yatim piatu dari seusia 8 tahun. Di zamannya, hidup nya penuh dengan tangisan Sehinggalah bernikah dengan ayah. Menjalani kehidupan bahagia selama 20 tahun. Malangnya, ayah menyahut seruan Ilahi terlalu cepat. Ibu hanya redha dan membesarkan kami. Ayah meninggalkan zuriat yang menjadi warisan buat ibu; untuk dididik dan dipelihara. Siapa sangka? Selepas 10 tahun pemergian ayah, ibu mulai tak sihat. sakit sana-sini. Kasihan ibu...

Terima kasih Ibu kerana mengambil berat tentangku, 
kerna mahu aku gembira,
kerana meminta mereka melihat ku andai dirimu tiada,

Ketahuilah dirimu antara insan-insan yang paling aku cinta
dan aku mahu dirimu bahagia..

Aku mengharapkan ibu sihat dan dilindungi Allah.
Semoga Allah mengampuni dosa ibu dan dosa semua ibu yang lainnya di dunia ini. AMIN

Bencana buat wanita


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Kepadanya ku panjatkan kesyukuran atas kehidupan hingga kini. Terima kasih atas kehidupan ini, Ya ALLAH! Namun, hati sedikit tersentuh dengan ceramah agama yang disampaikan oleh seorang ustaz yang aku dengari baru-baru ini. Bencana bagi seorang wanita, itu tajuknya.. Ngerikan?? 


Apakah yang mengakibatkan bencana itu??


Pertama yang diceritakan adalah mengenai poligami. Berat nya!! Berdosa seorang isteri yang tidak mengizinkan suaminya bernikah lagi andainya telah memenuhi syarat yang telah ditetapkan. Mampukah aku?? Rasanya mental masih belum bersedia jika terpaksa mendengar permintaan itu dari suami di kala ini. Mohon Allah jauhkan dugaan ini dariku. Kerana aku tidak mahu menjadi kufur hanya kerana perkara ini. 


Kedua nya, apabila menganggap agama sebagai zalim. Astagfirullah.. Semoga akal ini dijauhkan dari fikiran buruk itu. 


" kenapalah wanita nak solat kena pakai telekung segala, kan menyusahkan je!!"


" wanita kene mengandung, jaga anak semua. Orang laki tak boleh ke??!! leceh betullah"


Janganlah fikiran begini melekat dalam hati ini. Takut rasanya jika menidakkan agama sendiri. Ampuni daku. Wanita adalah ciptaan Allah yang bertuah kerana hidupnya sentiasa di iringi ibadat. Mengapa begitu?


Ini kerana menyiapkan keperluan untuk suami itu ibadah yang lebih mulia dari zikir dan membaca Al-Quran. Selain itu, wanita yang mengandungkan zuriat suaminya akan didoakan oleh seluruh makhluk yang ada di muka bumi sepanjang 9 bulan tempoh mengandung. Bayangkanlah betapa indahnya!


Kemudian di saat melahirkan bayi pula, Allah memberikan wanita itu pahala seperti mengerjakan haji dan umrah. Subhanallah! Semoga aku berkesempatan menjadi ibu kelak, Ya Allah!.


Jadi, mengapa harus ada fikiran begitu dalam hati sehinggakan diberi bencana oleh ALLAH di dunia dan akhirat. Tentunya kita wanita tidak dapat menanggung azab siksa yang sangat hebat disana kelak. Mohon diampuni dosa-dosa kita yang lalu.



Daripada Anas, Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

" Apabila seorang perempuan mendirikan solat 5 waktu, berpuasa sebulan, menjaga kehormatan dan patuh taat pada suaminya, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang disukai"
(H.R Ahmad)



Melihatkan hadith ini, terasa macam mudahkan? tetapi mampukah aku?? T_T Alangkah indah nya kehidupan andai mampu melaksanakan semua seperti yang tercatat di dalam hadith Rasullullah ini. Moga Allah menolongku dalam urusan ini. AMIN


Mode: sekadar nasihat dan peringatan buat diri sendiri setiap kali melihat blogku ini. ^_^

ku Menangis



Syukur pada Allah atas kekuatan yang di berikan kepadaku. Cuma aku belum pasti adakah aku sekuat yang aku fikirkan. ^_^


Bukan apa, dalam hidup ini banyak dugaan dan halangan yang menjadi rencah dalam kehidupan seharian. Membuat aku banyak menangis dan merenung nasib. Salahkah aku? Mungkin tanpa disedari aku menyakiti insan-insan kesayangan. Membuat mereka terluka kerana kata-kata dan perbuatanku. Maafkan aku!
sekadar hiasan ^_^
Aku tahu tangisan ku tidak dapat memulihkan keadaan, tidak dapat mengembalikan hidupku seperti biasa. Tangisan ini hanya merimaskan, dan membuat mereka menyampah dengan ku. Tapi, aku tak berdaya.. Aku hanya mampu menangis kerna tiada penjelasan yang dapat diberikan. Aku menjadi takut, dan buntu dengan semua yang terjadi. 


