Blogger Layouts

Tuesday, May 31

happiness





Kebahagiaan perlu dicari bukan di nanti ^__^

Sabar itu Indah


Alhamdulillah atas nafas ini. Syukur di atas kehidupan yang dikurniakan olehNYA buat daku. Terasa diri ini sangat lemah dalam menjalani kehidupan di dunia sementara ini Ya ALLAH.

Rasa mahu pergi sejauh-jauhnya. Meninggalkan semua yang ada di dunia ini. Tapi tanpa bekalan, aku takut untuk bertemuMU. Hati ini perlukan kesabaran YA ALLAH. Jauhkan lah dari sifat terburu-buru, marah, sedih dan berputus asa dalam mengharungi saat-saat ini.

Aku sedar,
bahawa tiada satu musibah pun
yang ditimpakan Allah kepadaku,
melainkan musibah itu telah
menimpa insan lain sebelum daku.

Aku sedar,
sabar adalah
kebulatan tekad
bukan nya kepasrahan.

Semoga ALLAH membantu dalam perjalanan ini. Kerana, hanya padaNYA aku berserah diri. Amin.

Monday, May 30

Rindu seorang teman.

Setiap hubungan di dunia ini tidak kira lah hubungan kekeluargaan, rumahtangga atau persahabatan sekali pun, pasti ada pasang surutnya. Ada ketawa dan ada tangisnya, kan? Bukan mudah mahu menjalani semua hubungan ini dengan gembira semata-mata. Pasti ada ketikanya, ada duka yang terselit di antaranya.

Apakah asas diatas hubungan ini?

Kasih sayang, kepercayaan dan tolak ansur. Itu kuncinya.

Jangan kerana pertengkaran yang kecil, ia merubah hubungan yang terjalin ini. Setiap dari kita tidak terlepas dari kesalahan. Apa yang perlu dilakukan, belajar dari kesilapan dan menghargai sebuah perhubungan. Kerana hubungan yang dibina ini bukanlah untuk satu hari, satu minggu, satu bulan atau pun satu tahun. Ia adalah sesuatu yang berkekalan hingga ke hujung nafas. InsyaALLAH.

Aku hanya mampu berdoa agar semua hubungan ini berkekalan hingga ke akhir hayatku. Tak sanggup rasanya kalau kehilangan mereka semua.

Mode: sedih hari ini kerana memikirkan seseorang yang tengah merajuk dengan ku.

Friday, May 27

Rezeki oo rezeki

Kerja di KL gaji besar. Betulkah?
Kerja di KL banyak. Betulkah?
Kerja di KL senang dapat. Betul kah?

Kalau kerja bukan kat KL, gaji tak besar kah?
Kalau bukan di KL, kerja tak banyak kah?
Kalau bukan di KL, kerja susah nak dapat kah?

Banyak soalan kat fikiran ni sebenarnya. Kadang-kadang, kita manusia ni terlupa bahawa Allah yang memberi rezeki pada setiap hambanya. dan itu adalah jaminan daripadaNYA. Bukan kah DIA Maha berkuasa?


Seperti aku, takut kalau berpindah dan tak bekerja selama beberapa bulan, macamana dengan semua perbelanjaan bulanan? hurmm.. susah kan? Tapi itu dulu... sekarang?

Aku bersedia. InsyaALLAH, kerana semua ditangan NYA. Rasanya, malu dengan diri sendiri sebab hati ini tidak redha dengan rezeki Allah. Rasanya keimanan ini tipis jika dibandingkan dengan insan lain. Astagfirullah.

Semoga tahun depan 2012, memberikan harapan baru, kerja yang baru dan penghidupan baru sebagai seorang isteri sepenuhnya. Dan tak payah nak jadi part time wife lagi. Amin.. 

Thursday, May 26

Wasiat Imam Hassan Al Banna

Di persimpangan Dilema II



Seperti dalam post aku sebelum ini, hari ini lah harinya untuk interview penting yang akan merubah kehidupan aku. Persoalannya, hati ini masih dalam dilema, macamana kalau dapat pula kerja tersebut? Sebab hasrat hati aku, untuk balik dan tinggal dengan Mr Hacks tahun depan. 2012 la kan? Sekarang pun sudah May, lagi berapa bulan je nak habis tahun ini. Hurmm..

