Blogger Layouts

Saturday, May 26

Saya sayang mak!

Sepanjang saya hidup selama 28 tahun ni, saya belum pernah berasa begini. Saya rindu mak saya! Bayangkan di usia ini, saya masih merindui beliau..walaupun saya sudah bersuami. :)

Semasa belajar di uitm, saya sering balik. Pendek kata, hampir tiap-tiap minggu untuk jumpa mak. Saya tidak seperti kawan-kawan, menikmati zaman kampus dengan bermacam ragam dan cerita.. Saya hanya peduli untuk balik jumpa mak. Saya kira saya mengalami "homesick" yang sangat dahsyat sepanjang belajar. :p

Saya tidak kisah mendengar leteran beliau, segala cerita masalah harian beliau.. Mungkin, itu yang buat saya rindu.

Cuma, masa kini mencemburui saya. Saya mencari ruang untuk pulang bertemu mak. Meski hari-hari saya berbual di telefon dengan mak, hati saya tidak puas. Saya mahu makan masakan mak,dengar cerita mak, dengar keluhan manja mak. 
Saya takut tidak punya banyak waktu untuk bersama mak. Entah kan saya, entah kan mak yang mendahului... 

Bayangkan, di usia ini saya masih makan suapan nasi dari tangan mak apabila bertemu. Masakan saya tidak rindu!

Saya belum pernah bercerita perihal ini dengan suami tersayang, bimbang ditertawakan. Kan dah tua ni! Malu nya kalau diejek anak manja. Tapi ini saya, sekiranya saya mengasihi seseorang, saya mengasihinya tanpa had. phewiit! 

Saya sayang mak!
Saya doakan kesihatan mak!

Sunday, May 20

Allah Kasihkan Saya


Iman tidak dapat diwarisi,
Tapi Islam diwarisi...

Betul tak? Bagi saya yang dilahirkan sebagai seorang muslim, saya mengakui bahawa islamnya saya kerana ibubapa saya, keturunan saya yang beragama Islam. Saya bersyukur dengan limpahan kasih sayang Allah kerana memilih saya menjadi umat Nabi Muhammad S.A.W yang mulia. Mengapa?

Kerana, setiap satu kebaikan yang saya lakukan; Allah hadiahkan sepuluh kebajikan. Walaupun hanya dengan menyedekahkan sebiji tamar. Subhanallah, Allah benar mengasihi saya. 

Saya diberi tangguh pembalasan diatas segala dosa yang dilakukan hingga hari akhirat. Allah memberi masa secukupnya untuk saya bertaubat dan memohon ampun kepadaNya. Biar dosa saya ibarat buih di lautan, tetap jua Allah ampunkan . Tentunya dosa saya lebih banyak dari buih di lautan. 

Di padang mahsyar, saya akan menjadi umat yang terawal di hisab oleh Allah. Allah mengasihi saya, kerana memberi penghormatan buat umat akhir zaman ini berbanding umatNya yang terdahulu. Kasihnya Allah pada saya! 

Dan, sebagai umat Nabi Muhammad; saya beruntung kerana Rasullullah S.A.W adalah satu-satunya nabi yang memberi syafaat buat umatnya.Saya antara yang mengharapkan syafaat baginda pada hari yang dijanjikan itu.

Ya Allah, besar kasih sayang mu buat hamba yang kerdil ini. Saya malu, dengan dosa-dosa yang lalu. Kadangkala di saat menadah tangan memohon nikmatNya, saya berasa terlalu kecil. Saya sedih kerana mengambil masa terlalu lama untuk mendekati sesuatu yang sememangnya telah dibuka untuk saya. 

Saya tidak menghargai pemberian indah ini. Saya ingin kembali dengan sepenuhnya. Saya masih belajar, ingin belajar... Semoga jalan yang bakal saya lalui mendekatkan saya denganNya yang mengasihi saya. Kerana Hanya DIA yang Maha Pengasih... Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim.... 

Allah kasihkan saya, dan anda juga... Mari sama-sama kita usaha. Kerana hidayah perlu dicari, dipinta dari Pemiliknya dan bukan dinanti. Sebab, masa tak menanti kita... jom!!! 

Thursday, May 10

Antara cebisan-cebisan hatiku

Rabu, 10 May 2000


Hari ini sama dengan hari sebelumnya. Sekolah tamat pukul 1.00 petang, terus balik ke rumah. Semenjak ayah  kurang sihat, tiap-tiap hari aku lalui dengan menemani mak dan adik-adik ke hospital. Alhamdulillah, aku punya kakak dan abang yang bergilir-gilir temankan ayah. Ye lah, kami pun masih sekolah...

