Blogger Layouts

Monday, December 19

Buka mata, Buka Hati

Melangkah ke hari baru, minggu baru...

Alhamdulillah, masih diizinkan Allah untuk menghirup udara segar dan menikmati bahagia bersama insan yang dikasihi.

"nikmat mana lagi yang ingin kita dustakan, bukan?"

Semua pemberian ini diterima dengan tangan terbuka. Tidak kira pahit atau manis. Melihat insan di sekeliling menjadi lebih tua dan dewasa; mengingatkan betapa masa cepat sekali berlalu. Adik beradik yang menjadi teman sepermainan sudah mulai menempuh jalan hidup sendiri, mengejar cita-cita masing-masing demi sebuah kehidupan yang lebih baik di dunia dan akhirat.

Anak- anak saudara yang dulunya sering "lepak" di rumah tok sudah jarang kelihatan kerana bersekolah dan macam-macam aktiviti lainnya.

Ibu dan insan insan seangkatannya pula diduga Allah dengan ujian kesihatan. Macam-macam perkara yang ditempuhi.. Badan yang dulu sihat, sekarang mulai lenguh-lenguh.. Kaki yang dulu mampu berjalan berbatu-batu; sudah kurang upayanya. Setelah mengharungi liku-liku hidup yang getir suatu masa dulu, tentunya semangat hidup insan-insan ini lebih kuat dari aku.

 Kadangkala terfikir, bagaimana nasib aku dikala seusia dengan ibu; 57 tahun? masih bernafas kah? sihat kah? terlantar kah? Subhanallah, segalanya datang daripadaNYA.

Alangkah beruntung nasib ibu, jika mempunyai anak yang mampu untuk memeliharanya dikala sedang diuji itu, kan? Pernah dengar ibu-ibu bercakap..??

" Anak sepuluh, mak seorang boleh jaga..
Tapi..
MAK seorang, belum tentu lagi anak boleh jaga"

Kata-kata itu tersemat kukuh kat hati ini. Bimbang andai melupakan tanggungjawab itu.. Astagfirullah...
Aku belum melalui zaman itu, dan kuharapkan andai masa itu tiba.. aku mampu untuk menggalas tanggungjawab itu demi jasa-jasanya yang tiada ternilai buatku..

Ku harapkan hati ini terbuka seluasnya untuk menerima ketentuan Ilahi, menjadikan hati ini kuat dalam mengharungi segala yang bakal mendatang.  Dan, yang paling utama aku dapat menjadi anak yang berbakti buat kedua orang tuanya. InsyaALLAH..

Mode: Mengingati ibu yang dikasihi. Mungkin sebab nak balik johor kot.. Semoga semua akan baik. Amin..

Friday, December 16

Balik Johor...

Salam mesra..

Alhamdulillah, tak lama lagi akan balik johor dan duduk sebumbung dengan suamiku. Rasanya ini jalan terbaik untuk kami dan juga rumahtangga kami. Aku gembira dan pada masa yang sama sedih juga sebab akan jauh dengan keluarga dan rumah yang dah aku diami sejak kecil sampai sekarang. Tiga jam tuh.... Aduss!

Tetapi, bukankah isteri patut berada di sisi suami kan? Dengan izinNYA, rezeki baru buat ku tentu ada. Semoga Allah membukakan jalan ini seluasnya. Tapi, sejak tahu nak berhenti ni.. kerja mulai melambak lambak. Sampai akhir sekali buat aku jadi malas pula. Haishh.. tak baik, tak baikkk..

Moga-moga dapat menyiapkan semua tugas-tugas sebelum berpindah ke johor. Dan, tak sabar nak jalani kehidupan berumah tangga yang sebenarnya. Lepas ni suamiku; HACKS tak boleh berlagak bujang lagi. :)

Dan yang paling utama, moga Allah memudahkan segala urusan-urusan hidup kami semua selepas ini. AMIN...

Wednesday, December 14

Semoga Cepat Sembuh!


Alhamdulillah, diizinkan Allah untuk menulis di ruangan kecil ini..

Minggu lepas, dikejutkan dengan sedikit berita sedih. Ibu mertua ku di serang angin ahmar. Syukur ke hadrat Ilahi; semalam sudah pun dapat keluar dari hospital selepas 6 hari berada di sana. Terasa baru sahaja bertemu dengannya beberapa minggu lalu, kini bila bertemu lagi.. melihat dirinya tidak mampu untuk bergerak; menggerakkan tangannya.

Namun, mungkin ini ketentuan Allah atas diri ibu mertua dan kaum keluarga. Bukankah Allah menguji sesuai dengan kemampuan kita?? Mungkin kita yang belum menyedari kemampuan diri..Dan pastinya, setiap ujian itu akan ada hikmahNYA yang tersembunyi, menimbulkan kesedaran pada diri tentang kepentingan insan-insan yang hadir di sekeliling diri ini. Apatah lagi IBU... 

Cuma sedikit terkilan, kerana ibu mertua ku orang yang tak betah untuk duduk diam. Macam-macam aktiviti yang sering dibuatnya; tidak kiralah di mana.. bahkan dalam kereta sekali pun, masih boleh mengait! Jadi, bila melihat keadaan dirinya; hati menjadi sayu..

Tambahan ibu ku juga pernah terkena serangan yang sama beberapa tahun lalu. Syukur Allah memberikan kesembuhan buat diri ibu. Alhamdullillah, Ya Allah! Biarpun mengambil masa yang agak lama, kini ibu dah sembuh dan sihat.. dan semoga Allah mengurniakan kesihatan tubuh yang berpanjangan buat ibu.

Diharapkan agar ibu mertuaku juga akan sembuh sepenuhnya. Semoga dikurniakan Allah semangat yang kuat dalam usaha untuk kembali pulih.  Amin Ya Rabb!

Tuesday, December 13

Muhasabah CintaKU..

Wahai PEMILIK nyawaku
betapa lemah diriku ini
berat ujian dariMU
ku pasrahkan semua padaMU

TUHAN,
Baru ku sedar
Indah nikmat sihat itu
Tak pandai aku bersyukur
Kini, Ku harapkan cinta MU

Kata-kata cinta terucap indah
mengalir berzikir
di kidung doa ku
sakit yang kurasa
biar jadi penawar dosaku

Butir-butir cinta air mataku
teringat semua yang KAU beri untukku
Ampuni Khilaf dan Salah selama ini
Ya Ilahi... 
Muhasabah CintaKU

TUHAN, 
Kuatkan aku
Lindungiku dari putus asa
Jika ku harus mati
pertemukan aku dengan MU..

Mode: Kebelakangan ini hati mengingati sesuatu yang telah dilupakan sekian lama. Terima kasih Allah atas perasaan ini.

Tuesday, November 22

Tak Nak Bidadari?

Bila dikatakan bidadari syurga terlalu cantik, rupawan dan serba serbinya sempurna jadi, bagaimana pula dengan wanita dunia yang akan tinggal di syurga kelak? 

Bidadari syurga diciptakan Allah dengan kesempurnaan yang tidak dapat dibayangkan oleh fikiran manusia. Begitu juga dengan penghuni syurga yang jauh daripada perasaaan hasad dengki, iri hati, cemburu, bimbang dan sebagainya. Jadi, amanlah syurga setiap masa. Bila lelaki yang terpilih di hantar ke mahligai di syurga, datanglah bidadari syurga yang menjadi isteri pada setiap lelaki.


"Terlalu lama kami menunggu kedatanganmu. Kami sentiasa riang dan tidak pernah bersedih. Kami sentiasa lurus dan tidak pernah berlaku serong, kami juga hidup dan tidak pemah mati."

Bidadari akan berkata lagi;

 "Engkau adalah kekasih kami. Dan kami adalah kekasihmu dan kami juga tidak mengenal orang lain selain darimu."  

Hebat, kan? Padahal, banyak lagi lelaki tampan dalam syurga tetapi bidadari tak terpikat pun. Indahnya cinta dan kasih mereka!

Dan, tentunya wanita dunia dijadikan Allah lebih jelita, lebih indah perhiasannya daripada bidadari syurga. Kecantikannya pula adalah 70 kali ganda dari bidadari syurga. Subhanallah! Malah dijadikan pula wanita dunia sebagai KETUA BIDADARI, seronoknya!! Moga Allah menempatkan kita dikalangan orang orang yang beriman dengan sebenar-benarnya. AMIN...

Inilah ganjaran yang dikurniakanNYA diatas kebajikan dan amalan kita di dunia; lantaran ketabahan dalam ujian yang pahit dan manis serta ibadah yang istiqamah. Dan yang paling bahagia, kembali berkumpul dengan suami tercinta. :)


Boleh tak kalau di syurga nanti, wanita dunia tak nak kepada bidadari?