Moga-moga Allah takdirkan yang terbaik. Andai ia tidak baik untuk agama, penghidupan ku di dunia dan akhirat. Mohon dijauhkan dari semua ini. Tetapi andai Allah tetapkan ia baik untuk ku, agamaku, hidupku dunia dan akhirat, moga ALLAH permudahkanNYA. Amin.. 

Doakan aku, ya!!

Maafkan ku, sahabat


Syukur di atas kurniaanNYA. Hidup ini masih dapat dinikmati seadanya. Cuma perselesihan faham dengan sahabat ku memberi kan kesan mendalam untuk hidup aku beberapa hari ini. Ya, dia penting! Sangat penting kerana dia sahabatku di dunia dan di syurga kelak. InsyaALLAH.

Maafkan aku diatas semua ini. 
Maafkan aku kerana tidak memahami mu. 
Maafkan aku kerana membiarkan kau sendiri.

Andai kekeruhan ini dapat dijernihkan kembali, ku doakan kita gembira diatas persahabatan ini. Semoga kita bersahabat selamanya. Aku harapkan dapat mengenalimu sebenar-benarnya.Maafkan aku ya!



Wednesday, May 25

Hasbunallah wa nikmal wakil

Alhamdullillah, atas kehidupan ini. Syukur yang tak terhingga.. ^__^

Syukur juga di atas perjalanan hidup ini. Suka dan duka yang dilalui. Memang banyak yang dilalui sepanjang 27 tahun ini. Banyak cabaran dan dugaan yang kadang-kadang tidak disangka-sangka pun sebenarnya. Tapi, Allah menguji sesuai dengan kemampuan hambaNYA kan? Kita harus terima dan cuba sebaik mungkin untuk menghadapi nya.

Anggaplah semua ini penghapus kesalahan yang telah kita lakukan secara terang-terangan atau pun sembunyi. Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui. Seperti aku, kadangkala hati terasa jauh dari Allah. Sungguh! Rasa takut sebab banyak sangat buat salah pada ALLAH, diri sendiri, suami dan keluarga.



Semoga Allah permudahkan jalan hidup ku. Semoga aku mampu membahagiakan semuanya. AMIN...

Fly Away Balloon


Seronok tengok belon banyak-banyak terbang ke udara. Mood hari ini pun macam tu juga. ^__^

Tuesday, May 24

Perkahwinan Vs Cahaya Mata


Hari ini genap 2 tahun 4 bulan perkahwinan aku dan Mr Hacks.. Hacks??? Aku suka letak kan hacks bg menggantikan dirinya. Kenapa HACKS?? 

Kerana, Hanya. Aku. Cinta. Kau. Seorang.  Cewah, sesekali jadi jiwang. ^_^

Ini pun sebab adik aku yang bagitahu. Trimas again sis!


Melangkah ke usia perkahwinan yang hampir tamat diploma ini, aku bahagia dan gembira. Dalam 2 tahun ini, aku belajar mengenalinya, mengenali diriku, mengenali tanggungjawabku, mengenali keinginanku... Keinginan ketika ini? Moga Allah mengurniakan kami zuriat yang sihat,sempurna dan menjadi mujahid-mujahidNYA. Ini doaku..Semoga Allah memberkati segala apa yang diberikan kepadaku dan mengabulkan doaku cepat atau lambat.. Amin

Niat di hatiku untuk mempunyai zuriat secepat mungkin, tapi Allah punya perancanganNYA tersendiri. Dan aku terima dengan hati yang redha walaupun kadangkala menitiskan airmata. Mungkin Allah mahu memberi lebih masa bagi aku dan Mr Hacks menyiapkan kehidupan yang lebih baik untuk permata hidup kami dan memberi masa kepada kami untuk berbakti buat ibu kami. InsyaAllah.

Buat masa ini, rasanya aku mahu menikmati hidup sebagai isteri sebaik mungkin sebelum bergelar ibu. Ya Allah, permudahkan semuanya.. Amin Ya Rabb



Daisypath Anniversary tickers

Monday, May 23

Ibu, redhakan aku..

Ibu,
andai ibu tahu,
kami ingin yang terbaik buat ibu keduanya.
kami ingin kalian bahagia,
menghabiskan sisa-sisa hidup ini selagi ada.

