Blogger Layouts

Tuesday, December 18

Separuh Cintaku Pergi

Assalamualaikum...

Buat sekian lama laman ini saya biarkan sepi. Kerana sibuk mengatur kehidupan yang pasang surutnya setiap hari. Alhamdulillah, diberikan Allah kekuatan dan ketabahan mengharungi hidup ini.

Di saat saya mencoret di laman ini, saya sudah bergelar si yatim piatu. Terasa bagai baru semalam ia berlaku, hati saya masih sayu mengenangkan kehilangan insan yang bergelar EMAK ini. Yang perginya tidak kembali, membawa perasaan rindu yang takkan terpadam selamanya.

Emak,
Antara insan yang paling saya kasihi di alam dunia ini menyahut seruan Pencipta-Nya pada tanggal 18 November 2012. Hari ini sudah masuk hari ke-30 beliau kembali ke rahmatullah. "Moga mak dan ayah ditempatkan dikalangan orang yang beriman, di jauhkan azab kubur dan api neraka. Amin Ya Rabb"

Dalam suasana hening pagi, Mak pergi bersaksikan kami adik beradik. Maha Suci Allah, Sungguh indah perancanganNya, yang mungkin tiada dalam kotak pemikiran saya yang daif ini. Perginya Mak dirumah saya di Ayer Hitam, Johor. Pilihan Allah untuk saya, menyaksikan kepergian mak di hadapan mata. Walhal, Mak tinggal nun jauh di Gombak... Syukur kehadrat Allah S.W.T atas kasih sayang ini.

Saya tidak menyangka kedatangan adik beradik bersama Mak kali ini hanya untuk mengiringinya pulang kepada Yang Maha Esa. KetetapanNya tetap berjalan sesuai dengan perancanganNya. Kurniaan yang amat bermakna buat saya bagi berbakti pada beliau buat kali terakhir.

Hanya Allah yang Tahu perasaan saya, di saat akhir mak masih memeluk sambil wajahnya disembamkan ke dada saya. Saya tahu Mak mengasihi dan merindui saya. Tetapi, apakan daya; hati mesti diteguh kan untuk mengiringi di saat sukar sakaratulmaut. Sehingga hari ini, tatkala ini; saya masih mengingati senyuman akhir mak buat saya. Saya rindu......

Tiada yang lebih baik buat saya melainkan Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan buat kami adik beradik menjalankan tanggungjawab sebagai anak buat ibu yang dikasihi. Saya bersyukur dapat memandikan dan mengafankan jenazah mak. Hati sedih mengenangkan akan berpisah selamanya sehingga dipertemukan kelak di alam akhirat.

Usai solat jenazah dilakukan, jenazah mak dibawa pulang ke gombak. Hati saya pilu sepanjang perjalanan dari Ayer Hitam ke Gombak. Hanya bacaan yasin buat mak yang dapat saya iringkan semoga perjalanan jenazah mak ke gombak dipermudahkan. Tiba di gombak, saya lihat ramai sanak saudara, jiran dan rakan-rakan sedia menanti ketibaan mak. Inilah kali terakhir dapat melihat beliau...

Saat menurunkan tandatangan bagi urusan pengkebumian mak, airmata meluncur laju tanpa hentinya lagi. Saya tahu saat ini saya tak akan dapat melihatnya lagi buat selamanya. Ya Allah, ujian ini terlalu besar buatku....

Mak selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak, Taman Selasih berhampiran dengan pusara ayah. Syukur, segalanya berjalan lancar.

Dan, tinggallah kami sebagai anak yatim piatu; menjadi penyambung amal buat kedua ibubapa yang dicintai. Moga cinta dan rindu ini akan mempertemukan kita semula di syurga Ilahi.... Al fatihah

Rasullullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:
Jika seorang hamba Allah kematian anak,
Allah bertanya kepada Malaikat:
" Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hambaKu?"
Malaikat menjawab: "Ya"
Allah bertanya lagi: "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?"
Malaikat menjawab: "Ya"
Allah bertanya untuk kali ketiga:"Apakah kata HambaKU?"
Malaikat kemudian menjawab: " Dia bersyukur kepadaMu serta mengucapkan; Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali"
Allah memerintahkan MalaikatNya: "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu Rumah Kesyukuran"
( Hadis Riwayat Attirmizi dan Ibnu Hibban)



Tuesday, July 10

Saya bahagia

Sudah sekian lama saya nanti, sekarang saya memiliki... Alhamdulillah atas nikmat sebesar ini. Ia mengisi jiwa saya, memenuhi hati dan hasrat saya. Saya bahagia, sungguh bahagia....

