Blogger Layouts

Friday, July 29

Proposal Ramadhan ku


Salam mesra..

Alhamdulillah, ramadhan sudah hampir tiba. Semoga kehadiran ramadhan ini memberi makna dan perubahan besar pada diri. Semoga apabila tiba pagi syawal, perkara yang ku rencanakan ini menjadi kenyataan.

Bermulanya ramadhan ini, aku akan memulakan cabaran Al-Quran ku. Aku akan membaca tafsir Al-Quran dan cuba memahaminya sebaik mungkin. Bukan apa, terkadang aku membaca Al-Quran tanpa memahami maksudnya. Rugi,kan? Hanya surah-surah pendek tertentu sahaja yang aku ketahui maknanya secara menyeluruh. Dan surah-surah lain? Belum lagi membacanya. Terasa kerugian bagi diri kerana tidak memahami tinggalan Rasullullah S.A.W ini. Di tambah lagi, bulan ramadhan kan bulan dimana turunnya Al-Quran. Jadi, sesuailah kalau hasrat ini dilaksanakan sepenuhnya di bulan berkat lagi mulia. 

Ibn Kathir r.a pernah berkata: " Allah memuji  bulan puasa berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan Ramadhan ialah bulan turunnya Al-Quran"

Hasrat ini sudah lama terpendam didalam hati, aku ingin mengenali Al-Quran. Arwah ayah juga pernah menghadiahkan senaskhah tafsir Al-Quran buatku. Mungkin sudah menjadi hasrat dirinya untuk melihat kami adik beradik mempelajari Al-Quran dengan baik. Dan, aku berharap apabila tibanya syawal nanti; aku akan selesai membaca tafsir Quran ku dari kulit ke kulit. ^_^

Doakan aku, ya!

Tuesday, July 26

Menangkis kejahatan Jin dan Sihir



Percayakah kita dalam kehidupan yang serba moden, canggih dan penuh teknologi sekarang ini masih ada insan yang menggunakan perkara-perkara syirik seperti jin, sihir, pukau dan guna-guna semata-mata untuk memuaskan hati mereka? Mengapakah kejadian ini berlaku? Hanya kerana perasaan hasad dengki dan iri hati dengan insan lain; kita sanggup bertuankan JIN dan SYAITAN! Astagfirullah.. Moga dijauhkan dari perkara-perkara sebegini.

Hasad merupakan sifat seseorang yang tidak suka orang lain lebih daripadanya atau tidak suka orang lain mendapat nikmat dari ALLAH. Maka, dia ingin nikmat itu pergi dari orang tersebut. Bukankah segala nikmat itu hak yang Maha Esa? Hanya DIA berhak memberikan nikmat kepada sesiapa yang disukaiNYA. Siapalah kita, bukan?

Jauhkanlah (oleh kamu) dengki (hasad) kerana ia akan memakan kebaikan sebagaimana api memakan kayu bakar. - ( Hadis Riwayat Abu Daud)

Pernah dengar perkataan Manzil? Manzil merupakan beberapa ayat Al-Quran yang dipetik daripada Al-Quran untuk keselamatan daripada kejahatan jin, sihir, pukau, guna-guna serta bala musibah yang lain.Ayat-ayat ini diajarkan oleh Rasullullah S.A.W kepada para sahabat sebagai syifa ( penawar dan ubat) daripada beberapa penyakit rohani dan juga jasmani. Ayat ini boleh digunakan sebagai benteng diri tetapi kita perlu yakin dan percaya bahawa Allah akan membantu kita.

Berdoalah kepada Tuhanmu dengan merendah diri dan suara yang lembut. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang melampaui batas.
( Surah Al A'raf: ayat 55)

Semoga dengan menggunakan manzil ini, kita dapat menghindarkan diri dari perbuatan khianat dan hasad dengki insan lain. AMIN

Saturday, July 23

Itulah IBU


Salam Mesra..