Ibu,
banyak salah dan silap yang dilakukan,
harap ibu dapat ampunkan,
agar dapat kami teruskan kehidupan
dalam mencari keredhaan
meniti jalan kebenaran.



Ibu,
apa yang aku harapkan,
redhakan kami,
doakan kami agar kami menjadi setabah
secekal dan sekuatmu..

Doakan kami,
menjadi ibubapa mithali buat anak-anak kami..
Redhakan kami, ya Ibu!!
InsyaAllah..

Nota: tersentuh dengan kata-kata si suami tentang program tanyalah ustaz, berkenaan ibu. terima kasih ibu!

Tempat Seorang Isteri



Syukur sekali lagi kepada Allah kerana mengizinkan aku menghirup udara di bumi ciptaanNya ini. Alhamdulillah. Semoga hari ini lebih baik dari sebelumnya.



Syukur juga kepada Allah kerana menjodohkan aku dan suamiku. Kami disatukan pada 2009 dan sekarang sudah pun 2011. Sudah 2 tahun! Alhamdullillah, kerana Allah mengekalkan jodoh ini sehingga kini dan semoga Allah mengekalkannya sehingga ke hujung nyawa kami.



Cuma sayangnya, aku belum dapat tinggal bersama suami kerana aku bekerja di KL dan dia pula di Johor. Dan selama 2 tahun inilah, aku dan suami berulang alik dari KL ke Johor. Penatkan?? ^__^

Kadang-kadang terdengar juga kata-kata yang berbisa dari orang terdekat  menyuruh aku berhenti sahaja. Bukan tak mahu, tapi belum mahu... Belum mahu kerana banyak agenda dan rancangan hidup yang hendak kami lunaskan.



Dimana tempat seorang isteri? Jawapannya, di sisi suami. Tapi bagi aku, tempat seorang isteri bukan lah di sisi suami.. tetapi dibelakangnya, yang menjadi penyokong di saat susah dan senangnya..Aku cuma mahu menjadi seperti itu.



Semoga Allah menjadikan aku sebagai isteri, ibu dan anak yang baik, menjadikan aku tabah dalam mengharungi hidup yang mendatang dan buat suamiku, terima kasih kerana memahami daku.



Saturday, May 21

Di persimpangan Dilema..


Syukur tidak terhingga atas nikmat Allah yang tak terhingga. ^__^
Aku dapat peluang untuk bertukar kerjaya. InsyaAllah, persoalannya sekarang. Aku perlu memilih sama ada ingin menyambung pengajianku atau bertukar kerja. Dilema sungguh..

Memiliki pekerjaan yang baik, di tempat yang baik dan bersesuaian dengan minat rasanya memang pilihan aku. Tetapi ada pula perkara lain untuk dipertimbangkan. Soal niat aku untuk sambung belajar, berpindah mengikut suamiku, dan memulakan kehidupan sebenar rumahtangga kami. 

mencari hala tujunya!!

Apa yang perlu dilakukan? kerana aku bimbang tersalah pilihan.

Nasihat adikku, amanahdarikekasihku.blogspot.com untuk melakukan solat istikharah akan aku usahakan. Mohon petunjukMU, Ya Allah.. Bantu lah daku!


Friday, May 20

kunci kebahagiaan dunia.


kunci kebahagiaan dunia adalah ILMU,
kunci kebahagiaan akhirat adalah ILMU,
kunci kebahagiaan dunia dan akhirat adalah ILMU..

Pentingnya ilmu, kan? betapa banyaknya yang ingin aku pelajari. Sempatkah dengan masa yang aku miliki?
Kalau mampu, aku mahu belajar macam-macam. Paling utama, ingin mendalami ilmu agama, Kerana diri ini masih perlu dibimbing supaya hati ini lebih bersih dan lurus.

Keduanya, aku mahu belajar memasak, menjahit, mengemas rumah dan mendidik anak-anak dengan gaya yang betul.. Bukan lah tak tahu, tapi tak mahir. ^__^
Susah juga jadi perempuan kan? 

Tetapi apa yang aku mahu buat sekarang, aku mahu menyambung pengajian ku ke peringkat yang lebih tinggi. InsyaALLAH. Semoga Allah mempermudahkan urusan ini. Amin.