Walaupun perjalanan ini masih jauh, saya akan kuat demi hasrat ini. Sehingga hari ia tiba dalam pelukan saya. Sekarang, saya akan melindungi hasrat saya ini sebaiknya. Doa saya, semoga semua nya selamat dan sempurna. 

Apabila sampai masa, akan saya kongsikan hasrat ini dengan semua. Saya belum yakin untuk menceritakannya pada semua. Bimbang hasrat saya terkandas separuh jalan.

Apapun, saya bahagia..... syukur atas kasih sayang ini. Terima kasih Allah atas kasih sayang yang terindah dalam hidup saya. 

Saturday, May 26

Saya sayang mak!

Sepanjang saya hidup selama 28 tahun ni, saya belum pernah berasa begini. Saya rindu mak saya! Bayangkan di usia ini, saya masih merindui beliau..walaupun saya sudah bersuami. :)

Semasa belajar di uitm, saya sering balik. Pendek kata, hampir tiap-tiap minggu untuk jumpa mak. Saya tidak seperti kawan-kawan, menikmati zaman kampus dengan bermacam ragam dan cerita.. Saya hanya peduli untuk balik jumpa mak. Saya kira saya mengalami "homesick" yang sangat dahsyat sepanjang belajar. :p

Saya tidak kisah mendengar leteran beliau, segala cerita masalah harian beliau.. Mungkin, itu yang buat saya rindu.

Cuma, masa kini mencemburui saya. Saya mencari ruang untuk pulang bertemu mak. Meski hari-hari saya berbual di telefon dengan mak, hati saya tidak puas. Saya mahu makan masakan mak,dengar cerita mak, dengar keluhan manja mak. 
Saya takut tidak punya banyak waktu untuk bersama mak. Entah kan saya, entah kan mak yang mendahului... 

Bayangkan, di usia ini saya masih makan suapan nasi dari tangan mak apabila bertemu. Masakan saya tidak rindu!

Saya belum pernah bercerita perihal ini dengan suami tersayang, bimbang ditertawakan. Kan dah tua ni! Malu nya kalau diejek anak manja. Tapi ini saya, sekiranya saya mengasihi seseorang, saya mengasihinya tanpa had. phewiit! 

Saya sayang mak!
Saya doakan kesihatan mak!

Sunday, May 20

Allah Kasihkan Saya


Iman tidak dapat diwarisi,
Tapi Islam diwarisi...

Betul tak? Bagi saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim, saya mengakui bahawa islamnya saya kerana ibubapa saya, keturunan saya yang beragama Islam. Saya bersyukur dengan limpahan kasih sayang Allah kerana memilih saya menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W yang mulia. Mengapa?

Kerana, setiap satu kebaikan yang saya lakukan; Allah hadiahkan sepuluh kebajikan. Walaupun hanya dengan menyedekahkan sebiji tamar. Subhanallah, Allah benar mengasihi saya. 

Saya diberi tangguh pembalasan diatas segala dosa yang dilakukan hingga hari akhirat. Allah memberi masa secukupnya untuk saya bertaubat dan memohon ampun kepadaNya. Biar dosa saya ibarat buih di lautan, tetap jua Allah ampunkan . Tentunya dosa saya lebih banyak dari buih di lautan. 

Di padang mahsyar, saya akan menjadi umat yang terawal di hisab oleh Allah. Allah mengasihi saya, kerana memberi penghormatan buat umat akhir zaman ini berbanding umatNya yang terdahulu. Kasihnya Allah pada saya! 

Dan, sebagai umat Nabi Muhammad; saya beruntung kerana Rasullullah S.A.W adalah satu-satunya nabi yang memberi syafaat buat umatnya.Saya antara yang mengharapkan syafaat baginda pada hari yang dijanjikan itu.