Jangan lah khuatir dan bimbang soal ini, ye adik-adik. Kerana dengan kehadiran wanita dunia, iaitu Ketua Bidadari sentiasa memukau kerana kecantikan mereka. Jadi, jangan takut suami anda di rampas bidadari.
Hehe...

Hebat, kan? Tapi kalau tak ada bidadari kan lebih bagus?

Tentulah tidak. Kerana itulah bandingan wanita dunia di syurga kelak. Kalau tiada bidadari, pada siapa wanita dunia hendak dibandingkan? hmmm..

Itulah indahnya ciptaan Allah dan pembalasan yang setimpal diberikan sesuai dengan perbuatan kita di dunia. Sungguh, terasa diri tidak layak untuk ke syurga.Tapi, mari sama-sama usaha, moga Allah melihat usaha yang kita lakukan.

Wahai Tuhan,
Ku tak layak
Ke syurgaMU
Namun tak pula
Aku sanggup
Ke nerakaMU

Note: Ingat mati, Ingat Sakit, Ingatlah saat kau sulit, Ingat hidup cuma satu kali.....

Monday, November 21

Jodoh

Alhamdulillah, aku sudah bertemu jodohku. Insan yang bakal dikongsikan kebahagiaan dan kesedihan yang ada dalam hati ini. Semoga dengan izinNYA, kami dapat bersama hingga ke akhir hayat.

Buat yang belum bertemu jodohnya.....

Persoalan tentang jodoh memang menjadi perkara utama bagi lelaki ataupun perempuan apabila menginjak dewasa. Yerlah, dah besar dah anak mak nih..:)

"Bila nak kahwin?"
"Dah ada kawannya ke belum?"

Soalan yang biasa kita dengar bila dah 20-an. Sememangnya usia yang sesuai untuk berumahtangga, kan? Aku bahagia melihat rakan-rakan dah bertemu dengan pilihan hati masing-masing. Ada yang bernikah dengan rakan sekolah, rakan sekelas, rakan seuniversiti dan macam-macam lagi. Seronok menyaksikan setiap insan di sekeliling aku menemui kebahagiaan mereka.

Siapa dapat menduga siapa pasangan kita? Sebab kita sendiri pun tak tahu kan? Dan, kadangkala kita tak terfikir pun bahwa pasangan kita wujud depan mata sejak dulu lagi.. Pelik,kan? Bagaimana perjalanan ini ditentukan? Kalau dari dulu dah tahu, tak payah penat-penat nak cari tempat lain.. :)

Ataupun, pasangan itu jauh dan kita tak pernah kenal pun..Pertemuan melalui chatting, facebook, sms dan seumpama dengannya.  Inilah takdir Allah. Dengan izinNYA, kita dipertemukan dan dengan izinNYA juga kita dipisahkan.

Cari-cari... carilah
pasangan hidup betul-betul oh kawan
bahagia berseri
rumah tangga akan harmoni

Dan sudah semestinya jodoh ini membuka perjalanan baru bagi hidup dua insan yang asing.  InsyaAllah..

“Diantara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri,supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antara kamu rasa kasih dan sayang.(Ar-Rum 21)

Semoga jodoh yang telah dipertemukan dan yang bakal dipertemukan buat kita menjadi suatu jalan terbaik dalam mencari kebahagiaan di dunia dan akhirat. Sama-sama kita doa ya! Amin ya Rabb..


Tuesday, October 18

Saya marah

salam mesra..

sudah lama meninggalkan ruangan ini. Sibuk dengan aktiviti harian lah katakan.. :)
Alhamdulillah, masih diberi kesempatan untuk menulis di ruangan ini. Terima kasih, Ya Rabb

Buat insan yang sudah berumahtangga, tentunya kehadiran cahaya mata menjadi impian utama dalam hidup mereka. Bukan apa, cahaya mata inilah menjadi pengikat kasih, penyambung nasab mereka, penghilang penat lelah tatkala seharian bekerja. Dan yang utama, kupu-kupu syurga mereka.



Apa yang terjadi kini?

Adakah kalian perasan tentang kejadian pembuangan bayi yang menjadi jadi di kala ini. Astagfirullah, semoga Allah mengampuni dosa dosa kita. Saya terpanggil untuk menulis tentang tragis nya nasib si bayi yang tidak berdosa. Sedih memikirkan nasib anak kecil yang belum mengerti apa-apa; dibuang, dikelar, dicampak begitu sahaja.

Apakah dosa mereka kepada anda? sehingga tergamak anda melakukan begitu? Adakah kita sudah kembali ke zaman jahiliiyah? sehingga membunuh anak sendiri menjadi perkara yang terlalu biasa buat masyarakat kita? Namun, saya pasti; benar benar pasti... anak anak yang diperlakukan begini, pasti kerana ingin menutup malu ibu bapa nya. Percayalah, Allah mengetahui segala yang kita nampakkan dan kita sembunyikan. Sesungguhnya tiada satu apa pun yang dapat melepasi pandangan dan pengetahuanNYA. Subhanallah!

Jangan lah menzalimi si kecil ini selepas anda menzalimi diri anda sendiri. Berfikir lah tentang janji Allah yang pasti tiba, pembalasan yang tiada penghujungnya. Hidup yang sementara ini bukanlah syarat untuk melakukan segala yang dikehendaki tanpa memikirkan akibatnya di kemudian hari. Sekiranya anda tidak menginginkan mereka, jangan disiksa dan dibunuh sikecil ini. Kasihan mereka, kerana mereka bukan punca dari perbuatan anda. Mereka hanya AKIBAT dari perbuatan anda!!

Oleh itu, berfikir dua kali sebelum melakukan sesuatu yang bakal anda kesali sehingga ke akhir hayat anda. Semoga Allah membimbing hati hati kita ke jalanNYA. AMIN

Mode:
Maafkan saya kerana menulis begini.
Maafkan saya kerana begitu marah dengan siapapun anda...
Namun, saya mendoakan anda menemui kebahagiaan yang anda cari.
Segala etenangan dan kebahagiaan hanya dari Allah..
Hanya denganNYA kita hidup, Hanya denganNYA kita akan mati..

Wednesday, September 28

Yang tersurat, Yang Tersirat

Dalam hidup, tak seindah yang tersirat..

Sudah lama tidak menulis di sini, kan? Aku kekeringan idea untuk menulis entri di sini. Tetapi disebabkan sesuatu yang menyentuh hatiku telah berlaku baru-baru ini, aku ingin kongsikan bersama dengan insan-insan yang sudi mendengarnya. :)

Bagi yang pernah mempelajari ekonomi, tentu pernah mendengar "scarcity", kan?. Tapi apa maksud scarcity ni? hurmm.. jom kita tengok!

"The fundamental economic problem of having humans 
who have unlimited wants and needs in a world of limited resources"

cewah, macam nak jadi cikgu ekonomi je aku ni, kan? tapi inilah yang ingin daku kongsikan.. 

Kadangkala kita hidup dengan hasrat untuk memenuhi semua impian yang tiada habisnya. Memikirkan apa yang ingin dibuat , memikirkan apa yang ingin dibeli, memikirkan apa yang ingin dimakan saban hari hingga terlupa melihat apa yang berlaku disekeliling kita. 

Melihat dengan kehidupan insan lain, yang serba kekurangan; membuat diri ini sedar akan kelebihan yang dianugerahkanNYA buat diri ini. Meski susah payah sebelum ini, aku pasti.. kehidupanku tidak pernah sesusah dirinya. 

Melihatkan anak-anaknya bergelap, berpanas di waktu malam di tengah-tengah kepesatan kota KL ni buat aku terfikir, masih ada orang yang hidup begini ketika ini. Hati menjadi sayu seketika mengenangkan dirinya hidup dalam keadaan begini. Tapi ku lihat, dia tabah menghadapi kehidupannya.Walaupun kata-kata yang keluar dari mulutnya mungkin sekadar untuk menyedapkan hati sendiri, aku yakin dihatinya ada duka yang masih belum diucapkan. Aku menghormati insan itu!

Hati ini mengucapkan syukur yang tidak terhingga kerana meski kehilangan ayah, aku masih dapat meneruskan pengajianku hingga ke universiti. Terima kasih buat insan yang membantu! Jasamu ku bawa hingga ke akhir hayatku!

Aku bersyukur kerana tidak pernah hidup bergelap hingga hari ini dan tidak pernah terpaksa belajar dengan ditemani sebatang lilin.

Dan, hingga kini aku masih sihat untuk menjalankan pekerjaan seharianku. Syukur, Alhamdulillah..