Kerana aku percaya, hanya ilmu dapat mengubah masa depan. Namun, semua adalah ketentuanNYA dan berlaku atas kehendakNYA. 



Wednesday, May 18

Right on TRACK!!


Alhamdulillah, usia ku meningkat sehari lagi. Syukur diatas pemberian nikmat ini. Semoga aku sentiasa dalam rahmat dan perlindunganNYA. Perbualan semalam dengan seseorang yang kukasihi menyentuh jiwaku untuk mencoret di sini. Dia memohon agar kami sama-sama berusaha untuk berada di jalan NYA, berusaha memperbaiki diri, meninggalkan semua sifat yang kurang baik dalam diri. Terima kasih Ya Allah, atas jodoh ini. Moga hati-hati kami tetap di jalan MU.


Setiap manusia mesti melakukan kesilapan. Sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi. Namun, Allah Maha Mengetahui. Semoga DIA memaafkan segala dosa yang dilakukan oleh aku, suamiku, keluargaku, guru-guruku dan juga seluruh umat Islam yang telah meninggal dunia dan yang masih hidup. Hati ini sungguh mahu kembali ke jalan MU, ke jalan kebenaran dan keredhaanMU. Pimpin lah aku, Ya Allah..

Semoga hati ini mendapat NUR dari Ilahi dan semoga hati ini sentiasa ikhlas dalam pencarian ini. Amin Ya Rabb.

Hadiah pertama dari ayah semasa Umrahnya yang pertama.
Terima Kasih!!



Tuesday, May 17

Dan, bila hati itu MATI





Sabda Rasullullah :

" Sesungguhnya dalam tubuh manusia ada segumpal daging. Apabila ia baik, maka baik pula seluruh tubuhnya. Dan apabila ia buruk, maka buruk pula seluruh tubuhnya. Ketahuilah bahawa segumpal daging itu adalah hati"

Tapi bagaimana pula bila hati itu mati?? Macamana nak tentukan hati ini masih hidup dan baik? Ya Allah, sukarnya!!

Takut nya bila aku terfikir tentang hati yang mati, semoga hati aku masih hidup dan masih menerima cahaya dari ALLAH.. Takut bila terfikir hati ini mati, tak mampu mendengar kata-kata kebaikan, tak mampu mengubah diri menjadi positif dan baik, paling utama sekali ialah apabila tidak mampu mengenali diri sendiri.

Aku mahu mengenali diriku, menghidupkan hati ku agar sentiasa dekat dengan MU... kerana aku menanti kan cintaMU.. Bantulah aku!

Monday, May 16

about me!!

Kata-kata buat tersayang.


percutian pertama keluarga, di pangkor ^__^

Adik-adikku,
Perjalanan ini bermula dengan langkah pertama,
kita ke dunia,
Alhamdullillah, syukur padaNYA 
kerana menemukan kita

Adik-adikku,
Segalanya di tempuhi bersama, 
mencipta impian bahagia,
bersama harapan dan cita-cita
untuk keluarga yang terbina,

Namun,
semakin jauh perjalanan,
seakan tersesat dari haluan,
hati mula tidak keruan,
terlupa akan impian semalam

Adik-adikku,
Lahirnya kita dari benih yang serupa
Mungkin kita kian berbeda,
fikiran dan watak kita tidak sama,
jarak dan masa mulai memisahkan semuanya.

Pesanan ayah tak pernah ku lupa,
jaga adikmu,
jaga adikmu,
jaga adikmu,
menitis airmata, 
mengenangkan kemungkinan perpisahan kita
kerana pendapat yang berbeza
mengubah haluan selama-lamanya..

Adik-adikku sayang,
semenjak permergian ayah,
ibulah tempat curahan kasih sayang,
kepadanyalah kita menumpang,
segala keluhan dan kebahagiaan,

Aku bimbang,
andai ibu sudah tiada,
kemana kah hubungan kita,
mampukah kita terus bersama,
menghadapi segalanya dengan gembira..

Doaku kini, ALLAH menyatukan hati-hati kita..SEMUANYA. Amin..