Ya Allah, besar kasih sayang mu buat hamba yang kerdil ini. Saya malu, dengan dosa-dosa yang lalu. Kadangkala di saat menadah tangan memohon nikmatNya, saya berasa terlalu kecil. Saya sedih kerana mengambil masa terlalu lama untuk mendekati sesuatu yang sememangnya telah dibuka untuk saya. 

Saya tidak menghargai pemberian indah ini. Saya ingin kembali dengan sepenuhnya. Saya masih belajar, ingin belajar... Semoga jalan yang bakal saya lalui mendekatkan saya denganNya yang mengasihi saya. Kerana Hanya DIA yang Maha Pengasih... Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.... 

Allah kasihkan saya, dan anda juga... Mari sama-sama kita usaha. Kerana hidayah perlu dicari, dipinta dari Pemiliknya dan bukan dinanti. Sebab, masa tak menanti kita... jom!!! 

Thursday, May 10

Antara cebisan-cebisan hatiku

Rabu, 10 May 2000


Hari ini sama dengan hari sebelumnya. Sekolah tamat pukul 1.00 petang, terus balik ke rumah. Semenjak ayah  kurang sihat, tiap-tiap hari aku lalui dengan menemani mak dan adik-adik ke hospital. Alhamdulillah, aku punya kakak dan abang yang bergilir-gilir temankan ayah. Ye lah, kami pun masih sekolah...

Sampai di hospital, doktor memaklumkan keadaan ayah kritikal dan doktor sudah menyuntik ubat paling kuat untuk meredakan sakit yang ayah alami. Aku hanya melihat dari jauh, nafas  ayah yang lemah turun naiknya. Aku mendiamkan diri, merasakan sesuatu akan berlaku. Aku takut, sungguh! Bila melihat adik rahim berlari ke sana kemari, ayah bimbang takut adik kecil ini hilang di tengah-tengah kesibukan wad yang dipenuhi pelawat. Jadi ayah menyuruh aku dan mak pulang. Sebelum pulang, aku bersalam dengan ayah. Terasa lain benar hati ini.

"Ayah, ma minta maaf atas semua dosa ma pada ayah. Ma minta halal atas semua yang ayah bagi pada ma. Esok ma datang lagi"


Aku lihat mata ayah berair. Ayah anggukkan kepala. Ayah genggam tangan aku erat-erat. Dia tahu sesuatu. Aku teringin memeluk dan mencium ayah tapi aku malu kerana tidak pernah buat begitu sebelum ini. Akhirnya, aku melawan kata hati, tidak memeluk dan mencium ayah...

Sampai di rumah, sudah masuk waktu maghrib.. Mak bersiap untuk bersolat. Tiba-tiba aku dapat panggilan telefon....

"Ma, jantung ayah dah berhenti"


Aku terdiam, cuba memahami kata- kata kakak. Aku hanya menyampaikan apa yang diucap oleh kakak..

" Mak, jantung ayah dah berhenti"


Mak bergegas bersiap dan meninggalkan aku dan adik-adik dirumah. Hanya kakak disisi ayah di hujung nyawa nya. Kami tidak sempat bersama beliau. Aku tiada kata-kata, tiada airmata..

Van yang membawa jenazah ayah tiba di rumah. Aku lihat sekujur tubuh ayah kaku terbaring diselimuti kain hijau. Ayah seakan tidur. Aku bisikkan ke telinga mak..

" Mak tengok ayah. Ayah tidur..."


Aku merapati jasad ayah, membacakan yasin untuk beliau. Hanya sedikit bacaan ku, air mata mencurah tanpa henti. Aku tahu ayah dah tiada, ayah dah pergi selamanya..

Innalillah, dari Allah ayah datang, kepadaNya jualah ayah kembali.



Kini, 10 May 2012


Sudah 12 tahun berlalu, tiap tahun bila tiba hari ini; aku mengenanginya. Kesal, kerana tidak memeluk dan mencium ayah semasa hayatnya. Aku teringin memeluk insan yang bergelar ayah ini.

Alfatihah buat ayahandaku yang tercinta,
tiada kata untuk aku ukirkan buat menggambarkan ingatan ku padamu.

