Blogger Layouts

Friday, July 22

Terima Kasih, Ya Rasullullah!

Al Quran dan Sunnah adalah sebuah khazanah berharga yang ditinggalkan Rasulullah SAW buat kita, umatnya yang dikasihi. Syukur kerana daku tergolong dalam umatmu, wahai Rasulullah. Aku mengharap dapat bertemu denganmu di akhirat kelak, walau diri tidak layak untuk dekat denganmu. Aku doakan Allah sentiasa merahmati mu, keluargamu, sahabatmu dan juga buat rasul-rasul yang terdahulu.

Khazanah tinggalanmu ada di sisiku sentiasa. Aku sedar aku membacanya tanpa memahami maksudnya. Aku sedar khazanah tinggalanmu kadangkala dilitupi habuk dan debu dek kerana sifat lupa ku padanya. Aku mahu menghayati, mengamalkannya dengan sebaiknya. Aku mahu memahami dengan sebaiknya dari awal hingga akhir; mengetahui sebab turunnya surah-surah didalam khazanah tinggalanmu itu.



Aku tahu perjalanan ini masih jauh; masih jauh untuk aku memahami erti berserah diri, erti yakin dan percaya dengan sesungguhnya dengan apa yang ditinggalkan mu iaitu Islam dan Iman. Aku sentiasa memohon kepada Allah supaya membantu aku dalam pencarian diri ini. Ingin aku hilangkan segala cita-cita duniaku yang menggunung itu untuk mendekati PENCIPTAku, mencari redhaNYA dan agar mendapat sedikit syafaat darimu di akhirat kelak. 

Aku menyanjungi kasihmu, wahai Rasulullah. Kasih yang tidak terhingga buat kami, umatmu. Terima Kasih, Ya Rasulullah!

0 komen-komen???:

Post a Comment