Rasanya, selepas melihat keperitan insan lain; barulah rasa insaf dalam diri ini hadir lantaran terkenang akan kelebihan yang dicurahkan Allah atas diri ini. 

Aku punya rumah yang baik, kerja yang baik dan kenderaan yang selesa.. bukan kah itu nikmat Allah? Jadi, nikmat mana lagi yang ingin ku dustakan.. Astagfirullah.

Ampuni ku atas kekurangan ku, 
Andai kurang rasa syukurku,
Andai banyak rungutanku atas dugaanMU.
Ampuni aku!

Wednesday, September 14

Selamat hari lahir ke 27!


 Alhamdulillah, akhirnya hari ini genap usia 27 tahun. Syukur atas nikmat usia yang Allah limpahkan pada diri ini. Ku tinggalkan segala peristiwa suka dan duka yang dialami jauh di lubuk hatiku. Dan, insyaAllah; aku akan mencuba menjadi lebih baik pada usia ini untuk mencapai segala keinginan yang diimpikan dengan pertolongan Allah jua.

Kadangkala terfikir akan aturan yang telah ditetapkan Maha Esa atas diri ini. Walaupun payah, tetap dapat kutempuhi juga kerana pertolonganNYA. Ku harapkan agar segala nikmat dan kasih sayang ini berpanjangan selamanya. Di waktu ini aku mengharapkan sebuah hadiah dariNYA buat daku. Semoga Allah mendengar bisikan hatiku dan mengabulkannya. AMIN..

Aku mengharapkan usia ku yang dipanjangkan Allah ini dapat ku manfaatkan sepenuhnya, dapat memberi kebahagiaan untuk insan-insan disekelilingku, dapat membantu mengikat ku dengan tali Allah... Kerana ku tidak tahu sejauh mana nikmat usia ini akan diberi buatku.

Dan ku harapkan dihujung usiaku kelak, aku akan dipanggil Allah didalam golongan yang baik dan solehah. :))

Ku ucapkan terima kasih diatas segala ucapan hari lahir dari suami, keluarga, sahabat yang mengingati. Semoga perhubungan yang terbina ini berkekalan sehingga ke hujung nyawa ini.


Mode: gembira & sedih kerana memikirkan suatu hari akan pergi meninggalkan insan-insan yang dikasihi.

Tuesday, September 13

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU…

Pandanglah wajah orang yang paling kita sayangi… samada ibu, bapa, suami, isteri, anak-anak atau siapa sahaja. Pasti kita akan berpisah dengannya satu hari nanti. Detik itu pasti datang. Itu janji kita sejak dulu… sanggup datang, sanggup pulang. Kita dan dia pasti berpisah oleh takdir yang dinamakan kematian.
 
Itulah detik yang paling menyedihkan. Sedih bagi mereka atau kita yang ditinggalkan. Dan lebih sedih bagi kita yang mungkin meninggalkan. Tidak kira siapa yang dahulu, siapa yang kemudian – ditinggalkan atau meninggalkan pasti menggetirkan.

Seorang isteri yang kematian suami… ketika seluruh dan sepenuh hati masih bersamanya. Masih banyak yang perlu diselesaikan – anak-anak, cita-cita dan harapan – tetapi ajal maut datang memutuskan segala dan semua yang kita inginkan. Ya, kita cuma hamba. Pada kita cuma tadbir, pada-Nya segala takdir. 

Kekadang masih tak puas bermanja dengan ayah dan ibu… tiba-tiba sahaja mereka dipanggil pergi. Hingga lidah kelu dan hati sayu, tidak ada lagi insan yang boleh panggil ibu. Oh, sedihnya apabila ditinggalkan ayah… insan yang paling kita yakini sangat mencintai kita dan kasihnya yang tidak pernah berbelah, tetapi terpaksa berpisah! 

Sekiranya saat ini kita diuji dengan kematian… ditinggalkan oleh yang tersayang. Maka kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah saw. Bukankah baginda telah dididik oleh mehnah paling getir yang bernama kematian? Bukankah ayahnya Abdullah pergi dulu sebelum sempat baginda dilahirkan? Ibunya Aminah menyusul beberapa tahun kemudian. 

Tidak sempat bermanja lama dengan datuknya Abdul Mutalib, datuknya pula meninggalkannya. Lalu baginda yang yatim lagi piatu itu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib. 

Kenangkan zaman kanak-kanak Rasulullah, tanpa ibu-bapa tetapi telah tega menjadi gembala kambing. Padang pasir dan angin kering menjadi sahabatnya. Lukisan alam itulah yang melakarkan jiwa suci dan akal tajamnya hingga mencari-cari makna kehidupan. Tidak sudi dia menjengah jahiliyah. Tidak rela dia dengan maksiat dan dosa. Hatinya berkata, bukan itu kebenaran dan kebahagiaan… lalu dia menyendiri di dalam gua. Jika tidak mampu mengubat, jangan dijangkiti. Lalu baginda lari… menyendiri. 

Sejak baginda berkahwin dengan Khadijah, itulah srikandi sejati cintanya. Yang membawa bekal makanan ke gua Hira’. Yang menyelimuti tubuh dinginnya apabila digegar wahyu pertama. Yang memberikan jiwa dan harta untuk dia berdakwah, berjuang apabila digesa oleh surah Mudasthir (orang berselimut) – qum faanzir – bangun dan serulah!  Itulah Khadijah kekasih Rasulullah, insan terhampir ketika semuanya meminggir.

Namun tidak lama, di tahun dukacita itu… Khadijah pergi buat selama-lamanya. Baginda kehilangan dorongan – pada jiwa dan harta. Khadijah tiada lagi.  Pergi ketika kasih dan cintanya masih didambakan. Sudah hilang bisikan yang memberikannya semangat, kasih sayang, pembelaan dan kemesraan. Baginda berdukacita… Namun, selang hanya beberapa bulan satu kehilangan berlaku lagi. Abu Talib pula  pergi.  Sedihnya, dia pamit tanpa syahadah. 

Tiada lagi perisai yang melindunginya daripada ancaman fizikal kaum Quraisy. Bila-bila masa sahaja pedang, tombak dan panah kaum jahiliah boleh menerjah. Jika dengan kematian Khadijah, baginda kehilangan dorongan. Dengan kematian Abu Talib baginda kehilangan perlindungan. Tanpa dorongan, tanpa perlindungan, Rasul keseorangan untuk meneruskan perjuangan.

Tidak cukup dengan itu, ketika Islam sudah bertapak di Madinah. Seorang ayah bernama Rasulullah, kehilangan  pula puteri-puteri kesayangannya Zainab, Ruqayyah dan Umi Khalsum… Subhanallah, tabahnya hatimu ya Rasulullah. Kematian demi kematian, tetapi kau terus hidup dengan hati yang berjuang. Seolah-olah kematian yang menyedihkan itu menjadi obor perjuanganmu menerangi hati umat yang mati ini!  

Ya, saudara-saudaraku. untuk apa semua ini dilakukan oleh Allah yang Maha Kasih kepada kekasihNya Muhammad? Ya, jangan bergantung kepada selain-Nya. Hanya bergantung kepada-Nya. Lalu jika kau kini sedang diuji dengan kematian suami, isteri, ibu-bapa, anak-anak, kenangkanlah hidup kekasih Allah, Rasulullah. Mari kita hayati dan mengambil ibrah dari setiap episod kematian yang telah dilaluinya. 

Jika kita kematian ayah, ibu, datuk, isteri, ayah saudara, anak dan sahabat… kita kenangilah hidup Rasullullah yang telah melalui segaladan semua itu. Hinggalah di saat akhir ketika baginda pula yang dipanggil  pergi, ketika Siti Aishah, Fatimah, Ali dan lain-lain saudara serta sahabatnya berada di sisi, baginda sudah bersedia, mehnah Allah sudah sampai ke kemuncak… baginda pula yang akan pergi.  

Baginda sangat mencintai semua yang bakal ditinggalkan, tetapi baginda lebih cinta kepada Allah yang bakal ditemuinya. Lalu mulut baginda hanya mengucapkan, “rafiqil a’la. rafiqil a’la… teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi (Allah). ” Ya, baginda sudah pasrah meninggalkan cinta daerah rendah… untuk terbang ke syurgawi, menemui cintanya di daerah tinggi!

ANDAI DIA PERGI DULU SEBELUM MU… 

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sepuhlah air mata dan teguhkanlah jiwa. Kita yang masih hidup perlu menyambung perjuangannya. Tidak mengapa bersedihlah seketika. Itu fitrah jiwa. Namun sederhanalah kerana esok kau mesti bangkit semula. Katakan pada diri, ya… kau telah pergi, pergi bersama doa ku. Kau tunggu di sana, pasti aku akan menyusul nanti!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, tanyakan pada hati mu yang sebati dengan hatinya, apa yang dia inginkan jika dia masih di sisi? Renung wajah anak-anak mu, lontarkan fikir melampaui kesedihan. Anak-anak mu punya masa depan. Di tangan mu segala cita-cita dan harapan. Jangan sampai nestapa ini menjadi halangan. Apakah kau tega mengecewakan?