Pemergianmu mengajar aku,
menghargai semua di sisiku.

Doaku selalu buatmu, kau berada dalam rahmat dan cinta-Nya,
Semoga kita bertemu semula diSANA.

Tuesday, May 1

cari ilmu

Assalamualaikum...

alhamdulillah, syukur atas semua nikmat yang dianugerahkan Maha Pencipta buat hamba yang daif ini.

Dek kerana laptop yang tinggal " nyawa-nyawa ikan", semua aktiviti terpaksa direhatkan sementara. huhu... maaf ya, blog!

" Ya Allah, aku mohon kepadaMU rasa cinta padaMU, cinta pada sesiapa yang menyintaiMU, dan cinta yang membawa daku padaMU"


Dalamnya doa ini, membawa makna besar buat diri saya..

Teringat suatu kata-kata yang saya pernah dengar tapi sudah lupa dimana. Hurm, kadang-kadang penyakit ni memang ada.

Jika ingin berjaya, dampingi insan yang berjaya
Jika ingin bijaksana, dampingi ilmuwan


Mengapa begitu ya? Saya terfikir juga. Tapi akhirnya saya membuat kesimpulan, sedikit sebanyak kita akan dapat belajar dari insan insan ini. Ilmu kan datang dengan pelbagai cara. Subhanallah...

Nak ilmu lebih banyak? Baca lah Al-Quran. 
Saya ingin menambah ilmu dan menyintai insan yang menyintaiNYA. Terasa hidup 28 tahun yang lalu telah saya gunakan hanya sedikit untuk mengenaliNYA. Ampunkan hamba ya Allah. Hamba hanyut dek kesibukan ciptaan hamba sendiri. Hamba lupa, dan kembali dikala kesusahan melanda. Astagfirullah.. 

Saya sedih setiap kali mengenangkannya. 

Saya berharap agar jalan yang saya tempuh kali ini menjadi jalan yang lurus buat selamanya hingga bercerainya roh dari jasad ini. Ini doa saya.

nota: Saya mahu jadi "buku" bergerak untuk zuriat saya kelak. Saya masih menanti kehadirannya. Semoga saya tidak tergolong dalam insan yang berputus asa dengan rahmat Allah. 

Thursday, April 12

buat pengantin baru

Minggu lalu menghadiri pernikahan sahabat baik zaman kanak-kanak saya. Seorang yang cantik, manis dan manja. Semoga bahagia berkekalan ya sahabat!

Hati saya benar-benar terharu saat mengenangkan ayah beliau yang menikahkan sendiri anak gadisnya. Teringat lagu " saaf lafaz sakinah".... Malangnya, saya tidak dapat merasai detik itu memandangkan ayahanda yang dikasihi sudah tiada lagi. Alfatihah.....

Banyak ucapan selamat yang diterima oleh pengantin baru ini.... dan yang paling saya suka, ucapan dari pakcik beliau..


" semoga anakanda dikurniakan Allah keluarga yang sakinah, mawaddah, wa-rahmah"

sebenarnya, saya sudah lupa maksud mawaddah, wa-rahmah ni ( sakinah je yang ingat). Jadi balik rumah terus mencari maksud nya. Teruknya!!!!

Kalau yang tahu maksudnya, terapkan di dalam keluarga anda. Dan yang nak tahu, saya akan kongsikan dengan anda. Cewahhhhhh...

Sakinah membawa maksud tenang dan tenteram. Manakala mawaddah membawa maksud bahagia dan warahmah ialah mendapat rahmat. Besar maknanya itu kan? Ia bersesuaian dengan takrifan ayat daripada surah ar- rum ayat 21: 

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaanNya ialah DIA menciptakan kamu dari jenis kamu sendiri supaya kamu cenderung dan tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-banar terdapat tanda-tanda pada kaum yang berfikir"

Apa yang perlu ada untuk mencapai sakinah, mawaddah dan warahmah ini?