Benarkah seorang ibu yang buta huruf, tidak pandai mengaji; tak mampu mendidik anak menjadi insan berguna? Benarkah hanya ibu yang berpendidikan tinggi mampu melahirkan anak-anak yang bijak pandai kelak? Benarkah teori itu? Mungkin ya, dan mungkin juga tidak.. ^_^

Kadangkala dirasakan teori itu kurang tepat kerana aku telah menyaksikan sendiri bagaimana gigihnya seorang ibu yang buta huruf mendidik anak-anak hingga berjaya ke peringkat universiti. Tentunya si ibu tidak mahu anaknya digelar buta huruf seperti dirinya juga, bukan? Alhamdulillah, Allah mendengarkan doanya.

Bagiku, memang sifat seorang ibu; sentiasa inginkan yang terbaik buat anaknya. Seorang ibu tentu sahaja sanggup berkorban apa sahaja demi anaknya tidak kira lah wang, masa atau hidupnya. Semua demi kebahagian anak-anak yang dikasihi. Biarpun kadangkala terpaksa melukakan hati sendiri, si ibu tentu sahaja rela asalkan anaknya senang dan bahagia. Itulah IBU...Jasanya tidak terbanding.

Biar ku hujani ibu dengan wang ringgit setinggi gunung.. Tidak akan ku mampu membalas keringatmu disaat mengandungkanku, melahirkan ku... dan membesarkanku. Terima kasih ibu.

Namun, hatiku terasa sedih melihatkan anak-anak kini. Kadangkala di anggap sebagai MUSIBAH oleh ibubapa. Benarkah begitu? Kesibukan dalam kerjaya menyebabkan kehadiran mereka dipandang sepi kadangkala.. Kasihan dirimu, nak! 

Aku tahu, aku belum menjadi ibu.. dan tidak tahu bagaimana perasaan ibu sebenarnya. Tetapi aku yakin, sudah menjadi sifat seorang ibu; kasih sayangnya tiada bandingannya. Dalam kesibukannya, tentu ada rindu buat si anak itu, kan? Dan, akhirnya si ibu akan mengalah demi si anak, demi kebahagian dan demi menjadikan anak insan yang lebih baik dari dirinya. 

Semoga Allah mendengar doaku, 
Dan memperkenankan doa ini secepatnya. 
Semoga Allah memberkati apa yang diberikan padaku sehingga aku tidak suka mempercepat apa yang telah dilambatkan dan memperlambatkan apa yang telah dipercepatkan. AMIN

Friday, July 22

Terima Kasih, Ya Rasullullah!

Al Quran dan Sunnah adalah sebuah khazanah berharga yang ditinggalkan Rasulullah SAW buat kita, umatnya yang dikasihi. Syukur kerana daku tergolong dalam umatmu, wahai Rasulullah. Aku mengharap dapat bertemu denganmu di akhirat kelak, walau diri tidak layak untuk dekat denganmu. Aku doakan Allah sentiasa merahmati mu, keluargamu, sahabatmu dan juga buat rasul-rasul yang terdahulu.

Khazanah tinggalanmu ada di sisiku sentiasa. Aku sedar aku membacanya tanpa memahami maksudnya. Aku sedar khazanah tinggalanmu kadangkala dilitupi habuk dan debu dek kerana sifat lupa ku padanya. Aku mahu menghayati, mengamalkannya dengan sebaiknya. Aku mahu memahami dengan sebaiknya dari awal hingga akhir; mengetahui sebab turunnya surah-surah didalam khazanah tinggalanmu itu.



Aku tahu perjalanan ini masih jauh; masih jauh untuk aku memahami erti berserah diri, erti yakin dan percaya dengan sesungguhnya dengan apa yang ditinggalkan mu iaitu Islam dan Iman. Aku sentiasa memohon kepada Allah supaya membantu aku dalam pencarian diri ini. Ingin aku hilangkan segala cita-cita duniaku yang menggunung itu untuk mendekati PENCIPTAku, mencari redhaNYA dan agar mendapat sedikit syafaat darimu di akhirat kelak. 

Aku menyanjungi kasihmu, wahai Rasulullah. Kasih yang tidak terhingga buat kami, umatmu. Terima Kasih, Ya Rasulullah!

Taaruf: dari pandangan kecilku

Assalamualaikum..