Andai dia pergi dulu sebelum mu, katakan pada diri, akan ku galas amanah ini. Sekiranya terpaksa bertongkat dagu pun,  aku  tidak akan lemas dipagut sendu. Berjuanglah, agar dia bisa senyum di Barzakh itu. Oleh nukilan doa anak yang soleh dan solehah. Kalau benar cinta itu setia, anak-anak itulah titiannya. Di jambangan munajat, di taman ibadat, tentu ada sungai pahala… yang mengalir selamanya..

Andai dia pergi dulu sebelum mu, walau pun dia tidak akan kembali lagi, tetapi itu akhir pertemuan. Dulu kita bertemu untuk berpisah.  Kini kita berpisah untuk bertemu. Inilah jalan takwa yang telah dilalui oleh Siti Aishah, Siti Habshah, Ummu Salamah, Mariah Qibtiyah bila ditinggalkan Rasulullah. Syukur kau terpilih untuk melalui jalan mujahadah. Mujur kau ditakdirkan merasai mehnah Ilahi – tradisi hidup Ummahatul mukminin yang ditinggalkan suami!

Andai dia pergi dulu sebelum mu, sibuklah diri mu. Beribadahlah sehingga kau letih untuk merasa sedih. Gembirakanlah hati mu dengan menggembirakan orang lain. Carilah peluang kebajikan dan kebaikan yang bertaburan. Bila sesekali kesedihan datang tanpa diundang, berwuduk dan bacalah Al Quran. Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu satu kerehatan. Begitulah setiap kali Rasulullah SAW bila terasa gundah… diadukan kesedihan kepada Allah.

Andai dia pergi dulu sebelum mu, bisikan ke dalam hati mu yang paling dalam. Dia bukan milik ku. Dan aku pun bukan miliknya. Pemilik segala ialah Al Malik. DIAlah yang memiliki dan menguasai segala-galanya. Pada kita hanya amanah, sampai masanya terpaksa diserah.   Jangan ada rasa dimiliki, dan jangan ada rasa memiliki. Bila terasa sepi, jangan katakan aku sepi… tapi katakan pada ku sentiasa ada pemerhati.

Apa lagi yang boleh menggugat kebahagiaan seseorang manusia yang lebih hebat daripada kematian? Kemiskinan, kesakitan, celaan, kekalahan dan lain-lain ujian hidup adalah kecil berbanding kematian. Kematian adalah “pemutus” segala kebahagiaan. Sama ada, kita ditinggalkan oleh orang yang kita sayangi. Atau kita sendiri meninggalkan mereka. Saat itu, adalah saat yang paling derita.

Jika kematian dikatakan boleh mencabut kebahagiaan, belajarlah daripada Rasulullah SAW. Baginda telah menghadapi kematian orang yang tersayang secara berturut-turut sepanjang hidupnya. Bermula dari alam rahim, baginda telah ditinggalkan oleh ayahnya Abdullah. Enam tahun kemudian, ibunya Aminah meninggal dunia. Tidak lama kemudian, semasa masih dahagakan kasih-sayang, datuknya Abdul Mutalib pula pergi buat selamanya. Tinggallah dia dalam pemeliharaan ayah saudaranya, Abu Talib.

Ketika masih perlukan perlindungan Abu Talib, Rasulullah SAW ditinggalkan lagi. Abdul Talib meninggal dunia ketika keislaman begitu didambakan. Sedangkan sebelumnya, Rasulullah saw telah kehilangan isteri tersayangnya Siti khadijah… Lalu tahun itu dinamakan tahun kesedihan!

Baginda diberi enam orang anak lelaki yang meninggal semuanya sewaktu kecil. Anak-anak yang ketiga dan keempat, meninggal dahulu di hadapan matanya. Alangkah rindunya untuk mendapat cahaya mata lagi, lalu Rasulullah SAW dikurniakan anak lelaki, Ibrahim. Kebetulan rupanya amat mirip dengan baginda. Tetapi Ibrahim juga meninggal dunia ketika sarat menyusu.

Lalu ditumpukan kasih sayangnya kepada cucundanya Hasan dan Husin. Sangat dimanjakan, sehingga pernah sujudnya sedemikian lama hanya untuk memberi waktu agar cucunya turun dari belakangnya. Namun, dari ilham Ilahi, baginda telah tahu bahawa ada peristiwa besar bakal menimpa keduanya. Baginda hanya memberitahu salah seorang daripadanya bakal mendamaikan perselisihan besar. Dipendamkannya tragedi pembunuhan yang bakal dihadapi oleh Husin di Karbala.  

Begitulah Rasulullah menghadapi saat perginya orang yang tersayang. Lalu bagaimana pula keperibadiannya ketika baginda sendiri pergi meninggalkan orang yang tersayang? Sejarah menceritakan bagaimana ketika baginda terbaring di hamparan yang telah tua, berselimutkan kain kasar manakala minyak pelita lampu rumahnya hampir kehabisan… ketika itulah baginda menyebut, “rafiqil a’la, rafiqil a’la – teman daerah tinggi (Allah), teman daerah tinggi!”

Dalam “kamus” kehidupan  para muqarabin (orang yang hampir dengan Allah), tercatatlah ungkapan bahawa mati itu adalah syarat menemui cinta. Ya, begitu rindunya baginda untuk bertemu Allah – cinta hakiki dan sejatinya. Itulah teman daerah tinggi yang sangat dirindunya. Perginya dengan tenang walaupun demam panas yang dihidapinya dua kali ganda yang dialami manusia biasa. 

Namun begitu,  di saat sakarat yang begitu hebat, masih sempat baginda berpesan tentang solat. Untuk siapa? Siapa lagi kalau bukan untuk kita… umat yang akan ditinggalkannya.
Semua orang mengakui hakikat bahawa mati itu datang tiba-tiba. Tetapi aneh, manusia yang pasti mati itu terus hidup sambil lewa.

Ketika segala tragedi dan ujian menimpa, Rasulullah SAW tetap bahagia. Bahagia inilah yang digambarkan  oleh pembantunya, Anas bin Malik dengan pengisahannya:

“Aku telah menjadi khadam Rasulullah SAW 10 tahun lamanya. Maka tidak pernah baginda berkata atas apa yang aku kerjakan: “Mengapa engkau kerjakan?” Tidak pernah pula baginda berkata atas apa yang aku tidak kerjakan: “Mengapa engkau tidak kerjakan?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang ada: “Mengapa ada pula barang ini?” Tidak pernah baginda berkata pada barang yang tidak ada:”Alangkah baiknya kalau barang itu ada.” Kalau terjadi perselisihan antara aku dengan ahli keluarganya, baginda akan berkata kepada keluarganya: “Biarlah, kerana apa yang ditakdirkan Allah mesti terjadi!” 

Inilah bahagia yang dialami oleh Rasulullah SAW. Aku cuba mencungkil sekelumit rahsia kebahagiaan yang hakiki ini. Mudah-mudahan kita akan dapat menghayati kunci kata di sebalik model insan yang paling bahagia ini. Kunci kata itu tepat dan padat – ana abdullahi walan yudhi’ani – aku hamba Allah, DIA tidak akan mengecewakanku!”

KETIKA RASULULLAH PERGI…
Tengah hari  itu…
gugur butiran air mata di wajah mu

Hibanya hati melepaskan Rasul pergi

Bukan tidak reda,

Tapi itulah hati seorang isteri

pasti ada rasa cinta!

Pada akrab sekian lama yang terpisah

Bagai isi dan kuku…

Tapi hakikatnya kita semua hamba

Yang terpaksa akur dengan takdir-Nya

Jalan mujahadah menggamit kelangsungan budi

Setia seorang isteri tanpa teman menabur jasa

makam itu cuma semadi jasad…

Tapi dian batinnya terus menyala
Pada sebuah amanat di sisi isterinya

Wahai srikandi cinta Rasul yang masih hiba
Duhai srikandi budi yang masih lara
Sepuhlah air mata di usia muda
Melangkahlah semula dengan kukuh
kerna jalan ini masih jauh

Yang wafat cuma jasad
Bukan niat dan semangat!