Sunday, May 15

Permata hatiku



Setiap insan yang sudah berumahtangga tentunya menginginkan kehadiran si kecil untuk menjadi pengikat kasih antara keduanya. Cahaya mata,zuriat, anak.. itulah dia. Tetapi, macamana pula dengan orang yang dah berumahtangga bertahun-tahun tapi belum memiliki zuriat juga?? Apa perasaannya ye??

Macam aku, yang sudah dua tahun berkahwin tapi belum ada rezeki untuk menimang cahaya mata sendiri. Memang hati ini, susah nak diceritakan lah.. Tapi aku percaya, setiap apa yang berlaku tentu ada hikmahnya. Mungkin Allah belum mengizinkannya kerana aku berjauhan dengan suamiku.. PJJ la katakan ^__^

Bukan tak ada yang menanyakan soal ini, ramai sebenarnya. Dan sebetulnya, aku tak ada jawapan untuk semua ini. Sebab soal anak, rezeki, jodoh, semuanya di tangan ALLAH, kan??

buat masa ini, hidup aku ditemani mereka yang ku kasihi.

Ayah dulu pernah menceritakan kita memilih siapa ibubapa kita sebelum kita di lahirkan di dunia. Itulah pilihan kita sebenarnya. Jadi, tak bolehlah mengeluh,kan? Cuma kadang-kadang terfikir juga, entah-entah tak ada anak-anak yang memilih aku sebagai ibunya.. itu yang membuat aku sedih. Lebih sedih sebenarnya..

Tapi, setiap ketentuan ada hikmahnya tersendiri. Allah lebih mengetahui... InsyaAllah, suatu hari DIA pasti mendengar doaku. dan semoga aku mampu mendidik anak2 yang di anugerahkan kepadaku kelak untuk menuju ke jalanNYA. Amin..

Nak yang macam ni, boleh tak??

Saturday, May 14

Life like an empty glass


Dengan Nama ALLAH yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang

Terdetik hati ini bila terbaca ayat ini di facebook seseorang yang aku kenali. Katanya, hidup tanpa perancangan dan tujuan umpama gelas yang kosong. Hurmm..

Mula aku terfikir tentang perancangan hidup aku. Apa yang pernah aku rancangkan??

Selepas dapat keputusan SPM, aku dapat tawaran untuk sambung pengajian di UiTM dan semestinya bidang itu bukan dalam perancangan aku. Alhamdulillah, tamat pengajian dengan baik dan boleh dikatakan cemerlang juga..

Selepas tamat diploma, aku menganggur selama 3 bulan. Niat hati nak terus sahaja bekerja, sebab nak bantu abang aku dalam urusan keluarga kami. Cewah, baik la konon! ^_^

Tapi, akhirnya aku disuruh oleh abang aku untuk menyambung pengajian di UiTM Shah Alam dek kerana rimas melihat aku yang masih belum dapat pekerjaan.. Juga bukan dalam bidang yang aku fikirkan. Hurmmm… Sekarang ni pun, aku bekerja di bahagian bukan dalam perancangan aku. Haish.. Adakah aku memang bukan perancang??

it's not an empty glass!

Is it my life truly like an empty glass?? Bercakap soal penghidupan, banyak benda yang aku lewati sepanjang hidup di dunia ini adalah bukan perancangan ku. Semuanya mengikut ketentuan yang telah ditetapkan. Dan aku, cuma menjadi pelaksana di atas semuanya

Betul, kadang-kadang aku mencari makna hidup ku. Siap aku beli buku lagi tau.. Semua gara-gara nak mencari makna hidup, makna kejayaan, makna penghidupan yang sebenarnya, makna sebuah kejayaan yang sebenarnya.. mengetahui nilainya bagi orang-orang yang pernah mendapatkannya.

Inilah bukunya!!
Huhu.. Aku tak tahu apa yang aku mahukan dalam hidupku. Bodohkah aku?? Adakah aku ingin manjadi insan biasa yang hidup “biasa-biasa” sahaja, atau pun menjadi seseorang yang dikenali kerana kebolehan nya dan keupayaannya?? Aku belum menetapkannya…. Mungkinkah terlalu lewat dikala usia 26 tahun ini untuk mengetahuinya.??


Sesungguhnya ALLAH Maha Mengetahui perkara yang tidak aku ketahui. Dan semoga DIA membimbing daku untuk menemukan makna hidupku. Amin..