Alhamdulillah, Allah memberi peluang buat diri untuk meneruskan kehidupan dan memperbetulkan kesilapan. Moga diri ini sering di pandu Allah ke JalanNYA. Pejam celik, sudah hampir kita dengan ramadhan yang mulia, kan?

Bersempena dengan hari jumaat yang mulia ini, daku terpanggil untuk menulis sesuatu yang di minta oleh adikku iaitu mengenai TA'ARUF. Meski aku bukan lah seorang yang begitu arif mengenainya, aku akan cuba berkongsi tentangnya disini melalui pengetahuanku yang hanya sedikit ini. InsyaAllah.. ^_^

Mesti ramai yang memahami pengertian taaruf ini, kan? Di dalam Islam sendiri, taaruf membawa maksud mengenal, yang membawa erti saling mengenal bukan sahaja di dalam lingkungan usia kita sahaja tetapi juga buat saudara sesama muslim.

Mari kita lihat ayat dari surah Al hujurat ayat 13 ini:


Ayat di atas tentunya sudah menjelaskan Allah menganjurkan hambaNYA berkenal-kenalan di antara kita. Tetapi, Allah juga telah menggariskan panduan buat kita dalam taaruf ini, apatah lagi antara lelaki dan wanita. Ya, kan? Contohnya, dalam pencarian jodoh; penting nya taaruf ini dalam melahirkan keluarga yang sakinah, mawadah dan warahmah. Jadi, untuk mencapai tujuan itu, taaruf ini harus dikawal dengan sebaik nya dan mengikut jalan-jalan yang ditetapkan.

"Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik....."  ( Surah An Nur: Ayat 26)

Sesungguhnya aku bukanlah orang yang selayaknya untuk menulis mengenai tajuk ini tetapi bagi pandanganku yang kerdil ini, hubungan antara wanita dan lelaki perlulah dibatasi dengan mengikut batasan syariat. Kerana,  wanita mampu menjadi fitnah yang besar buat seorang lelaki. Jadi, buat kaum lelaki; jaga hati, jaga imanmu. Ingatlah, syaitan sentiasa menjadi yang ketiga antara kalian berdua, ^_^

Ku doakan agar kita dapat mendalami pengertian taaruf yang sebenarnya. AMIN

Mode: Entri ini ditulis dengan pengetahuan yang sedikit. Sekiranya terdapat kesalahan, harap dapat diberikan tunjuk ajar. 


Tuesday, July 19

Kenduri dan Malam Nisfu Syaaban

Alhamdulillah, syukur dapat meneruskan pekerjaan yang dipertanggungjawabkan buat diri ini. ^_^

Syukur, sabtu lalu dapat juga membuat kenduri arwah untuk ayah tersayang meski agak kelam kabut disebabkan persiapan yang agak lewat. Terima kasih pada yang hadir pada majlis yang tidak seberapa itu. Mengambil keberkatan dan kemuliaan nisfu syaaban, kami berharap agar doa kami untuk ayah sampai kepadanya. AMIN..

Walaupun terdapat banyak majlis lain bagi memeriahkan malam nisfu syaaban, kami bersyukur kerana rakan dan keluarga sudi hadir dalam majlis ini.Mengapa malam nisfu syaaban disambut dengan meriah ya? Aku juga diingatkan suamiku untuk membacakan surah yassin sebanyak 3 kali pada malam tersebut. Terima kasih Mr Hacks... ^_^

Antara kelebihan malam nisfu syaaban adalah seperti berikut:


“Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hamba-Nya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci).” [Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain].


Syukur dapat berkongsi rezeki kami dengan semua yang hadir dan dapat beramah mesra dengan kaum keluarga yang sudah lama tidak berjumpa. Kami berharap dapat membuat majlis kenduri seperti ini dengan lebih kerap. InsyaALLAH, moga dipermudahkan. AMIN

Thursday, July 14

Ibarat Kain Putih


Alhamdulillah, dapat menikmati hujan di pagi khamis ini. ^_^

Setiap pagi, anak-anak saudaraku pasti akan singgah di rumah sebelum berangkat ke tadika. Pasti kecoh saja jika mereka sampai kerana menyiapkan peralatan sekolah masing-masing. Ada yang mencari stoking, mencari tudung. Kelakar melihat gelagat mereka.