Hidupku teruskan jua. Meski hati ini parah kerna luka yang terlalu dalam. Saban hari aku memikirkan tentang diriku dan insan-insan kesayanganku. Benarkah mereka menyayangiku?? Atau, aku hanya bertepuk sebelah tangan? Aku mempasrahkan semuanya pada Yang Esa. Bukan kerana putus asa, kerana aku tahu setiap yang berlaku punya hikmah dan jalan ceritanya sendiri. 


Hati ini sentiasa mengharapkan saat-saat indah itu kembali kepadaku. Buat masa ini, belum ada sebarang cahaya yang ku temui didalam kegelapanku. Tapi aku yakin, jika kebahagiaan sebenar itu milik ku, ia akan kembali.


Aku akan sentiasa mendoakan itu. Dan aku tidak akan berputus asa. InsyaALLAH. Meski jauh, ku doakan kesejahteraan dan kebahagiaan selalu berada denganmu. Dan aku doakan dirimu kembali kepadaku. 


Di saat ini, hati terlalu sarat dengan pelbagai soalan dan tanda tanya. Di mana pengakhirannya? Ku harapkan kita terus meredahi onak duri ini bersama-sama sehingga ke akhir hayatku. AMIN.


Mode: Hanya luahan biasa, tiada kena mengena dengan sesiapa. ^_^

Thursday, June 16

Tak Mahu Jadi Derhaka


Syukur atas nikmat Allah kurniakan untuk diri ini, Ya Allah.


Aku bersyukur dikurniakan suami dan ibu yang masih ada menemani perjalanan ini. Mungkin perjalanan ini mengubah dan mematangkan diri. Namun, aku tidak pasti sama ada diri ini diredhaiNYA. Ku harapkan kedua insan penting ini meredhaiku agar Yang Maha Kuasa meredhaiku juga.


Aku ingin menjadi isteri yang taat, yang solehah. Bukankah kebahagiaan dunia ini datangnya dari 4 perkara iaitu; wanita yang solehah, rumah yang luas, jiran yang baik dan kenderaan yang selesa?


Jadikan aku wanita yang solehah, Ya ALLAH! Agar bisa melengkapkan kehidupan suamiku. ^_^


Dan buat ibu, aku tidak pernah mahu menyakiti, membuat dirimu berduka kerana ku. Aku hanya mahu dirimu bangga melihat kami dan melihat anak mu lainnya. Mungkin aku tidak dapat memahami hati dan kesunyian yang dialami olehmu sepanjang ketiadaan ayah, tapi ku mahu dirimu bahagia. Ku harapkan tindakan ku tidak ditafsirkan sebagai suatu kederhakaan buat suami dan ibu.


Semoga Allah melindungi aku dari menjadi insan derhaka. AMIN..

Frust Jadi BAIK

Pernah tak sesiapa yang terasa frust nak jadi baik? Atau menjadi baik dengan orang lain? Hurmm.. Kadang-kadang aku punya perasaan begitu. Terasa terlalu letih untuk baik dengan orang lain. Bukan mengatakan diri ini baik, suci, tulus, ikhlas atau apa-apa sikap baik seumpamanya. Cuma kadang-kadang terlalu frust, bila memikirkan sikap insan lain yang merasakan bahawa aku hanya bermuka-muka sahaja. 

Memang aku tidak lah sebaik mana, tidak sehebat mana. Namun, aku punya hak untuk belajar dan di ajar, bukan? Bukankah manusia sama sahaja di mata Allah? Yang membezakan manusia, hanya amal perbuatannya. Mengapa perlu ada fikiran begitu? Bukankah kita manusia; tidak berhak menilai insan lain selain diri sendiri? 