Setiap dari kita tentu punya pendapat sendiri bukan? Jadi terserah pada diri masing-masing. Apa yang penting biarlah kita sama-sama menuju jalanNya yang lurus. :)

Buat mira dan alan, didoakan kalian bahagia ke hujung nyawa, dikurniakan anak yang soleh dan solehah. :))

semoga menjadi keluarga sakinah, mawaddah dan wa-rahmah :)

Monday, April 2

wordless monday

Menyepikan diri seketika kerana kekurangan idea nak menulis. hehe... ( ada orang baca ke blog saya ni?)

Banyak sangat perkara yang berlaku pada saya sebenarnya. Dari yang biasa- biasa hinggalah ke yang misteri nusantara. Pening memikirkannya, tapi yang penting semoga saya dan keluarga dilindungi Allah dari terpesong dari landasan agama. Amin...

Ikutkan saya takut sekiranya kejadian- kejadian yang melanda membuatkan terjadinya syirik kepadaNya. Ya Allah, hanya KAU sebaik-baik pelindung.


"Hasbunallah wanikmal wakil"


Saya hanya mengharapkan kejadian yang melanda kami ini menjadi penghapus dosa-dosa lalu, menjadi penambah iman, dan menjadi tarbiah buat jiwa yang rapuh ini.

p.s: sejak kebelakangan ini, hati saya digamit rindu untuk bertamu di kota mekah. :)

Sunday, February 26

berlalunya awan gelap

Jam sudah pun pukul 12 tengah malam, macam biasa sejak jadi suri rumah ni; asyik tidur lambat je. Jadi sementara menunggu mr hacks balik ( memang die selalu balik lambat).. tangan asyik melihat facebook kawan-kawan... 

Jantung macam nak tercabut, bila terbaca

"alfatihah buat abah.............."

sebagai seorang teman rapat dan mengenali kedua orang tuanya. Saya turut merasa kehilangan yang dialami beliau. Lantas, tangan ini terus mendail nombor beliau untuk mendapatkan kepastian...Innalillah.... Sudah 2 minggu rupanya, dan saya tidak perasan akan post  tersebut. Maafkan saya wahai sahabat!

Jadi, kami berbual mengenai kisah pemergian abah beliau, dan juga mengenai kisah kisah teman rapat yang sekian lama tidak berhubung. Kisah teman yang saya kira menimbulkan rasa sedar akan nikmat yang telah dihadiahkan oleh Allah. InsyaAllah, akan saya kongsikan kisah tersebut buat panduan dalam meniti hidup kita selanjutnya. Sesungguhnya, bukan saya sahaja sedang diuji bahkan teman dan insan terdekat juga sedang diuji!

Saya berkongsi kisah berkenaan ibu saya yang kini beransur sembuh. Dengan izinNya jua, saya ditemukan dengan seorang pakcik yang saya kira boleh merawat ibu. Cuma yang saya terkejut apabila dikatakan ibu saya terkena badi mayat. Sesungguhnya saya tidak pasti akan kewujudannya dalam perubatan Islam. Apabila diterangkan oleh pakcik tersebut, saya dapat merasakan ada kebenaran pada kata katanya. Tubuh yang dulunya  gemuk, kini kurus melidi...Maafkan kami kerana tidak tahu lebih awal. 

"moga mak sembuh kali ini."

Moga awan gelap yang singgah ini segera berlalu buat saya dan semua yang menghadapinya. Setiap yang berlaku tentu ada hikmahnya, hanya kita perlu mencari setiap rahsia yang terselindung disebalik semuanya

mode: maaf ya sahabat andai aku tiada disaat dikau kehilangan arah tuju, disaat kau buntu, disaat kau keseorangan. Aku mendoakan kebahagiaanmu, keluargamu dan semoga persahabatan ini kekal hingga akhir hayat kita. 


Tuesday, February 14

Hidup Seorang Suri Rumah :))

assalamualaikum

Diam tak diam, dah sebulan lebih aku menjadi suri rumah sepenuh masa. Ye ker? Ikutkan.aku pun tak percaya. Padahal dulu hidup, fikirannya tentang kerja belaka ( konon workaholic). Rasanya kini adik aku sedang merasainya. :)

Yang peliknya, bila tak bekerja ni; hati asyik berfikir nak bekerja, mahu mencari kerja..Bukan apa, fikiran jadi terlampau ringan sejak tak bekerja. Percaya atau tidak, sudah sebulan lebih aku tak migrain. Alhamdulillah.... Hebat juga ni.