Anak-anak ibarat kain putih, yang suci dan bersih. Maka menjadi tanggungjawab ibubapa lah untuk mencorakkannya, bukan?

Tiap bayi dilahirkan dalam keadaan suci .
Ibu bapanya kelak yang menjadikannya 
Yahudi, Nasrani atau Majusi .
 (HR. Bukhari)

Meski belum dikurniakan zuriat, aku mengharapkan agar dapat menjadikan anak-anak ku mujahid Allah. AMIN

Teringat perbualan dengan anak saudaraku, Abid Hilmi yang berusia 5 tahun; dia begitu asyik membacakan pantun

Abid: Buah cempedak di luar pagar
         Ambil Galah tolong jolokkan
         Saya budak baru belajar
         Kalau salah tolong tunjukkan

Dek kerana kerapnya dia membacakan pantun itu buat aku dan adik-adik. Maka kami bertanya kepadanya:

Aku: Tunjukkan apa abid??

Nak tahu jawapan si anak kecil itu??? Ini jawapan yang kukira ikhlas dan jujur darinya

Abid: Buah cempedak itulah.

Terasa mahu ketawa sekuatnya, benar-benar tulus anak ini memberikan jawapan buat ibu saudaranya.  Seronok mendengar ceritanya jika kami berbual kerana anak kecil ini banyak ideanya. ^_^

Semoga anak-anak saudara ini membesar dengan sihat dan menjadi anak yang pintar.

Wednesday, July 13

Aku Rindu PadaMU

Subhanallah, walhamdulillah..wallahuakbar..

Terasa rindu menyelinap di hati, rindu pada sesuatu yang telah ku tinggalkan berminggu-minggu. Rindu pada ketenangan jiwa yang pernah mengusik hatiku; rindu pada bacaan merdu surah-surah yang aku dengari saban malam yang menjadi peneman tidurku; rindu pada buku-buku yang menjadi pemangkin semangatku; rindu pada bacaan yasin manzil yang ku bacakan setiap malam dahulu. Kemana hilangnya diri itu?

Aku terasa rindu untuk melakukan semua itu. Rindu untuk merasakannya semula.. Adakah ia sudah hilang dari diriku? Ya Allah, jangan ambil IA selepas ENGKAU hadiahkannya kepadaku! Apakah IA itu?

IA adalah rasa ku di hadapan penciptaKU. Rasa takut dan sebak ku apabila berhadapan denganNYA di dalam solatku. Astagfirullah, ampuni aku di atas kelemahan diri ini.. Kadangkala melewatkan seruanMU, kadangkala pula melupakannya.

Aku rindu padaMU,
Rindu untuk bersujud padaMU dengan sesungguhnya..
Rindu untuk merasai dinginnya bacaan surahMU menembusi hatiku

Sinari jiwaku Ya Allah
Dengan cahayaMU
Agar terus subur kasih ini buatMU.

Ilmu, Iman dan amal

Zaman persekolahan tentunya zaman yang indah untuk diingati dan dirindui. Terasa ingin kembali ke zaman itu. Seronok rasanya bersaing dalam kelas untuk mendapat nombor yang baik dalam kelas. Padahal, bukan pandai sangat pun.

Alhamdulillah, dapat menamatkan pengajian sekolah menengah dengan baik; walaupun tak begitu cemerlang. Namun zaman persekolahan ku tentunya berbeza dengan zaman persekolahan anak-anak kini. Ku lihat, ibu bapa  kini mahu melihat anak mereka cemerlang dalam pelajaran dan sanggup melaburkan wang yang banyak untuk kelas tuisyen dan kelas tambahan yang lain. Semua demi masa depan anak-anak. Bagusnya.. ^_^

Cuma yang kurang menyenangkan, apabila mendapat keputusan yang baik dalam pendidikan islam; si anak disoal pula oleh ibubapa:

"kenapa subjek ini boleh dapat 90%, tapi subjek lain tak boleh? Nak jadi ustaz ke?"


Kan bagus tu, betul tak? Patutnya ibubapa bangga kerana anak-anak mampu menjawab dengan baik, kan? Alangkah baiknya jika agama dan ilmu lain dapat berjalan seiring dengan kecemerlangan dalam penghidupan.