Citra ini mengimbau sejarah ‘si merah’
– Umamahatul Mukminin Siti Aisyah
di usia remaja menjadi isteri Rasulullah
Teman Rasul ketika berjuang membela umat
Teman Rasul ketika di amuk sakarat
di ribaannyalah baginda wafat

Sepeninggalan Rasul…
Dialah gedung ilmu yang mendidik tanpa jemu
Dialah gunung budi yang berbakti tanpa henti
Dia hanya kehilangan suami
Tapi bukan kehilangan misi!

Sesekali ketika rawan diusik kenangan…
Berteduh di sejuk wuduk menawar gundah
Istirahat hati pada satu hakikat…
Cintaku hanya sedebu cinta-Nya
Relakanlah dia pergi…
Menemui temannya di daerah tinggi!

Mode: entri ini diambil dari sini

Wednesday, August 24

Ramadhan, pemergianmu ku tangisi

Allahuakbar.. allahuakbar.. allahuakbar..

Alhamdulillah, masih mendapat peluang untuk mencoret sepatah dua di sini. Ramadhan kian beransur pergi.. Maafkan daku kerana tidak dapat memanfaatkanmu sepenuhnya. Hati terasa sedih kerana harapanku tidak kesampaian.. Niat dihati ingin mengisi ramadhan ini dengan sebaik-baiknya. Tapi apakan daya niat ku terkandas dipertengahan jalan..

Terasa ingin menangisi kepergian ramadhan kali ni, kerana entah kita dapat bertemu lagi atau tidak tahun hadapan. Hati pasti merindukanmu. merindukan rahmat yang dibawamu. Sayangnya, kehadiranmu tidak dapat ku isi sebaiknya. Maafkan daku sekali lagi!

Aku ingin memohon sesuatu dibulan ramadhan penuh rahmat ini. Benar-benar mahukannya!

:)

Thursday, August 18

Ujian di pertengahan

Assalamualaikum..

Terasa rindu untuk mencoret di sini.Bermulanya ramadhan, bermakna bermula lah bulan yang sibuk buat diri ini. Sibuk apa nya?? Sibuk dengan urusan pejabat yang bertambah saban hari. Macam wanita bekerjaya la pula.. Bekerja mungkin ya.. berjaya belum lagi. Masih berusaha untuk mengubah haluan dan pembentukan diri.

Alhamdulillah, bersyukur atas segala kurniaan Maha Esa buat diri ini. Di bulan puasa ini, aku belajar melatih diri untuk menjadi seorang yang sabar dengan sikap dan perangai manusia yang kadangkala membuat hati ini menjadi panas membara. Bukan apa, kadangkala sikap kita dan sikap orang lain berbeda. pandangan kita dan pandangan orang juga mungkin beda.

Bukan senang nak memuaskan hati semua orang, kan? tetapi jika berjaya.. Alhamdulillah... Aku bukannnya seorang insan yang suka mengekspresikan perasaanku secara terang-terangan. Bagi yang mengenaliku, tentu lebih memahami.. Walaupun kadangkala aku hanya senyum, dan diam. itu tidak bermakna aku menerima bulat-bulat percakapan itu.

Semoga  Allah memberi kekuatan buat diri ini untuk berubah menjadi lebih baik dan belajar untuk menerima kata-kata orang dengan hati yang terbuka meski kadangkala terasa pedih di hati. Sesungguhnya aku hanya insan biasa, punya hati dan perasaan.. tidak suka di perkecilkan atau memperkecilkan. Kerana itu bukan ajaran dari orang tuaku.. :))

Mode: Terasa terlalu marah dengan seseorang yang ku kira menghina ku...

Monday, August 8

Semoga berjaya, Prof!

Salam mesra...

Alhamdulillah, diam tak diam sudah pun seminggu menempuh ramadhan yang mulia ini. Syukur kepada Ilahi kerana memberi kesempatan buat diri ini. Ingin menceritakan peristiwa yang baru daku lalui tempoh hari; sebenarnya baru berlaku pada hari sabtu lalu. ^_^

Sebelum ini memang hati agak berat hendak pergi mendengar ceramah agama; bukan apa, hati lebih senang mendengarnya dari youtube. Mudah dan cepat!  Tetapi hati terpanggil untuk turut serta dalam majlis ilmu yang dikelolakan oleh Prof Kamil yang merupakan pengarah kampus uitm segamat, tempat pengajianku dahulu. Semuanya hasil idea adikku. Thanx adik!

Kami tiba lewat, maklumlah jauh kan.. Bayangkan lah majlis bermula pukul 9.00 pagi; pukul 8.40 pagi baru bertolak dari Ayer Hitam.Dahsyat betul! Semua gara-gara terlewat bangun.  Alhamdulillah, selamat sampai dan sempat juga mendengar ilmu yang ingin dikongsi oleh Prof sebelum beliau berangkat ke Madinah.

Mendengar kata-katanya, aku yakin beliau sudah menemui jalan hidup yang dicari-cari oleh setiap yang bernama muslim. Aku ingin belajar menjadi seperti insan-insan yang diberikan hidayah olehNYA. Aku bermohon supaya Allah melihat daku yang kerdil ini dan memberikannya kepadaku. Kerana, hidayah itu milikNYA.

Terima kasih atas perkongsian ilmu itu, semoga memberi manfaat dalam mengisi ruang hidupku. Dan ku doakan Prof dan keluarga dalam perlindungan Allah sentiasa. AMIN

Friday, July 29

Proposal Ramadhan ku


Salam mesra..

Alhamdulillah, ramadhan sudah hampir tiba. Semoga kehadiran ramadhan ini memberi makna dan perubahan besar pada diri. Semoga apabila tiba pagi syawal, perkara yang ku rencanakan ini menjadi kenyataan.

Bermulanya ramadhan ini, aku akan memulakan cabaran Al-Quran ku. Aku akan membaca tafsir Al-Quran dan cuba memahaminya sebaik mungkin. Bukan apa, terkadang aku membaca Al-Quran tanpa memahami maksudnya. Rugi,kan? Hanya surah-surah pendek tertentu sahaja yang aku ketahui maknanya secara menyeluruh. Dan surah-surah lain? Belum lagi membacanya. Terasa kerugian bagi diri kerana tidak memahami tinggalan Rasullullah S.A.W ini. Di tambah lagi, bulan ramadhan kan bulan dimana turunnya Al-Quran. Jadi, sesuailah kalau hasrat ini dilaksanakan sepenuhnya di bulan berkat lagi mulia. 

Ibn Kathir r.a pernah berkata: " Allah memuji  bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan ialah bulan turunnya Al-Quran"

Hasrat ini sudah lama terpendam didalam hati, aku ingin mengenali Al-Quran. Arwah ayah juga pernah menghadiahkan senaskhah tafsir Al-Quran buatku. Mungkin sudah menjadi hasrat dirinya untuk melihat kami adik beradik mempelajari Al-Quran dengan baik. Dan, aku berharap apabila tibanya syawal nanti; aku akan selesai membaca tafsir Quran ku dari kulit ke kulit. ^_^

Doakan aku, ya!

Tuesday, July 26

Menangkis kejahatan Jin dan Sihir



Percayakah kita dalam kehidupan yang serba moden, canggih dan penuh teknologi sekarang ini masih ada insan yang menggunakan perkara-perkara syirik seperti jin, sihir, pukau dan guna-guna semata-mata untuk memuaskan hati mereka? Mengapakah kejadian ini berlaku? Hanya kerana perasaan hasad dengki dan iri hati dengan insan lain; kita sanggup bertuankan JIN dan SYAITAN! Astagfirullah.. Moga dijauhkan dari perkara-perkara sebegini.

Hasad merupakan sifat seseorang yang tidak suka orang lain lebih daripadanya atau tidak suka orang lain mendapat nikmat dari ALLAH. Maka, dia ingin nikmat itu pergi dari orang tersebut. Bukankah segala nikmat itu hak yang Maha Esa? Hanya DIA berhak memberikan nikmat kepada sesiapa yang disukaiNYA. Siapalah kita, bukan?

Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. - ( Hadis Riwayat Abu Daud)

Pernah dengar perkataan Manzil? Manzil merupakan beberapa ayat Al-Quran yang dipetik daripada Al-Quran untuk keselamatan daripada kejahatan jin, sihir, pukau, guna-guna serta bala musibah yang lain.Ayat-ayat ini diajarkan oleh Rasullullah S.A.W kepada para sahabat sebagai syifa ( penawar dan ubat) daripada beberapa penyakit rohani dan juga jasmani. Ayat ini boleh digunakan sebagai benteng diri tetapi kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah akan membantu kita.

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
( Surah Al A'raf: ayat 55)

Semoga dengan menggunakan manzil ini, kita dapat menghindarkan diri dari perbuatan khianat dan hasad dengki insan lain. AMIN

Saturday, July 23

Itulah IBU


Salam Mesra..