Sampai di hospital, doktor memaklumkan keadaan ayah kritikal dan doktor sudah menyuntik ubat paling kuat untuk meredakan sakit yang ayah alami. Aku hanya melihat dari jauh, nafas  ayah yang lemah turun naiknya. Aku mendiamkan diri, merasakan sesuatu akan berlaku. Aku takut, sungguh! Bila melihat adik rahim berlari ke sana kemari, ayah bimbang takut adik kecil ini hilang di tengah-tengah kesibukan wad yang dipenuhi pelawat. Jadi ayah menyuruh aku dan mak pulang. Sebelum pulang, aku bersalam dengan ayah. Terasa lain benar hati ini.

"Ayah, ma minta maaf atas semua dosa ma pada ayah. Ma minta halal atas semua yang ayah bagi pada ma. Esok ma datang lagi"


Aku lihat mata ayah berair. Ayah anggukkan kepala. Ayah genggam tangan aku erat-erat. Dia tahu sesuatu. Aku teringin memeluk dan mencium ayah tapi aku malu kerana tidak pernah buat begitu sebelum ini. Akhirnya, aku melawan kata hati, tidak memeluk dan mencium ayah...

Sampai di rumah, sudah masuk waktu maghrib.. Mak bersiap untuk bersolat. Tiba-tiba aku dapat panggilan telefon....

"Ma, jantung ayah dah berhenti"


Aku terdiam, cuba memahami kata- kata kakak. Aku hanya menyampaikan apa yang diucap oleh kakak..

" Mak, jantung ayah dah berhenti"


Mak bergegas bersiap dan meninggalkan aku dan adik-adik dirumah. Hanya kakak disisi ayah di hujung nyawa nya. Kami tidak sempat bersama beliau. Aku tiada kata-kata, tiada airmata..

Van yang membawa jenazah ayah tiba di rumah. Aku lihat sekujur tubuh ayah kaku terbaring diselimuti kain hijau. Ayah seakan tidur. Aku bisikkan ke telinga mak..

" Mak tengok ayah. Ayah tidur..."


Aku merapati jasad ayah, membacakan yasin untuk beliau. Hanya sedikit bacaan ku, air mata mencurah tanpa henti. Aku tahu ayah dah tiada, ayah dah pergi selamanya..

Innalillah, dari Allah ayah datang, kepadaNya jualah ayah kembali.



Kini, 10 May 2012


Sudah 12 tahun berlalu, tiap tahun bila tiba hari ini; aku mengenanginya. Kesal, kerana tidak memeluk dan mencium ayah semasa hayatnya. Aku teringin memeluk insan yang bergelar ayah ini.

Alfatihah buat ayahandaku yang tercinta,
tiada kata untuk aku ukirkan buat menggambarkan ingatan ku padamu.

Pemergianmu mengajar aku,
menghargai semua di sisiku.

Doaku selalu buatmu, kau berada dalam rahmat dan cinta-Nya,
Semoga kita bertemu semula diSANA.

Tuesday, May 1

cari ilmu

Assalamualaikum...

alhamdulillah, syukur atas semua nikmat yang dianugerahkan Maha Pencipta buat hamba yang daif ini.

Dek kerana laptop yang tinggal " nyawa-nyawa ikan", semua aktiviti terpaksa direhatkan sementara. huhu... maaf ya, blog!

" Ya Allah, aku mohon kepadaMU rasa cinta padaMU, cinta pada sesiapa yang menyintaiMU, dan cinta yang membawa daku padaMU"


Dalamnya doa ini, membawa makna besar buat diri saya..

Teringat suatu kata-kata yang saya pernah dengar tapi sudah lupa dimana. Hurm, kadang-kadang penyakit ni memang ada.

Jika ingin berjaya, dampingi insan yang berjaya
Jika ingin bijaksana, dampingi ilmuwan


Mengapa begitu ya? Saya terfikir juga. Tapi akhirnya saya membuat kesimpulan, sedikit sebanyak kita akan dapat belajar dari insan insan ini. Ilmu kan datang dengan pelbagai cara. Subhanallah...

Nak ilmu lebih banyak? Baca lah Al-Quran. 
Saya ingin menambah ilmu dan menyintai insan yang menyintaiNYA. Terasa hidup 28 tahun yang lalu telah saya gunakan hanya sedikit untuk mengenaliNYA. Ampunkan hamba ya Allah. Hamba hanyut dek kesibukan ciptaan hamba sendiri. Hamba lupa, dan kembali dikala kesusahan melanda. Astagfirullah.. 

Saya sedih setiap kali mengenangkannya. 

Saya berharap agar jalan yang saya tempuh kali ini menjadi jalan yang lurus buat selamanya hingga bercerainya roh dari jasad ini. Ini doa saya.

nota: Saya mahu jadi "buku" bergerak untuk zuriat saya kelak. Saya masih menanti kehadirannya. Semoga saya tidak tergolong dalam insan yang berputus asa dengan rahmat Allah.