Aku mengharapkan agar anak-anak yang bakal daku miliki, mendapat pendidikan sewajarnya dan menjadi penyejuk hati kami; suami isteri. Daku juga mengharapkan zuriat kami menjadi orang yang fasih dengan Islam dan mengamalkannya dengan baik. AMIN

Tuesday, July 12

Perihal Adikku.


Syukur kerana Allah mengizinkan aku bernafas dan menikmati indahnya hidup ini. Walaupun didatangi dengan pelbagai perkara yang tidak diduga, aku bersyukur kerana masih kuat dalam menempuhinya. Alhamdulillah, Ya Allah!

Cuma hari ini, aku ingin mencoretkan sesuatu tentang adikku yang bongsu. Namanya Abdul Rahim Bin Mansur, dan kini usianya sudah mencecah 15 tahun. Maknanya, tahun ini dirinya akan menduduki peperiksaan PMR; Semoga berjaya adik kecilku!^_^

Anak bujang Ibu!

Aku masih ingat saat-saat gembira ayah menyambut kelahiran adikku yang bongsu ini pada tanggal 05/03/1996. Harapannya untuk memiliki zuriat lelaki akhirnya didengar Allah SWT. Bukan apa, adik beradikku yang lainnya semua perempuan.

Sehingga akhirnya, selepas 6 tahun ibu dan ayah mendapat anak lelaki yang dinantikannya. Ayah tentu sahaja gembira dengan kehadiran adik lelakiku yang satu ini. Pelbagai perkara direncanakan sepanjang pembesaran adik. Niatnya yang pertama adalah untuk membawa adik menunaikan umrah bersama dengannya, kemudian mahu mendidik adikku untuk menjadi pemain bola sepak sepertinya. Sungguh, kasihnya begitu besar buat diri adik. Cuma yang daku sedihkan, ayah tidak sempat menemani perjalanan si adik kecil ini kerana menyahut seruan Ilahi di awal usia adikku 4 tahun. Semoga rohNYA aman di sana. AMIN.

Selepas pemergian ayah, tentunya kasih ibu lah yang menjadi payung besar dalam hidupnya. Ibu tidak mahu adik merasai sebarang kekurangan dari segi kasih sayang ataupun keperluan. Bagi ibu, adik sudah tidak berbapa; hanya dirinya menjadi ibu dan ayah buat adik kecilku ini. Dirinya begitu sedih jika memikirkan akan pergi dari dunia ini tanpa melihat adik berjaya menjadi seseorang. Ibu bimbang benar kami tidak menjaga anak kecilnya ini.

Dan adik kecil ini pula, aku tidak mengerti akan kemahuannya dan cita-citanya. Mungkin kerana jarak usia kami yang jauh membuatkan aku kurang memahami akan perasaannya. Namun, ku harapkan adik kecilku ini menjadi seorang mujahid di jalan Allah dan mampu menjadi harta berharga yang ditinggalkan ayah buat ibu.

Mode: Kasihnya ibu membawa ke syurga,
           dan kasih ayahnya berkorban nyawa.

Friday, July 8

Aku di pintuMU

Marah..

Assalamualaikum..

Dah bertemu kembali dengan penghulu segala hari. Alhamdulillah.. Syukur! Hari ini macam tertekan dengan diri sendiri kerana sejak kebelakangan ini suka "cakap main lepas" saja.Marah pun ada dengan diri sendiri. Bimbang kalau menyakiti perasaan sesiapa.

Padahal dah berjanji dengan diri sendiri untuk bercakap baik. Sedihnya, kena melakukan sedikit "post mortem" dengan diri sendiri. Kerna aku tak mahu menjadi biasa dengan cakap-cakap begitu. Kata orang; alah bisa, tegal biasa.. Jadi sebelum jadi biasa, kena betulkan cepat-cepat.

Cuma, perlukan sedikit kekuatan untuk memarahi diri sendiri. Semoga mendapat pertolongan untuk memperbetulkan akhlak dan pertuturan. AMIN..

Mode: kecut perut dengan kata-kata sendiri sebenarnya. T_T

Thursday, July 7

Hati yang Redha

Salam mesra..