Aku tidak mengerti. Aku menghormati pandangan insan lain terhadapku. Terima Kasih. Cuma aku tak perlu diterangkan tentang sesuatu yang bukan sifatku. Mustahil mereka mengetahui lebih dari diri ini bukan?? Hati ini marah kerna memikirkannya. Bukan niatku, untuk membuat sesiapa berasa aku seperti baik sangat. 

Aku cuma ingin mendekatiNYA. Walaupun, aku tidak tahu apakah kehadiranku diterima. Salahkah AKU? 

Wednesday, June 15

Siapa yang menyahut rintihan derita insan?

“Wahai manusia, diberikan untuk kamu satu perumpamaan, maka dengarlah mengenainya; sesungguhnya mereka yang kamu seru selain dari Allah itu, tidak sama sekali dapat menciptakan seekor lalat pun walaupun mereka berpakat untuk membuatnya; dan jika lalat itu mengambil sesuatu dari mereka, mereka tidak dapat menyelamatkan kembali. (maka) lemahlah yang meminta (untuk ditunai hajatnya), dan lemahlah yang diminta (untuk menunaikan hajat)”. (Surah al-Hajj: ayat 73).

Jika ingin MATI

Mati itu apa sebenarnya? Apakah hakikat mati itu? Hurmm.. membuat ku terfikir. Sememangnya kita akan mati, cuma bila waktunya? Itu rahsia Ilahi. 


Terdapat 2 jenis kematian sebenarnya iaitu mati sementara dan mati kekal. Mati sementara ni ialah ketika kita tidur. Maksudnya kalau kita suka tidur, maknanya kita suka mati la.. ^_^ Dan, yang kedua adalah mati yang kekal iaitu apabila tercabutnya roh dari badan kita. Yang membuat kita terpisah selamanya dari dunia ini. 


Pabila dengar kematian, biasanya melibatkan kesedihan yang amat sangat khususnya dari pihak keluarga yang kehilangan orang tersayang. Tetapi, kesedihan dan ketakutan yang bakal di alami oleh insan yang "pergi" itu lebih lagi kerana akan menghadap yang Maha Kuasa. Segala perbuatan yang dilakukan akan dihitung walaupun sebesar zarah. Subhanallah!


Kadangkala kita memikirkan bahawa mati boleh menyelesaikan segala masalah yang dihadapi.


" untuk apa aku hidup kalau macam ni, baik mati saja"


" kenapa lah susah sangat hidup ni, mati lagi senang"


Senang kita bercakap tanpa berfikir tentang apa yang bakal ditempuh di akhirat. Pengakhiran bagaimana yang di mahukan? Baik ataupun buruk?


Segala peringatan tentang mati harus ada dalam diri supaya diri ini ingat bahawa kehidupan duniawi tidak kekal. Segala yang dimiliki akan hilang, yang tinggal hanya amalan untuk dijadikan bekal dan pemberi syafaat di akhirat. InsyaALLAH.


Jika ingin mati,
izinkan aku pergi dengan baik,
izinkan aku pergi tanpa menyusahkan 
insan yang ku tinggalkan.


Jika ingin mati,
mohon supaya bekalan yang dibawa 
cukup untuk menghapus dosa
yang masih tersisa.


Jika ingin mati,
ku mohon di iringi doa
dan ingatan yang berkekalan
dari insan kesayangan. 


AMIN.Ya RABB

Hidayah Milik Allah


Syukur untuk diri sendiri, untuk cinta, untuk keluarga, untuk rezeki dan untuk hidup. Masih dalam izinNYA menghirup udara di bumi ini. Alhamdulillah.


Tidak terhingga rasa syukur di hati ini atas semua yang ku miliki. Terima kasih atas pemberian ini, Ya Rabb.


Namun, hati ini mengharapkan hidayah dariMU. Hati ini bimbang jika terpinggir dari mendapatkan hidayah MU. Aku mengharapkan pengakhiran yang baik buat diri ini. Kembali kepada Penciptaku dalam keadaan sempurna dan beriman. Juga buat saudaraku, ku harapkan perkara yang sama. 


Membayangkan indahnya hidayah yang telah ALLAH kurniakan buat hambaNYA yang terpilih, hati tertanya-tanya; adakah aku telah menemui hidayah itu?? Maha Suci Allah, hati ini perlukan pimpinan dan pengajaran agar tidak alpa dengan duniawi. Agar mudah menerima segala pengajaran dan agar mudah mendapatkan ketenangan hidup.