Tempat Seorang Isteri


Syukur sekali lagi kepada Allah kerana mengizinkan aku menghirup udara di bumi ciptaanNya ini. Alhamdulillah. Semoga hari ini lebih baik dari sebelumnya.

Syukur juga kepada Allah kerana menjodohkan aku dan suamiku. Kami disatukan pada 2009 dan sekarang sudah pun 2011. Sudah 2 tahun! Alhamdullillah, kerana Allah mengekalkan jodoh ini sehingga kini dan semoga Allah mengekalkannya sehingga ke hujung nyawa kami.

Cuma sayangnya, aku belum dapat tinggal bersama suami kerana aku bekerja di KL dan dia pula di Johor. Dan selama 2 tahun inilah, aku dan suami berulang alik dari KL ke Johor. Penatkan?? ^__^
Kadang-kadang terdengar juga kata-kata yang berbisa dari orang terdekat  menyuruh aku berhenti sahaja. Bukan tak mahu, tapi belum mahu... Belum mahu kerana banyak agenda dan rancangan hidup yang hendak kami lunaskan.

Dimana tempat seorang isteri? Jawapannya, di sisi suami. Tapi bagi aku, tempat seorang isteri bukan lah di sisi suami.. tetapi dibelakangnya, yang menjadi penyokong di saat susah dan senangnya..Aku cuma mahu menjadi seperti itu.

Semoga Allah menjadikan aku sebagai isteri, ibu dan anak yang baik, menjadikan aku tabah dalam mengharungi hidup yang mendatang dan buat suamiku, terima kasih kerana memahami daku.

Wednesday, May 11

Cakap bohong, lama-lama mencuri



Assalamualaikum


Pernah dengar pantun lama ni?? Masa sekolah rendah dulu cikgu selalu dok ajar kat kelas.. ^__^
Kalau aku pula, nak cakap bohong ni perbuatan yang payah sikit. Bukan nya sebab aku ni jujur sangat, tapi sebab aku PELUPA.

Niat di hati bukan mahu menipu. Tapi mahu menjaga hati dan kadang-kadang mahu elakkan perselisihan faham. Tapi akhirnya, berselisih juga sebab penipuan tadi. Aduh!

Sebabnya aku kalau tipu, mesti terlupa. Itu la susahnya kalau nak jadi penipu tapi pelupa. Selalu saja terperangkap. Nasib baik, adik2 dah faham dan sekarang suami ku pun dah paham. Malah suami ku sekarang, dah tahu cara untuk tahu sama ada aku tipu atau tidak. Hehe.. Dasat!

Tapi perlukah penipuan dilakukan dalam kehidupan seharian kita? Jawapannya tentu sekali tidak. Kalau boleh, biarlah hidup aku berlandaskan kebenaran.

Teringat sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Luqman Hakim yang menceritakan;

Pada suatu hari ada seorang lelaki telah datang berjumpa dengan Rasulullah S.A.W. kerana hendak memeluk agama Islam. Sesudah mengucapkan dua kalimah syahadat, lelaki itu lalu berkata : "Ya Rasulullah, sebenarnya hamba ini selalu sahaja berbuat dosa dan payah hendak meninggalkannya." Maka Rasulullah s.a.w menjawab : "Mahukah engkau berjanji bahawa engkau akan sanggup meninggalkan cakap bohong?" "Ya, saya berjanji" jawab lelaki itu singkat. Selepas itu, dia pun pulanglah ke rumahnya. Menurut riwayat, sebelum lelaki itu memeluk agama Islam, dia sangat terkenal sebagai seorang yang jahat. Kegemarannya hanyalah mencuri, berjudi dan meminum minuman keras. Maka setelah dia memeluk agama Islam, dia sedaya upaya cuba untuk meninggalkan segala keburukan itu sebab itulah dia meminta nasihat dari Rasulullah S.A.W. Dalam perjalanan pulang dari menemui Rasulullah S.A.W. lelaki itu berkata di dalam hatinya : "Berat juga aku hendak meninggalkan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah itu." 