Syukur ke hadrat Ilahi atas segala kurniaanNYA yang dilimpahkan buat diri ini. Melangkah ke hari baru, dengan hidup baru dan dengan kisah yang baru. Moga saja semua dipermudahkan

Sememangnya hidup sebagai manusia, kita tidak akan lepas dari ujian Allah. Ujian dari segi perasaan, ujian kehilangan orang-orang kesayangan, ujian dalam pekerjaan dan juga ujian dalam beribadah; tetap juga ia dipanggil ujian. Yang membezakan akan penerimaan itu hanya lah iman seorang muslim itu sendiri. Ya kan?

" Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan saja mengatakan kami sudah beriman sedangkan mereka tidak diuji terlebih dulu. Dan sesungguhnya kami sudah menguji orang sebelum kamu maka sesungguhnya Allah maha mengetahui orang yang benar dan orang yang dusta, (Surah al-Ankabut, ayat 2-3)


Jadi, mengikut firasatku; kita perlu mempunyai perasaan yakin bahawa setiap perkara yang berlaku dalam kehidupan ini adalah ujian dari ALLAH dan hanya berakhir apabila kita menghembus nafas yang terakhir. Subhanallah. Sesungguhnya daripadaNYA aku datang, dan kepadaNYA jua aku kembali kelak.


Apa yang lebih utama ialah kemampuan dalam melihat ujian hidup itu dengan mata hati. 


Maka ambillah pelajaran wahai orang yang memiliki mata hati. (Surah al-Haysr, ayat 2)


Sesungguhnya dalam mencari redha Ilahi ini, tentunya banyak perkara yang perlu dilalui bagi mencari hikmah yang tersembunyi. Hanya hati yang cekal dan tabah sahaja yang dapat menempuhi dan mengambil iktibar dalam setiap sesuatu. Bukankah Allah bersama-sama dengan orang yang diberikan nikmat lalu dia bersyukur dan apabila di berikan musibah dia bersabar? 


Mode: moga hati menerima segala ketentuan dengan sepenuhnya. AMIN



Tuesday, July 5

Bawa jiwa

Assalamualaikum..

Hari ini jiwa agak runsing memikirkan tahap kesihatan yang agak merosot. Entah kenapa pula agaknya ya? Mungkin kerana tekanan kerja yang bertambah-tambah kebelakangan ini. Jiwa juga dirasakan agak tidak tenteram. Cuma, penyebabnya saja yang aku tak tahu.

Ingin rasanya membawa jiwa ini kembali kepada PenciptaKU. Ya Allah, bantu daku. Janganlah apabila tertimpanya musibah, baru daku dapat mengembalikan jiwaku padaMU. Bukan apa, terasa bagai menzalimi diri sendiri; bila susah, baru ingat nak minta tolong pada Allah. Takut-takut diri ini terlupa diri seketika.

Aku sedar, diri ini lemah dan banyak melakukan kesilapan dan dosa. Dan, aku ingin memperbaiki diri demi mencari makna kehidupan didunia ini dan demi mencari sebuah keredhaan yang abadi. Aku hanya mampu menitipkan doa agar kesihatan ku membaik dan pulih.

Ku pohonkan pada yang Esa atas kebersihan diri dari segala penyakit yang tidak menentu, dari fikiran yang bercelaru, dan dari hati yang tidak khusyuk. AMIN

Monday, July 4

Antara doa dan taubatku

Alhamdulillah, sudah pun melangkah ke minggu yang baru. Moga-moga ia berjalan dengan baik. Sudah melangkah ke bulan syaaban, di harapkan usiaku dipanjangkan hingga ke bulan ramadhan. ^_^
Bukan apa, bulan ramadhan kan bulan yang berkat, yang dipenuhi Allah dengan rahmat, yang digandakan Allah pahala dan bulan yang DOA kita diterimaNYA.

Banyak yang ingin daku doakan buat diriku, buat suami, buat ibu bapa, buat ibubapa mertua, buat seluruh kaum keluarga, buat guru-guruku dan juga buat seluruh umat Islam yang telah meninggal dunia dan juga yang masih hidup. Diharapkan agar doaku diperkenankan dan segala harapanku dijadikan Allah suatu kenyataan.