Benarkah seorang ibu yang buta huruf, tidak pandai mengaji; tak mampu mendidik anak menjadi insan berguna? Benarkah hanya ibu yang berpendidikan tinggi mampu melahirkan anak-anak yang bijak pandai kelak? Benarkah teori itu? Mungkin ya, dan mungkin juga tidak.. ^_^

Kadangkala dirasakan teori itu kurang tepat kerana aku telah menyaksikan sendiri bagaimana gigihnya seorang ibu yang buta huruf mendidik anak-anak hingga berjaya ke peringkat universiti. Tentunya si ibu tidak mahu anaknya digelar buta huruf seperti dirinya juga, bukan? Alhamdulillah, Allah mendengarkan doanya.

Bagiku, memang sifat seorang ibu; sentiasa inginkan yang terbaik buat anaknya. Seorang ibu tentu sahaja sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya tidak kira lah wang, masa atau hidupnya. Semua demi kebahagian anak-anak yang dikasihi. Biarpun kadangkala terpaksa melukakan hati sendiri, si ibu tentu sahaja rela asalkan anaknya senang dan bahagia. Itulah IBU...Jasanya tidak terbanding.

Biar ku hujani ibu dengan wang ringgit setinggi gunung.. Tidak akan ku mampu membalas keringatmu disaat mengandungkanku, melahirkan ku... dan membesarkanku. Terima kasih ibu.

Namun, hatiku terasa sedih melihatkan anak-anak kini. Kadangkala di anggap sebagai MUSIBAH oleh ibubapa. Benarkah begitu? Kesibukan dalam kerjaya menyebabkan kehadiran mereka dipandang sepi kadangkala.. Kasihan dirimu, nak! 

Aku tahu, aku belum menjadi ibu.. dan tidak tahu bagaimana perasaan ibu sebenarnya. Tetapi aku yakin, sudah menjadi sifat seorang ibu; kasih sayangnya tiada bandingannya. Dalam kesibukannya, tentu ada rindu buat si anak itu, kan? Dan, akhirnya si ibu akan mengalah demi si anak, demi kebahagian dan demi menjadikan anak insan yang lebih baik dari dirinya. 

Semoga Allah mendengar doaku, 
Dan memperkenankan doa ini secepatnya. 
Semoga Allah memberkati apa yang diberikan padaku sehingga aku tidak suka mempercepat apa yang telah dilambatkan dan memperlambatkan apa yang telah dipercepatkan. AMIN

Friday, July 22

Terima Kasih, Ya Rasullullah!

Al Quran dan Sunnah adalah sebuah khazanah berharga yang ditinggalkan Rasulullah SAW buat kita, umatnya yang dikasihi. Syukur kerana daku tergolong dalam umatmu, wahai Rasulullah. Aku mengharap dapat bertemu denganmu di akhirat kelak, walau diri tidak layak untuk dekat denganmu. Aku doakan Allah sentiasa merahmati mu, keluargamu, sahabatmu dan juga buat rasul-rasul yang terdahulu.

Khazanah tinggalanmu ada di sisiku sentiasa. Aku sedar aku membacanya tanpa memahami maksudnya. Aku sedar khazanah tinggalanmu kadangkala dilitupi habuk dan debu dek kerana sifat lupa ku padanya. Aku mahu menghayati, mengamalkannya dengan sebaiknya. Aku mahu memahami dengan sebaiknya dari awal hingga akhir; mengetahui sebab turunnya surah-surah didalam khazanah tinggalanmu itu.



Aku tahu perjalanan ini masih jauh; masih jauh untuk aku memahami erti berserah diri, erti yakin dan percaya dengan sesungguhnya dengan apa yang ditinggalkan mu iaitu Islam dan Iman. Aku sentiasa memohon kepada Allah supaya membantu aku dalam pencarian diri ini. Ingin aku hilangkan segala cita-cita duniaku yang menggunung itu untuk mendekati PENCIPTAku, mencari redhaNYA dan agar mendapat sedikit syafaat darimu di akhirat kelak. 

Aku menyanjungi kasihmu, wahai Rasulullah. Kasih yang tidak terhingga buat kami, umatmu. Terima Kasih, Ya Rasulullah!

Taaruf: dari pandangan kecilku

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, Allah memberi peluang buat diri untuk meneruskan kehidupan dan memperbetulkan kesilapan. Moga diri ini sering di pandu Allah ke JalanNYA. Pejam celik, sudah hampir kita dengan ramadhan yang mulia, kan?

Bersempena dengan hari jumaat yang mulia ini, daku terpanggil untuk menulis sesuatu yang di minta oleh adikku iaitu mengenai TA'ARUF. Meski aku bukan lah seorang yang begitu arif mengenainya, aku akan cuba berkongsi tentangnya disini melalui pengetahuanku yang hanya sedikit ini. InsyaAllah.. ^_^

Mesti ramai yang memahami pengertian taaruf ini, kan? Di dalam Islam sendiri, taaruf membawa maksud mengenal, yang membawa erti saling mengenal bukan sahaja di dalam lingkungan usia kita sahaja tetapi juga buat saudara sesama muslim.

Mari kita lihat ayat dari surah Al hujurat ayat 13 ini:


Ayat di atas tentunya sudah menjelaskan Allah menganjurkan hambaNYA berkenal-kenalan di antara kita. Tetapi, Allah juga telah menggariskan panduan buat kita dalam taaruf ini, apatah lagi antara lelaki dan wanita. Ya, kan? Contohnya, dalam pencarian jodoh; penting nya taaruf ini dalam melahirkan keluarga yang sakinah, mawadah dan warahmah. Jadi, untuk mencapai tujuan itu, taaruf ini harus dikawal dengan sebaik nya dan mengikut jalan-jalan yang ditetapkan.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik....."  ( Surah An Nur: Ayat 26)

Sesungguhnya aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis mengenai tajuk ini tetapi bagi pandanganku yang kerdil ini, hubungan antara wanita dan lelaki perlulah dibatasi dengan mengikut batasan syariat. Kerana,  wanita mampu menjadi fitnah yang besar buat seorang lelaki. Jadi, buat kaum lelaki; jaga hati, jaga imanmu. Ingatlah, syaitan sentiasa menjadi yang ketiga antara kalian berdua, ^_^

Ku doakan agar kita dapat mendalami pengertian taaruf yang sebenarnya. AMIN

Mode: Entri ini ditulis dengan pengetahuan yang sedikit. Sekiranya terdapat kesalahan, harap dapat diberikan tunjuk ajar. 


Tuesday, July 19

Kenduri dan Malam Nisfu Syaaban

Alhamdulillah, syukur dapat meneruskan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan buat diri ini. ^_^

Syukur, sabtu lalu dapat juga membuat kenduri arwah untuk ayah tersayang meski agak kelam kabut disebabkan persiapan yang agak lewat. Terima kasih pada yang hadir pada majlis yang tidak seberapa itu. Mengambil keberkatan dan kemuliaan nisfu syaaban, kami berharap agar doa kami untuk ayah sampai kepadanya. AMIN..

Walaupun terdapat banyak majlis lain bagi memeriahkan malam nisfu syaaban, kami bersyukur kerana rakan dan keluarga sudi hadir dalam majlis ini.Mengapa malam nisfu syaaban disambut dengan meriah ya? Aku juga diingatkan suamiku untuk membacakan surah yassin sebanyak 3 kali pada malam tersebut. Terima kasih Mr Hacks... ^_^

Antara kelebihan malam nisfu syaaban adalah seperti berikut:


“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].


Syukur dapat berkongsi rezeki kami dengan semua yang hadir dan dapat beramah mesra dengan kaum keluarga yang sudah lama tidak berjumpa. Kami berharap dapat membuat majlis kenduri seperti ini dengan lebih kerap. InsyaALLAH, moga dipermudahkan. AMIN

Thursday, July 14

Ibarat Kain Putih


Alhamdulillah, dapat menikmati hujan di pagi khamis ini. ^_^

Setiap pagi, anak-anak saudaraku pasti akan singgah di rumah sebelum berangkat ke tadika. Pasti kecoh saja jika mereka sampai kerana menyiapkan peralatan sekolah masing-masing. Ada yang mencari stoking, mencari tudung. Kelakar melihat gelagat mereka.

Anak-anak ibarat kain putih, yang suci dan bersih. Maka menjadi tanggungjawab ibubapa lah untuk mencorakkannya, bukan?

Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci .
Ibu bapanya kelak yang menjadikannya 
Yahudi, Nasrani atau Majusi .
 (HR. Bukhari)

Meski belum dikurniakan zuriat, aku mengharapkan agar dapat menjadikan anak-anak ku mujahid Allah. AMIN

Teringat perbualan dengan anak saudaraku, Abid Hilmi yang berusia 5 tahun; dia begitu asyik membacakan pantun

Abid: Buah cempedak di luar pagar
         Ambil Galah tolong jolokkan
         Saya budak baru belajar
         Kalau salah tolong tunjukkan

Dek kerana kerapnya dia membacakan pantun itu buat aku dan adik-adik. Maka kami bertanya kepadanya:

Aku: Tunjukkan apa abid??

Nak tahu jawapan si anak kecil itu??? Ini jawapan yang kukira ikhlas dan jujur darinya

Abid: Buah cempedak itulah.

Terasa mahu ketawa sekuatnya, benar-benar tulus anak ini memberikan jawapan buat ibu saudaranya.  Seronok mendengar ceritanya jika kami berbual kerana anak kecil ini banyak ideanya. ^_^

Semoga anak-anak saudara ini membesar dengan sihat dan menjadi anak yang pintar.

Wednesday, July 13

Aku Rindu PadaMU

Subhanallah, walhamdulillah..wallahuakbar..

Terasa rindu menyelinap di hati, rindu pada sesuatu yang telah ku tinggalkan berminggu-minggu. Rindu pada ketenangan jiwa yang pernah mengusik hatiku; rindu pada bacaan merdu surah-surah yang aku dengari saban malam yang menjadi peneman tidurku; rindu pada buku-buku yang menjadi pemangkin semangatku; rindu pada bacaan yasin manzil yang ku bacakan setiap malam dahulu. Kemana hilangnya diri itu?

Aku terasa rindu untuk melakukan semua itu. Rindu untuk merasakannya semula.. Adakah ia sudah hilang dari diriku? Ya Allah, jangan ambil IA selepas ENGKAU hadiahkannya kepadaku! Apakah IA itu?

IA adalah rasa ku di hadapan penciptaKU. Rasa takut dan sebak ku apabila berhadapan denganNYA di dalam solatku. Astagfirullah, ampuni aku di atas kelemahan diri ini.. Kadangkala melewatkan seruanMU, kadangkala pula melupakannya.

Aku rindu padaMU,
Rindu untuk bersujud padaMU dengan sesungguhnya..
Rindu untuk merasai dinginnya bacaan surahMU menembusi hatiku

Sinari jiwaku Ya Allah
Dengan cahayaMU
Agar terus subur kasih ini buatMU.

Ilmu, Iman dan amal

Zaman persekolahan tentunya zaman yang indah untuk diingati dan dirindui. Terasa ingin kembali ke zaman itu. Seronok rasanya bersaing dalam kelas untuk mendapat nombor yang baik dalam kelas. Padahal, bukan pandai sangat pun.

Alhamdulillah, dapat menamatkan pengajian sekolah menengah dengan baik; walaupun tak begitu cemerlang. Namun zaman persekolahan ku tentunya berbeza dengan zaman persekolahan anak-anak kini. Ku lihat, ibu bapa  kini mahu melihat anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk kelas tuisyen dan kelas tambahan yang lain. Semua demi masa depan anak-anak. Bagusnya.. ^_^

Cuma yang kurang menyenangkan, apabila mendapat keputusan yang baik dalam pendidikan islam; si anak disoal pula oleh ibubapa:

"kenapa subjek ini boleh dapat 90%, tapi subjek lain tak boleh? Nak jadi ustaz ke?"


Kan bagus tu, betul tak? Patutnya ibubapa bangga kerana anak-anak mampu menjawab dengan baik, kan? Alangkah baiknya jika agama dan ilmu lain dapat berjalan seiring dengan kecemerlangan dalam penghidupan.

Aku mengharapkan agar anak-anak yang bakal daku miliki, mendapat pendidikan sewajarnya dan menjadi penyejuk hati kami; suami isteri. Daku juga mengharapkan zuriat kami menjadi orang yang fasih dengan Islam dan mengamalkannya dengan baik. AMIN

Tuesday, July 12

Perihal Adikku.


Syukur kerana Allah mengizinkan aku bernafas dan menikmati indahnya hidup ini. Walaupun didatangi dengan pelbagai perkara yang tidak diduga, aku bersyukur kerana masih kuat dalam menempuhinya. Alhamdulillah, Ya Allah!

Cuma hari ini, aku ingin mencoretkan sesuatu tentang adikku yang bongsu. Namanya Abdul Rahim Bin Mansur, dan kini usianya sudah mencecah 15 tahun. Maknanya, tahun ini dirinya akan menduduki peperiksaan PMR; Semoga berjaya adik kecilku!^_^

Anak bujang Ibu!

Aku masih ingat saat-saat gembira ayah menyambut kelahiran adikku yang bongsu ini pada tanggal 05/03/1996. Harapannya untuk memiliki zuriat lelaki akhirnya didengar Allah SWT. Bukan apa, adik beradikku yang lainnya semua perempuan.

Sehingga akhirnya, selepas 6 tahun ibu dan ayah mendapat anak lelaki yang dinantikannya. Ayah tentu sahaja gembira dengan kehadiran adik lelakiku yang satu ini. Pelbagai perkara direncanakan sepanjang pembesaran adik. Niatnya yang pertama adalah untuk membawa adik menunaikan umrah bersama dengannya, kemudian mahu mendidik adikku untuk menjadi pemain bola sepak sepertinya. Sungguh, kasihnya begitu besar buat diri adik. Cuma yang daku sedihkan, ayah tidak sempat menemani perjalanan si adik kecil ini kerana menyahut seruan Ilahi di awal usia adikku 4 tahun. Semoga rohNYA aman di sana. AMIN.

Selepas pemergian ayah, tentunya kasih ibu lah yang menjadi payung besar dalam hidupnya. Ibu tidak mahu adik merasai sebarang kekurangan dari segi kasih sayang ataupun keperluan. Bagi ibu, adik sudah tidak berbapa; hanya dirinya menjadi ibu dan ayah buat adik kecilku ini. Dirinya begitu sedih jika memikirkan akan pergi dari dunia ini tanpa melihat adik berjaya menjadi seseorang. Ibu bimbang benar kami tidak menjaga anak kecilnya ini.

Dan adik kecil ini pula, aku tidak mengerti akan kemahuannya dan cita-citanya. Mungkin kerana jarak usia kami yang jauh membuatkan aku kurang memahami akan perasaannya. Namun, ku harapkan adik kecilku ini menjadi seorang mujahid di jalan Allah dan mampu menjadi harta berharga yang ditinggalkan ayah buat ibu.

Mode: Kasihnya ibu membawa ke syurga,
           dan kasih ayahnya berkorban nyawa.

Friday, July 8

Aku di pintuMU

Marah..

Assalamualaikum..

Dah bertemu kembali dengan penghulu segala hari. Alhamdulillah.. Syukur! Hari ini macam tertekan dengan diri sendiri kerana sejak kebelakangan ini suka "cakap main lepas" saja.Marah pun ada dengan diri sendiri. Bimbang kalau menyakiti perasaan sesiapa.

Padahal dah berjanji dengan diri sendiri untuk bercakap baik. Sedihnya, kena melakukan sedikit "post mortem" dengan diri sendiri. Kerna aku tak mahu menjadi biasa dengan cakap-cakap begitu. Kata orang; alah bisa, tegal biasa.. Jadi sebelum jadi biasa, kena betulkan cepat-cepat.

Cuma, perlukan sedikit kekuatan untuk memarahi diri sendiri. Semoga mendapat pertolongan untuk memperbetulkan akhlak dan pertuturan. AMIN..

Mode: kecut perut dengan kata-kata sendiri sebenarnya. T_T

Thursday, July 7

Hati yang Redha

Salam mesra..

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala kurniaanNYA yang dilimpahkan buat diri ini. Melangkah ke hari baru, dengan hidup baru dan dengan kisah yang baru. Moga saja semua dipermudahkan

Sememangnya hidup sebagai manusia, kita tidak akan lepas dari ujian Allah. Ujian dari segi perasaan, ujian kehilangan orang-orang kesayangan, ujian dalam pekerjaan dan juga ujian dalam beribadah; tetap juga ia dipanggil ujian. Yang membezakan akan penerimaan itu hanya lah iman seorang muslim itu sendiri. Ya kan?

" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta, (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)


Jadi, mengikut firasatku; kita perlu mempunyai perasaan yakin bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan ini adalah ujian dari ALLAH dan hanya berakhir apabila kita menghembus nafas yang terakhir. Subhanallah. Sesungguhnya daripadaNYA aku datang, dan kepadaNYA jua aku kembali kelak.


Apa yang lebih utama ialah kemampuan dalam melihat ujian hidup itu dengan mata hati. 


Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati. (Surah al-Haysr, ayat 2)


Sesungguhnya dalam mencari redha Ilahi ini, tentunya banyak perkara yang perlu dilalui bagi mencari hikmah yang tersembunyi. Hanya hati yang cekal dan tabah sahaja yang dapat menempuhi dan mengambil iktibar dalam setiap sesuatu. Bukankah Allah bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat lalu dia bersyukur dan apabila di berikan musibah dia bersabar? 


Mode: moga hati menerima segala ketentuan dengan sepenuhnya. AMIN



Tuesday, July 5

Bawa jiwa

Assalamualaikum..

Hari ini jiwa agak runsing memikirkan tahap kesihatan yang agak merosot. Entah kenapa pula agaknya ya? Mungkin kerana tekanan kerja yang bertambah-tambah kebelakangan ini. Jiwa juga dirasakan agak tidak tenteram. Cuma, penyebabnya saja yang aku tak tahu.

Ingin rasanya membawa jiwa ini kembali kepada PenciptaKU. Ya Allah, bantu daku. Janganlah apabila tertimpanya musibah, baru daku dapat mengembalikan jiwaku padaMU. Bukan apa, terasa bagai menzalimi diri sendiri; bila susah, baru ingat nak minta tolong pada Allah. Takut-takut diri ini terlupa diri seketika.

Aku sedar, diri ini lemah dan banyak melakukan kesilapan dan dosa. Dan, aku ingin memperbaiki diri demi mencari makna kehidupan didunia ini dan demi mencari sebuah keredhaan yang abadi. Aku hanya mampu menitipkan doa agar kesihatan ku membaik dan pulih.

Ku pohonkan pada yang Esa atas kebersihan diri dari segala penyakit yang tidak menentu, dari fikiran yang bercelaru, dan dari hati yang tidak khusyuk. AMIN

Monday, July 4

Antara doa dan taubatku

Alhamdulillah, sudah pun melangkah ke minggu yang baru. Moga-moga ia berjalan dengan baik. Sudah melangkah ke bulan syaaban, di harapkan usiaku dipanjangkan hingga ke bulan ramadhan. ^_^
Bukan apa, bulan ramadhan kan bulan yang berkat, yang dipenuhi Allah dengan rahmat, yang digandakan Allah pahala dan bulan yang DOA kita diterimaNYA.

Banyak yang ingin daku doakan buat diriku, buat suami, buat ibu bapa, buat ibubapa mertua, buat seluruh kaum keluarga, buat guru-guruku dan juga buat seluruh umat Islam yang telah meninggal dunia dan juga yang masih hidup. Diharapkan agar doaku diperkenankan dan segala harapanku dijadikan Allah suatu kenyataan.

Aku ingin merasakan nur kasih Allah mengisi ruangan hatiku.Kadangkala bimbang menguasai hati, takut diri terpesong dari jalanNYA.. Aku ingin merasai makna taubat yang sesungguhnya.. Daku sering membayangkan bagaimana Rasulullah mampu untuk bertaubat 100 kali sehari sedangkan daku, ingin menyesali kesilapan sendiri pun dirasakan amat payah.

Sememangnya hati ini benar-benar perlukan bimbingan; agar mampu menilai segalanya dengan baik dan penuh hikmah. 

" ... dan Kami lebih dekat dengannya dari urat lehernya" 

Perjalanan ini diharapkan dapat membuka ruangan hati yang kosong dan kotor, daku ingin menjemput nur Ilahi agar bertakhta dihatiku sehingga ke hembusan akhir nafas ini. Moga hendaknya doaku didengari Allah dan moga hati ini benar-benar tunduk padaNYA.  

Friday, July 1

Labuhkan tudung ku

Salam mesra..

Perjalanan hidup ini memang ada kejutannya, bukan? Begitunya buat aku. Mungkin kerana itu yang tertulis dalam  kitab hidupku. Aku bersyukur kerana semua ini. Percaya tak, dulu aku membayangkan diri untuk bertudung labuh? ^_^

Namun, selepas masa berganti masa.. hajat itu makin lenyap dari hidup. Bukan apa, terasa belum layak untuk memakainya. Tambahan dengan sikap, perwatakan diri yang dirasakan kurang bersesuaian untuk membawakan imej sedemikian. Lagi pula, dirasakan ilmu dalam dada ini masih belum cukup jika dibandingkan dengan insan lain. Macam-macam yang aku fikir, kan?

Hajat ini juga pernah ku utarakan kepada suami suatu ketika dahulu sebelum pernikahan kami. Dan, Alhamdulillah; suamiku mengerti dan merestui. Sayangnya, ia hilang dek kesibukan mendepani kehidupan. Cuma baru-baru ini, teringat kembali akan hajat itu. Dan, teringat kembali akan janji itu.

Kini, aku ingin belajar memperbaiki imej diri, dan berusaha untuk menunaikan janji itu.Semoga diberikan Allah kekuatan dalam melakukannya. AMIN

Aku dan HUTANG

Assalamualaikum..

Hari ini hati terpanggil untuk mengingatkan sesuatu yang tidak digalakkan oleh Rasulullah S.A.W. Dan sudah pastinya seperti berlaku pada insan seperti aku. Apakah itu?

Tentunya, HUTANG. Mengapa Rasulullah tidak menggalakkan hutang?


"Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu Majah).


Seperti diriku yang lemah ini, aku mempunyai satu tabiat buruk iaitu sukar nak ingat kalau berhutang dengan orang. Bukan sebab tak mahu bayar, tetapi memang tak ingat. Tapi jika diingatkan, InsyaAllah; akan diusahakan untuk membayarnya. ^_^

Kadangkala bimbang menguasai diri, takut tidak dapat menyelesaikan hutang- piutang yang ada. Tapi akan dicuba sedaya upaya memandangkan aku tidak mahu kebaikan yang ada habis digantikan dengan hutang yang dimiliki di akhirat kelak. Sudahlah kebaikan pun tidak tahu diterima atau tidak; nak serah pada insan lain pula. Moga di bantu Allah dalam urusan ini.

“Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan hasrat membayarnya balik nescaya Allah akan menunaikan hasratnya dan barang siapa berhutang dengan hasrat untuk tidak membayarnya balik nescaya Allah membinasakan harta tersebut.”  (Riwayat Bukhari)

Semoga entri ini dapat membantu mengingatkan daku tentang segala hutang yang dimiliki. Janganlah sampai daku melupakannya pula. AMIN..

Thursday, June 30

Jejak Hidup


Salam mesra ..


Alhamdulillah, kehidupanku makin membaik dan pulih seperti biasa meski sebelum ini terasa lelah dan penat mengharungi dugaan yang tidak disangka-sangka. Aku tahu, sebagai manusia; tidak dapat lari dari dugaan dan cubaan yang menguji kekuatan jiwa dan semangat hidup seharian.


Ternyata Allah memberi sinar dalam langkah ini. Supaya aku berubah menuju ke arah jalanNYA yang lurus. Meski banyak yang perlu dipelajari dalam menguatkan hati dan iman, ku mohon agar kekuatan ini berkekalan. InsyaAllah. Bimbang andai jalan yang ditempuhi ini tiba-tiba hilang. Benar kata seseorang yang rapat dengan ku;


" Jika mengharapkan sesuatu yang baik, perlu mengubah diri menjadi lebih baik. ALLAH memberi ruang untukmu memperbaiki diri. Kerana, yang baik biasanya lambat untuk dimiliki"


Aku akan berusaha walaupun payah. Aku bersyukur kerana masih mampu mendengar kata-kata hati dan masih mampu menangisi kesalahan diri. Aku tidak pasti selama mana hati ini begini. Tetapi, aku pasti jika dizinkan biarlah selamanya ia begini. Kerana, aku ingin begini. Tiada yang lebih bermakna selepas mengetahui akan CINTA ini. 


Di saat aku hampir kehilangan arah hidup, tiada tujuan dan bantuan, tiada teman untuk berkongsi; aku mula menyedari tentang butanya cintaku yang sebelum ini. Ia menyalahkan aku dan ingin berlalu pergi. Aku pula menangisi hampir setiap hari kerana bimbang kehilangannya.Lalu, aku mengenali makna sujud dan doa yang sesungguhnya. Bukan aku tak pernah kenalinya sebelum ini, tetapi aku tidak fahaminya. Apa yang aku fahami? Ia hanya kewajipan. Titik!!


Sedikit kesedaran yang dipalitkanNYA didalam hati ini membuat aku begitu terkesan. Aku menyedari bahawa aku tak punya apa-apa jika tanpaNYA. Astagfirullah, Ampuni aku. Ia datang mengetuk pintu hati, dan ku harapkan selamanya ia bersemadi. 


Mode: Ikhlas sungguh, hati ku ikhlas
            Ku melangkah di jalanMU