Sekarang ada waktu untuk masak, menjahit, menulis, membaca.. pendek kata, banyak masa!! :))

Paling utama; masa yang ada kini, aku habiskan dengan perkara yang aku impikan buat sebelum ini. Menjadi ulat buku paling berjaya dan bergaya. Bukan lah bermakna aku menatap buku saja 24 jam, tetapi sekarang sudah ada masa untuk menelaah buku yang dibeli sebelum ini.. Hehe..

Banyak juga buku yang dapat aku baca dari hari ke hari, tapi buat masa ini fokus untuk membaca buku-buku  untuk menambah ilmu dan yang dapat membantu menambah iman insan kerdil seperti aku. InsyaAllah...

Nanti akan aku kongsikan review buku yang telah aku baca ini dalam blog ku yang lainnya.. hehe.. boleh siap ada blog lain lagi padahal blog ini pun kadang-kadang bersawang.

Sekian buat kali ini.. :))

Mode: rindu pada sibuknya kerja! :)

Friday, February 10

Perjalanan Baru

Assalamualaikum...

Sudah lama tak menulis di ruang kecil ini. Bukan apa, terlalu banyak perkara yang perlu dilakukan kebelakangan ini. Sampai bersawang lah blog nih! Aduhai....

Alhamdulillah, Allah mengizinkan untuk aku balik ke johor dan menetap dengan suami. Cuma sedikit sedih, kerana perlu meninggalkan keluarga dan melepaskan jawatan yang dah dipegang 4 tahun. Segalanya demi redhaMu , ya Allah.

Itulah, Allah jua sebaik-baik perancang. Selepas berhenti, ibu mertua terkena angin ahmar;yang menyukarkan sedikit sebanyak pergerakannya. Allah memberi peluang buat diri untuk menguji keikhlasan diri membantu menjaga beliau. Syukur! Bangga melihat ipar duai saling bantu membantu dan memberi perhatian buat ibu mertua.

"Kami wasiatkan kepada manusia perihal kedua-dua orang tuanya. Ibunya mengandungnya dalam keadaan lemah yang bertambah-tambah dan bercerai susu dalam usia dua tahun. Bersyukur kepadaKU dan kedua orang tuamu. Hanya kepadaKU tempat kembali.Sekiranya keduanya memaksamu menyekutukanKU maka jangan kamu taati keduanya. Berbaiklah dengan mereka di dunia ini"  (Surah Luqman: Ayat 14-15)

Kemudian, Allah uji dengan kesihatan ibuku yang sedikit merosot. Selepas aku pulang ke Johor! Subhanallah. Maaf ya mak...Moga kesihatan mak kembali pulih. Sungguh, hati amat risau memikirkan keadaan beliau. Alhamdulillah, mak dikurniakan anak-anak yang benar prihatin dengan keadaan dirinya. Siapalah kita jika dibandingkan dengan jasanya, bukan?

Dalam masa yang sama, ibu mertua dirundung duka dengan kehilangan abang yang dikasihi. Pergi menghadap PenciptaNYA. Pemergian ini memberikan suasana suram buat keluarga Pak Long kerana mereka baru sahaja kehilangan anggota keluarga. Itupun, dalam jangka masa yang amat singkat. Allahuakbar!

Belumpun beberapa hari peristiwa ini, sekali lagi aku dikejutkan dengan kehilangan sepupu rapat ku, pergi menemui Ilahi dikala sedang bekerja di sawah. Semoga Allah menemukan syahid buat mu! Mudahnya pemergian nya... Malang skali aku tidak dapat pulang menziarah. Namun ku doakan rohmu aman di sana. Cuma, hati ini terbayang akan anak-anak yang telah ditinggalkan. Moga Allah menetapkan yang terbaik buat mereka.

Inilah ujian dan ingatan Allah buatku dan keluarga. Terima kasih Allah kerana mengingatkan aku tentang penting insan yg masih ada di sekelilingku. Kadangkala hanya dengan peristiwa begini; dapat mengingatkan kita tentang indahnya perhubungan yang terjalin dan ditetapkan Ilahi ini. Alhamdulillah.....