Iman tidak dapat diwarisi,
Tapi Islam diwarisi...
Betul tak? Bagi saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim, saya mengakui bahawa islamnya saya kerana ibubapa saya, keturunan saya yang beragama Islam. Saya bersyukur dengan limpahan kasih sayang Allah kerana memilih saya menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W yang mulia. Mengapa?
Kerana, setiap satu kebaikan yang saya lakukan; Allah hadiahkan sepuluh kebajikan. Walaupun hanya dengan menyedekahkan sebiji tamar. Subhanallah, Allah benar mengasihi saya.
Saya diberi tangguh pembalasan diatas segala dosa yang dilakukan hingga hari akhirat. Allah memberi masa secukupnya untuk saya bertaubat dan memohon ampun kepadaNya. Biar dosa saya ibarat buih di lautan, tetap jua Allah ampunkan . Tentunya dosa saya lebih banyak dari buih di lautan.
Di padang mahsyar, saya akan menjadi umat yang terawal di hisab oleh Allah. Allah mengasihi saya, kerana memberi penghormatan buat umat akhir zaman ini berbanding umatNya yang terdahulu. Kasihnya Allah pada saya!
Dan, sebagai umat Nabi Muhammad; saya beruntung kerana Rasullullah S.A.W adalah satu-satunya nabi yang memberi syafaat buat umatnya.Saya antara yang mengharapkan syafaat baginda pada hari yang dijanjikan itu.
Ya Allah, besar kasih sayang mu buat hamba yang kerdil ini. Saya malu, dengan dosa-dosa yang lalu. Kadangkala di saat menadah tangan memohon nikmatNya, saya berasa terlalu kecil. Saya sedih kerana mengambil masa terlalu lama untuk mendekati sesuatu yang sememangnya telah dibuka untuk saya.
Saya tidak menghargai pemberian indah ini. Saya ingin kembali dengan sepenuhnya. Saya masih belajar, ingin belajar... Semoga jalan yang bakal saya lalui mendekatkan saya denganNya yang mengasihi saya. Kerana Hanya DIA yang Maha Pengasih... Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim....
Allah kasihkan saya, dan anda juga... Mari sama-sama kita usaha. Kerana hidayah perlu dicari, dipinta dari Pemiliknya dan bukan dinanti. Sebab, masa tak menanti kita... jom!!!
0 komen-komen???:
Post a Comment