Aku ingin merasakan nur kasih Allah mengisi ruangan hatiku.Kadangkala bimbang menguasai hati, takut diri terpesong dari jalanNYA.. Aku ingin merasai makna taubat yang sesungguhnya.. Daku sering membayangkan bagaimana Rasulullah mampu untuk bertaubat 100 kali sehari sedangkan daku, ingin menyesali kesilapan sendiri pun dirasakan amat payah.

Sememangnya hati ini benar-benar perlukan bimbingan; agar mampu menilai segalanya dengan baik dan penuh hikmah. 

" ... dan Kami lebih dekat dengannya dari urat lehernya" 

Perjalanan ini diharapkan dapat membuka ruangan hati yang kosong dan kotor, daku ingin menjemput nur Ilahi agar bertakhta dihatiku sehingga ke hembusan akhir nafas ini. Moga hendaknya doaku didengari Allah dan moga hati ini benar-benar tunduk padaNYA.  

Friday, July 1

Labuhkan tudung ku

Salam mesra..

Perjalanan hidup ini memang ada kejutannya, bukan? Begitunya buat aku. Mungkin kerana itu yang tertulis dalam  kitab hidupku. Aku bersyukur kerana semua ini. Percaya tak, dulu aku membayangkan diri untuk bertudung labuh? ^_^

Namun, selepas masa berganti masa.. hajat itu makin lenyap dari hidup. Bukan apa, terasa belum layak untuk memakainya. Tambahan dengan sikap, perwatakan diri yang dirasakan kurang bersesuaian untuk membawakan imej sedemikian. Lagi pula, dirasakan ilmu dalam dada ini masih belum cukup jika dibandingkan dengan insan lain. Macam-macam yang aku fikir, kan?

Hajat ini juga pernah ku utarakan kepada suami suatu ketika dahulu sebelum pernikahan kami. Dan, Alhamdulillah; suamiku mengerti dan merestui. Sayangnya, ia hilang dek kesibukan mendepani kehidupan. Cuma baru-baru ini, teringat kembali akan hajat itu. Dan, teringat kembali akan janji itu.

Kini, aku ingin belajar memperbaiki imej diri, dan berusaha untuk menunaikan janji itu.Semoga diberikan Allah kekuatan dalam melakukannya. AMIN

Aku dan HUTANG

Assalamualaikum..

Hari ini hati terpanggil untuk mengingatkan sesuatu yang tidak digalakkan oleh Rasulullah S.A.W. Dan sudah pastinya seperti berlaku pada insan seperti aku. Apakah itu?

Tentunya, HUTANG. Mengapa Rasulullah tidak menggalakkan hutang?


"Sesiapa mati, sedangkan dia masih menanggung hutang satu dinar atau satu dirham, maka akan diambilkan (ganti) daripada kebaikannya, kerana di sana tidak ada dinar dan tidak ada pula dirham." (Hadis riwayat Ibnu Majah).


Seperti diriku yang lemah ini, aku mempunyai satu tabiat buruk iaitu sukar nak ingat kalau berhutang dengan orang. Bukan sebab tak mahu bayar, tetapi memang tak ingat. Tapi jika diingatkan, InsyaAllah; akan diusahakan untuk membayarnya. ^_^

Kadangkala bimbang menguasai diri, takut tidak dapat menyelesaikan hutang- piutang yang ada. Tapi akan dicuba sedaya upaya memandangkan aku tidak mahu kebaikan yang ada habis digantikan dengan hutang yang dimiliki di akhirat kelak. Sudahlah kebaikan pun tidak tahu diterima atau tidak; nak serah pada insan lain pula. Moga di bantu Allah dalam urusan ini.

“Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan hasrat membayarnya balik nescaya Allah akan menunaikan hasratnya dan barang siapa berhutang dengan hasrat untuk tidak membayarnya balik nescaya Allah membinasakan harta tersebut.”  (Riwayat Bukhari)

Semoga entri ini dapat membantu mengingatkan daku tentang segala hutang yang dimiliki. Janganlah sampai daku melupakannya pula. AMIN..