Buat sekian lama laman ini saya biarkan sepi. Kerana sibuk mengatur kehidupan yang pasang surutnya setiap hari. Alhamdulillah, diberikan Allah kekuatan dan ketabahan mengharungi hidup ini.
Di saat saya mencoret di laman ini, saya sudah bergelar si yatim piatu. Terasa bagai baru semalam ia berlaku, hati saya masih sayu mengenangkan kehilangan insan yang bergelar EMAK ini. Yang perginya tidak kembali, membawa perasaan rindu yang takkan terpadam selamanya.
Emak,
Antara insan yang paling saya kasihi di alam dunia ini menyahut seruan Pencipta-Nya pada tanggal 18 November 2012. Hari ini sudah masuk hari ke-30 beliau kembali ke rahmatullah. "Moga mak dan ayah ditempatkan dikalangan orang yang beriman, di jauhkan azab kubur dan api neraka. Amin Ya Rabb"
Dalam suasana hening pagi, Mak pergi bersaksikan kami adik beradik. Maha Suci Allah, Sungguh indah perancanganNya, yang mungkin tiada dalam kotak pemikiran saya yang daif ini. Perginya Mak dirumah saya di Ayer Hitam, Johor. Pilihan Allah untuk saya, menyaksikan kepergian mak di hadapan mata. Walhal, Mak tinggal nun jauh di Gombak... Syukur kehadrat Allah S.W.T atas kasih sayang ini.
Saya tidak menyangka kedatangan adik beradik bersama Mak kali ini hanya untuk mengiringinya pulang kepada Yang Maha Esa. KetetapanNya tetap berjalan sesuai dengan perancanganNya. Kurniaan yang amat bermakna buat saya bagi berbakti pada beliau buat kali terakhir.
Hanya Allah yang Tahu perasaan saya, di saat akhir mak masih memeluk sambil wajahnya disembamkan ke dada saya. Saya tahu Mak mengasihi dan merindui saya. Tetapi, apakan daya; hati mesti diteguh kan untuk mengiringi di saat sukar sakaratulmaut. Sehingga hari ini, tatkala ini; saya masih mengingati senyuman akhir mak buat saya. Saya rindu......
Tiada yang lebih baik buat saya melainkan Allah mengurniakan kekuatan dan ketabahan buat kami adik beradik menjalankan tanggungjawab sebagai anak buat ibu yang dikasihi. Saya bersyukur dapat memandikan dan mengafankan jenazah mak. Hati sedih mengenangkan akan berpisah selamanya sehingga dipertemukan kelak di alam akhirat.
Usai solat jenazah dilakukan, jenazah mak dibawa pulang ke gombak. Hati saya pilu sepanjang perjalanan dari Ayer Hitam ke Gombak. Hanya bacaan yasin buat mak yang dapat saya iringkan semoga perjalanan jenazah mak ke gombak dipermudahkan. Tiba di gombak, saya lihat ramai sanak saudara, jiran dan rakan-rakan sedia menanti ketibaan mak. Inilah kali terakhir dapat melihat beliau...
Saat menurunkan tandatangan bagi urusan pengkebumian mak, airmata meluncur laju tanpa hentinya lagi. Saya tahu saat ini saya tak akan dapat melihatnya lagi buat selamanya. Ya Allah, ujian ini terlalu besar buatku....
Mak selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam KL-Karak, Taman Selasih berhampiran dengan pusara ayah. Syukur, segalanya berjalan lancar.
Dan, tinggallah kami sebagai anak yatim piatu; menjadi penyambung amal buat kedua ibubapa yang dicintai. Moga cinta dan rindu ini akan mempertemukan kita semula di syurga Ilahi.... Al fatihah
Rasullullah S.A.W telah bersabda yang maksudnya:
Jika seorang hamba Allah kematian anak,
Allah bertanya kepada Malaikat:
" Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hambaKu?"
Malaikat menjawab: "Ya"
Allah bertanya lagi: "Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?"
Malaikat menjawab: "Ya"
Allah bertanya untuk kali ketiga:"Apakah kata HambaKU?"
Malaikat kemudian menjawab: " Dia bersyukur kepadaMu serta mengucapkan; Dari Allah kita datang dan kepadaNya kita kembali"
Allah memerintahkan MalaikatNya: "Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu Rumah Kesyukuran"
( Hadis Riwayat Attirmizi dan Ibnu Hibban)