Maka setiap kali hatinya terdorong untk berbuat jahat, hati kecilnya terus mengejek."Berani engkau berbuat jahat. Apakah jawapan kamu nanti apabila ditanya oleh Rasulullah. Sanggupkah engkau berbohong kepadanya?" bisik hati kecil. Setiap kali dia berniat hendak berbuat jahat, maka dia teringat segala pesanan Rasulullah S.A.W. dan setiap kali jualah hatinya berkata : "Kalau aku berbohong kepada Rasulullah bererti aku telah mengkhianati janjiku padanya. Sebaliknya jika aku bercakap benar bererti aku akan menerima hukuman sebagai orang Islam. Oh Tuhan....sesungguhnya di dalam pesanan Rasulullah itu terkandung sebuah hikmah yang sangat berharga!"Setelah dia berjuang dengan hawa nafsunya itu, akhirnya lelaki itu berjaya di dalam perjuangannya menentang kehendak nalurinya. Menurut hadis itu lagi, sejak dari hari itu bermulalah babak baru dalam hidupnya. Dia telah berhijrah dari kejahatan kepada kemuliaan hidup seperti yang digariskan oleh Rasulullah S.A.W. hingga akhirnya dia telah berubah menjadi mukmin yang soleh dan mulia.

  
Aku mahu belajar untuk bercakap benar daripada bercakap bohong yang akhirnya mengundang masalah untuk diri sendiri. Niat ku memang baik..tapi dengan cara yang salah, ia tetap salah. Terima kasih Allah kerana selalu menyedarkan aku bahawa aku bukan pembohong yang baik.

Pergi tak kembali

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasihani,

teringat lagu dari Rabbani yang bertajuk pergi tak kembali.. Yang pergi bertemu Ilahi memang takkan kembali dan hanya yang hidup meratapi, kehilangan insan yang di kasihi.

Setiap insan pasti merasa, 
saat perpisahan terakhir,
dunia yang fana,
akan ditinggalkan,
hanya AMALAN yang dibawa.

10 May 2000, insan yang bergelar ayah kepadaku menghembuskan nafas terakhir tanpa sempat aku bersama, melihat dirinya di hujung nyawanya. Mungkin sudah suratan takdir. Masa berlalu begitu pantas, tanpa aku sedar.. sekarang dah 11 tahun ayah pergi, pergi dan tak kembali lagi.. Allah telah menentukan ayah untuk menemani aku selama 16 tahun, mengajar dan mendidik ku.. anaknya yang paling degil sekali.. ^__^

Ayah, andai ayah ada sekarang..
anak-anak ayah dah hampir tamat belajar
InsyaAllah menjadi insan yang dibanggakan ayah kelak..

Mungkin tidak sempat kami menabur bakti buatmu,
doakan kami semoga sentiasa berbakti untuk isterimu
ibu kami...

Ayah, semoga kita bertemu di akhirat kelak...

Semoga Rohnya dicucuri rahmat dan diletakkan di kalangan insan-insan yang terpilih oleh Allah. 

Tuesday, May 10

Mengenali Diri

 Siapa yang mengenali aku ek? Betul-betul kenal siapa aku??Kadang-kadang aku pun tak kenal siapa aku sebenarnya.. huhu.. ^_^


Sejak dari alam persekolahan, aku sering tertanya tentang diriku.. siapa aku? dari mana keturunan ku? apa tujuan hidupku? apa kemahuanku? apa yang aku cari dalam hidupku?? Walaupun sekarang aku dah pun berusia 26 tahun, tapi belum ada jawapannya...

Kata orang; kalau kita mengenal diri, kita juga akan kenal siapa pencipta kita. Ya Allah, izinkan daku mengenali mu, mengenali diriku, mengenali tujuan hidupku, mengenali kemahuan ku dan mengetahui apa yang aku inginkan dalam hidupku..

Salam perkenalan ^_^

Assalamualaikum...

Alhamdulillah.

Ini kali pertama aku menulis di laman terbuka seperti blog ini. Kenapa baru sekarang ya? pelik kan? sebenarnya sengaja aku mencipta blog ini untuk berkongsi cerita dan rahsia. Apa agak nya ye?? hehe... akan di kongsikan pada masa akan datang..

Untuk buat blog ni pun aku xpandai sebenarnya, mujur ada adik yang sudah agak lama berjinak dengan dunia blogger nih. trimas ya sis, amanahdarikekasihku.blogspot.com..

Untuk kali ini, salam perkenalan dari ku...