Jika difikirkan kembali, hidayah Ilahi mendidik jiwa agar lebih tunduk dan sentiasa mengharapkan redhaNYA. Aku mengharapkan agar dapat merasai kehadiran hidayahMU. Menjadikan diri ini tidak sabar menemuiMU dalam solatku selalu, menjadikan diriku mahu berbakti di jalanMU, menjadikan diriku lebih ikhlas dalam setiap perbuatanku. 




Aku terharu melihat kisah-kisah insan yang menemui hidayah Ilahi dalam perjalanan hidup mereka. Indahnya, diberikan hidayah itu di dalam perjalanan hidup mereka. Mengubah hidup mereka selamanya. InsyaALLAH. 


Semoga ALLAH membuka pintu hati ini dan tidak membiarkan aku dibelenggu oleh dosa-dosa silamku. AMIN.

Tuesday, June 14

Lebih indah dari Cinta

Mereka yang arif tentang cinta mengatakan kepercayaan lebih utama daripada cinta. Namun, ramai yang kurang bersetuju. Adakah begitu?

Teringat kembali detik percintaan kita.. Bahagia saat itu! Bukan cinta lebih penting dari kepercayaan?



Waktu berlalu pantas, rumah tangga yang di bina di timpa dugaan dan cubaan. Suka dan duka, pahit dan manis, ketawa dan tangis. Kata orang, pokok yang dipanjat semakin tinggi, semakin kuat anginnya. Warna sebenar kita akan terserlah. Dan pada ketika itu, segala yang pahit, masam, manis, busuk dan wangi akan terlihat jelas di penglihatan.


Sememangnya cinta semata takkan mampu memelihara rumahtangga. Ya, perkahwinan dimulakan dengan CINTA tetapi berakhir dengan tanggungjawab. Cinta hanya satu rasa. Tanpa kekuatan jiwa dan kematangan, segalanya akan goyah dek ujian hidup. 


Perasaan hanya hamba yang baik,
tetapi Tuan yang buruk..
Tiba waktunya, suatu yang dilihat cantik; tidak lagi seperti dahulu. Jika mengharap pada rasa, cinta pasti tercalar. Hanya ketika itu, cinta perlukan rasa tanggungjawab; tanggungjawab pula perlukan kepercayaan. Ketika cinta mula goyah, tanggungjawab akan datang menyelamatkan dengan peranan yang betul-betul berkesan.
Cuba kita bayang dan fikirkan,
ketika isteri muntah, badannya tidak terjaga lagi kerna menanggung tempoh mengandung
ketika mulutnya mula becok, mengasuh dan mengurus anak yang berderet

Ataupun,
ketika suami termenung memikirkan belanjawan rumah yang semakin naik
ketika keceriaan semakin menurun gara-gara sibuk mengejar tugasan yang bertambah

Adakah serinya masih sama seperti kita lihat di malam pertama?
Adakah kita akan terus setia?


Cinta memang hebat; lebih hebat jika ditunjangi tanggungjawab. Penerimaan sebagai pasangan hidup bukan lah bermaksud menerima semata-mata tetapi, memberi kesetiaan, kepatuhan, pembelaan dan seluruh jiwa ragamu untuknya. Kerana AKAD itu suatu yang suci dan tinggi dalam hidup untuk selamanya. Bukan hanya ketika sihat, tetapi ketika terlantar. Bukan hanya ketika muda belia, tetapi ketika rambutnya putih atau mungkin juga ketika mulai tiada rambut.
Cinta itu membebaskan bukan mengawal. Terbanglah kemana kau suka, dengan izinNYA kau akan kembali!
Jangan biarkan virus curiga menguasai dalam diri! Kerna kepercayaan itu harta berharga dalam sebuah rumahtangga.
Kepercayaan hanya dapat dipupuk jika kembali kepada yang UTAMA. Berpegang pada kehendakNYA.
Ah, suami ku jauh. Tetapi aku percayakannya. Dia adalah mukmin yang teguh agama."
"Aduh lamanya kita berpisah. Namun isteri ku, iman akan menjaga mu..."
 Bagi semua yang masih belum mengenal cinta (antara lelaki dengan wanita),  burulah sesuatu yang lebih indah daripada dicintai... itulah dipercayai!
Bukankah nabi Muhammad itu lebih dahulu  mendapat gelar  "Al Amin" (dipercayai) sebelum menemui srikandi cintanya Siti Khadijah?